Sebelum ini, ada saya menyentuh perihal persediaan
menunaikan Umrah. Nampaknya masih mahu menyambung cerita pengalaman di Tanah
Suci. Walau coretan tidak mungkin menggambar kesemuanya, namun ia mungkin
berbaloi sebagai perkongsian dan menjadi panduan bagi mereka yang mungkin
pertama kali juga mahu menunaikan ibadat tersebut. Sebelum ini saya juga
melakukan yang serupa dengan mencari -cari tahu pengalaman orang lain untuk
dijadikan panduan. Melalui bacaan kisah-kisah di buku, carian internet mahu pun
bertanya secara langsung. Walau ibadat Umrah hanya memakan masa dua minggu atau
sedikit kurang dari itu, namun pastinya semua bakal jemaah sebolehnya
menginginkan Umrah yang makbul. Andai
mahu menunaikan Haji, inginkan yang mabrur pula. Atau lebih mengingini yang
makbul lagi mabrur untuk kedua-duanya. Jadi, tiada salahnya atau ada baiknya
kita mengambil sedikit usaha ke arah itu. InsyaAllah niat itu mustahak dan di
situ penilaianNya.
Hidup ini penuh dengan pengajaran. Adakala dengan mudah kita
mengambilnya. Ada masa kita teragak-agak dan tak terkecuali juga ada ketika
kita hanya mengabaikannya. Percayalah, di Tanah Suci juga masih begitu. Bahkan
lebih lagi. Adat manusia, kita mesti diperingatkan selalu. Peringatan datang dari pelbagai cara, bersesuaian dengan fitrah kita. Hanya Jauhari mengenal manikam. Mungkin ini bukan
sebahagian cerita yang biasa, seperti yang semuanya ok. Cerita inilah yang
mencorak keseluruhan hari-hari saya di Tanah Suci. Pengalaman dan ‘pengajaran
pertama’ yang tak akan dilupakan. Kita tahu bahawa ilmu itu terbahagi kepada
teori dan amali. Begitulah juga dalam ibadah Umrah ini. Saya yang asalnya tidak
mengerti apa-apa, Alhamdulillah telah dapat menimba ilmu perihalnya. Teorinya
sudah ada. Menunggu masa praktikalnya. Namun tak dapat dihindari satu perasaan
bahawa masih ada sekelumit rasa ‘bimbang’ dalam dada tentang kemampuan diri dan
jiwa dalam berdepan dengan keadaan sebenar bila tiba di Tanah Suci. Selaku
manusia yang kerdil, kecil dan lemah hanya mampu berharap dan berdoa agar semua
berjalan lancar.
![]() |
Suasana di terminal Jeddah. |
Ketahuilah, hanya ketika menerima pertanyaan dari mereka
yang dekat dan rakan-rakan tentang siapakah yang bakal menemankan saya ke sana,
membuatkan seperti baru tersedar apa yang akan saya lalui. Dari hanya
memfokuskan diri untuk Umrah itu sendiri, ada sedikit 'ruang terbuka’ untuk terfikir akan keadaan berseorangan untuk satu
jarak yang jauh dan bakal menempuh banyak perkara yang pertama kali. Oh! Di
usia yang mencapai 40, masih banyak juga yang pertama kali, begitu!. Namun
dengan rasa pasrah saya tidak
putus-putus mengingatkan diri menurut kata-kata para penceramah kursus bahawa,
jemaah adalah jemputan Allah. Fikir
saya, takkan Allah sampai mensia-siakan kami(jemaah) dan saya, setelah Dia menjemput kami semua sebagai tetamuNya. Lega. Tak dinafikan hati
wanita saya sedikit tersentuh mengenangkan bakal ‘berseorangan’ di sana. Namun
sedar saya, saya tidak ‘keseorangan’.
“Aku bakal ke rumah Allah, hanya dia yang lebih berhak memelihara dan menjaga
aku, sama seperti aku berada di mana-mana sahaja di atas muka bumi ini. Inikan
lagi di rumahNya.” Saya keluarkan bendera
putih. Bukan tanda kekalahan, namun itu tanda usaha akhir pencerahan perasaan
dan penyerahan mutlak untuk keselamatan dan keamanan diri dan jiwa saya pada
Pencipta. Setiap sesuatu itu berada di genggamanNya.
Walau macam mana hati dipujuk dan dinasihati, ternyata
setibanya di Tanah Suci, apa yang ditetapkan pasti akan berlaku. Saya masih
ingat bagaimana saya cuba mengingati pesan ibu mertua supaya sentiasa berteman,
jangan pisahkan diri dari kumpulan dan sebagainya. Itu pesanan lebihnya mungkin atas dasar keselamatan, namun
untuk saya, hanya fikir perlu panduan dan bimbingan dari mutawwif untuk
kerja-kerja Umrah menurut sebenarnya. Hakikatnya, saya ke Mekah, tanpa tahu
bagaimana rupa dan keadaan tempatnya.
Belum pun kenal rancangan Jemputan Umrah di Astro Oasis ada menayangkan
rancangan yang memaparkan gambaran suasana di sana. Jadi saya memang tiada
gambaran langsung. Kosong. Kebimbangan lebih kepada untuk memastikan semua
kerja Umrah itu dilaksanakan dengan tertib dan betul. Demi supaya ‘kembara jiwa’
saya tidak menjadi sesuatu yang sia-sia.
Sepanjang perjalanan, Alhamdulillah tiada sebarang masalah.
Rakan-rakan seperjalanan juga kelihatan baik-baik semuanya. Mudah disapa. Cerita awal
bermula bila penetapan untuk unit hotel menginap ditetapkan. Kami terpaksa berpecah kepada dua bahagian. Saya
tergolong ke dalam 12 orang yang terpaksa di letakkan di hotel lain dari yang
asal ditunjukkan pada kami. Alasan yang jelas tidak diketahui. Mungkin kerana
ramai. Saya hanya menurut sahaja. Sedaya mungkin tidak mahu ada rasa kurang senang, apatah lagi mahu marah. Cuba jaga adab. Mereka yang telah mendapat bilik di situ
terus mencari tempat masing-masing. Kami berada dalam keadaan yang agak suntuk
untuk menunaikan Umrah fardhu kami kerana waktu itu sudah lebih 4.30 petang. Maghrib
bakal masuk pada pukul lebih kurang 6.20pm (menurut kata mutawwif). Kami semua telah lengkap dengan pakaian ihram
dan niat Umrah ihram. Di sini, saya tak semena-mena semacam jadi panik. Untuk
saya ini sesuatu yang di luar perancangan. Menurut mutawwif 12 orang selebihnya
itu hanya akan ke hotel setelah pulang dari masjid. Menurut aturmasa bertulis
diberi, kami akan berpeluang naik ke hotel dahulu sebelum ke Masjid, hanya
untuk melepas sedikit dari keletihan perjalanan dan memastikan persediaan ke Masjid dapat dibuat.
Saya juga telah dengan sengaja tidak Jamak Qasar untuk Zuhur dan Asar dengan
niat mahu ‘simpan’ solat Asar untuk dibuat di Tanah Suci, iaitu di hotel
sahaja.
Beg-beg kami yang 12 orang hanya mampu diletakkan di lobi
hotel pertama tadi. Dikhabarkan hanya selepas Umrah baru dihantar kami semua 12
orang ke hotel sebenar kami. Saya ada cemas kerana masih belum Asar. Namun
kami tetap diberi waktu untuk Asar. Sewaktu yang lain sibuk mencari bilik
masing-masing, saya dan sebahagian kecil yang lain selesaikan solat Asar di
surau hotel tersebut. Syukur sempat
lagi. Setelah selesai solat, saya turun
ke lobi dan sempat berbicara dengan seorang rakan jemaah dan tersedar yang saya tidak
teringat untuk mengeluarkan uncang kasut dari dalam beg saya. Ini menambah lagi rasa kurang senang dalam
hati. Sedikit menyalahkan diri (atas sebab tergesa-gesa), selain terbit juga rasa kesal kerana kami tidak
dapat naik ke hotel. Masakan saya mahu membuka beg pakaian dihadapan orang
ramai di lobi. Segan isi beg terlihat pada yang lain. Namun jemaah yang saya
berbual itu sempat mengambil uncangnya sewaktu saya kerjakan solat Asar, ketika
tidak ramai orang. Saya lalukan sahaja perasaan tersebut dan kami terus
bergerak. Perasaan. Bercampur-baur. Sedaya-upaya memikirkan Kaabah dan Umrah.
Kami telah diperingatkan bahawa hanya ada masa lebih kurang
sejam sebelum Maghrib dan sebaiknya kami disaran selesaikan 7 pusingan tawaf
dan menyambung saie dan tahallul selepas Maghrib. Atas dasar ‘pertama kali’', kekalutan menerpa tanpa dapat
dielakkan. Saya terfikir-fikir apakah cara saya nak membawa selipar sambil saya
bertawaf. Saya telah menukar dari sandal ke selipar sarung sewaktu di Jeddah.
Saya ada terniat mahu ‘menumpang’ uncang rakan jemaah yang beriringan dengan
saya tadi, namun hanya sekadar ‘hint’ kepadanya. Andai dia faham maksud dan
menawar pada saya menyewa uncangnya, saya sanggup membayar dengan membawa
uncang tersebut sepanjang Umrah sebagai tanda terimakasih. Ternyata dia tidak
endah dan kelihatan keberatan. Dia seorang jemaah yang bersama-sama dua ahli
keluarganya ke sana. Sebaliknya dia menyuruh saya membawa bersama-sama dan
memegang selipar tersebut dengan sambil bertawaf. Katanya tiada salah. Terpaksa.
Saya sedikit kecewa. Saya juga sedar
dan membayangkan andai kehilangan selipar itu, sulit juga. Berkaki ayam???. Saya dengan lurus
juga membayangkan jemaah itu memberi nasihat
umpama arwah ibu saya, kerana usianya. Lalu memilih menurut sahaja cadangan
tersebut, walau hati sedikit gelisah. Saya tidak langsung mahu meninggalkan
selipar di tempat meletak kasut kerana mengingatkan pesan beberapa kenalan,
terutama Allahyarhamah ibu bahawa kasut mudah tidak ditemui semula andai tidak
dibawa bersama-sama. Saya tidak merasa
itu sesuatu yang berburuk sangka, cuma rasa mahu menurut nasihat dan lebih
berhati-hati. Seterusnya, bersama-sama sambil bertalbiah, kami dengan penuh
perasaan berjalan dalam kumpulan menuju Kaabah. Perasaan hanya Allah yang tahu.
Labbaikkallah hummalabbaik! Itu lafaz
kami ulang-ulangi. Sesungguhnya segala keletihan, kelesuan dan apa sahaja dalam
dada dan fikiran telah diganti dengan bayangan Kaabah….Kami menuju kiblat kami,
kiblat kita hamba Allah, umat Rasulullah.
![]() |
Pintu utama. King Abdulaziz |
Kami di bawa masuk melalui pintu utama. Dipanggil pintu King
Abdulaziz. Saya masuk bersama-sama dengan jemaah lain ke masjid, diketuai
mutawwif. Berbeza saya dengan yang lain, terkepit sepasang selipar di tangan
kiri. Selipar tersebut tapak ke tapak kedudukannya. Khas dibeli untuk Umrah. Memang
tidak kelihatan sebarang kekotoran, selain saya berlagak biasa-biasa sahaja. Selepas menurut ‘semua
yang patut’ setelah melangkah di dalam masjid (tidak diceritakan perihal pertama
kali menatap Kaabah—untuk tidak lebih panjang. Momen itu memang syahdu. Bagai
mimpi indah), kami menurut mutawwif untuk memulakan tawaf. Di sini sekali lagi, saya terfokus lebih pada mutawwif. Penuh kebimbangan andai terlepas dari jemaah. Maklum
jika terlepas, bukannya mudah nak dicari dan bagaimana dengan turutan ibadat Umrah
yang selebihnya, iaitu saie dan tahallul. Saya masih beriringan dengan jemaah wanita yang asal bersama
saya tadi. Kami memulakan bertawaf beriringan dan bersama-sama dengan jemaah lain. Pusingan 1, 2
dan 3 saya ok sahaja. Namun sempat juga saya terdetik, “Apalah aku....., tawaf dengan
mengepit sepasang selipar.” Membawa beg sandang berisi barangan penting dan
menggantung uncang kasut dilengan adalah
biasa. Mengepit selipar, mungkin hanya saya seorang waktu tersebut. Teruk
sungguh rasanya atas diri sendiri!
Mahu dimulakan lagi cerita atas ceritanya, sampai ke
pusingan 4, saya tiba-tiba rasa ‘semacam terbatal’ wuduk. Tawaf tidak boleh
tiada wuduk. Tidak sah. Saie tak mengapa. Namun timbul was-was dan rasa seperti
ya atau tidak. Mungkin kerana asyik dengan Kaabah itu sendiri. Hati berbolak-balik.
Apakah ‘keluar angin’ itu hanya perasaan atau benar. Was-was menyerang. Saya seterusnya
menurut sehingga pusingan ke 7. Semata-mata untuk bersama-sama mutawwif dan
jemaah. Namun saat berbolak-balik itu saya telah merasa mahu mengulangi tawaf.
Tidak keluar dari pusingan kerana tidak pasti macam mana dan nak ke mana(ambil
wuduk). Saya gagahkan menuruti jemaah selesai bertawaf dan kemudian mengikuti cara
bagaimana mahu keluar dari pusingan. Memang ada caranya, supaya kita tidak
dilanggar atau dirempuh mereka yang sedang masih tawaf.
Keluar sahaja saya mencari seorang lagi kenalan yang lain
dan sengaja mengkhabarkan telah batal wuduk dan mesti mengulangi tawaf. Tujuan
saya sekurang-kurangnya ‘ada yang tahu tentang saya’. Saat itu saya sedar, saya
‘berseorangan’ dalam urusan saya namun tetap tetap yakin tidak ‘keseorangan’
kerana tahu Allah itu dekat dengan hambaNya dan lebih dekat dari urat leher hambanya.
Saya nekad untuk mengulang tawaf dan melaksanakan semuanya ‘sendirian’ setelah
selesai solat. Waktu itu ada jarak masa lagi untuk masuk maghrib. Tidak mahu fikir apa yang bakal jadi tentang
berseorangan di situ. Tak fikir lagi soal mahu berteman dalam kerja Umrah dan hotel menginap di mana dan apakah pulang tanpa selipar. Tekad untuk betulkan ibadat. "Apa nak
jadi, jadilah. Tanggungan ihram harus saya lepaskan dengan sebaiknya, ikut
kemampuan". Itu kata hati. ---sambung---
jangan lupa sambung yerrr... banyak boleh ambil pengajaran dari cerita awak
BalasPadammoga Allah mudahkan perjalanan saya dan keluarga untuk umrah nanti
InsyaAllah Cik Mila@Rimbun, cerita tu dah siap. Nanti saya 'post' di sini. Bukan apa, panjang benar rasanya. Bahagi 2. Thanks pertama kali komen di sini :-)
PadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadammenarik pengajaran ini(mira kassm)
PadamMira Kassm? Salah orang ni. Mira Kassim tu seorang rakan FB saya dan bekas rakan sekelas menengah rendah dulu.
PadamKita membaca cerita dila ni sambil dada rasa berdebar...dan terbayang bayang rupa dila macam mana waktu tu..
BalasPadamZie, kita lagi dah tak ada saraf nak berdebar masa tu. Maklum kat tempat sendiri lain. Dah biasa. Kalau tempat tak biasa,nak ke mana-mana suka minta dihantar. Sebelum pergi, anak-anak asyik memesan terutama yang sulung. Dia kenal mak dia. "Mak jangan sesat tau." Kita balas senyum je. Kita memang ada sikit susah nak ingat jalan, especially kalau driving. Tau tau sampai je. Jadi, masa tu rasa macam totally surrender. By right itu yang memang patut kita buat dari awal. Tanah Suci memang tempat 'penyerahan' zahir dan batin.
Padamsaya sangat suka baca entri ni.. beberapa bulan lg sy akan ke umrah.. jadi memang mencari entri mcm ni utk dijadikan panduan.. terima kasih ye..
BalasPadamNurul Izzan, Alhamdulillah! Sama-sama.
Padam