Khamis, 28 Jun 2012

PENGAJARAN TANAH SUCI: KISAH UNCANG KASUT DAN WUDUK(2)


Sebaik sahaja saya selesai bercakap dengan wanita tersebut, tak semena-mena, anak perempuan kepada jemaah wanita itu pula membuka mulut mengatakan yang dia juga ‘seperti saya’. Batal wuduk dan mahu mengulang tawaf. Dia meminta izin ibunya mahu menuruti saya. Saya sedikit lega. Hati ada terasa pelik, bagaimana seorang yang hanya baru disapa beberapa kali sepanjang perjalanan mahu benarkan anaknya menurut saya. Si anak pula semacam mudah pula ‘percaya’ mahu mengikut saya. Kami saling tidak cukup kenal. Namun itu semua ketentuan Allah. Saya tidak pula menolak. Sama-sama bermasalah yang sama tapi tak pasti serupa. Setidak-tidaknya, tidaklah berseorangan. Masjidilharam itu memang luas. Persekitaran itu amat baru dan untuk orang yang pertama kali seperti saya, andai berteman terasa seperti sedikit lebih selamat. Saya telah terasa 'sedikit bibit pengajaran'. Di saat ‘saya melepaskan semua perasaan saya’  Dia yang menyambutnya. Dia memang sebaik-baik penjaga kepada ciptaanNya.

Sebetulnya, saya teramat bimbang selagi tidak selesai Umrah. Saya sedar dan ingat sangat pesanan Ustaz DCN bahawa setelah kita berniat dan berihram dengan niat tersebut, kita mesti menyelesaikan Umrah menurut semua rukun seterusnya, secara tertib dan sesempurna yang terdaya dalam usaha kita. Palingnya larangan ihram yang  13 itu masih dipikul selagi tak selesai Umrah. Itu paling saya risaukan. Lagi pula sesuatu yang diniat hari itu wajar sangat diselesaikan hari itu juga. Lagi pula, dalam beribadat itu digalak memikirkan andai kita mati pada esok hari. Andai ada hari esok,  pasti ada agenda lain menanti. Kita masih dalam kumpulan. Jadi bebanan kita takkan mahu dilibatkan ahli lainnya.  Atas semua sebab itulah rasa ‘nekad’ itu terbit. Bila ada yang mahu bersama-sama saya mengulang, saya syukur. Kami berdua terpaksa memisahkan diri dari jemaah dan tercari-cari tandas atau tempat wuduk. Tak tahukan tempat wuduk tiada di dalam Masjid. Tak sempat belajar. Dalam tercari-cari, hanya terlihat tempat minum air zam-zam dan ada sinki berdekatan salah satu ruang solat. Hanya beberapa meter ke belakang. Kami terus ke ruang solat itu untuk lepas letih sebentar dengan tawaf ikut-ikutan sebelum Maghrib. Kemudian, sekali lagi buat keputusan nekad bersama-sama untuk ambil wuduk ditempat minum air zam-zam yang ada sinki itu. Wuduk tetap kena ambil. Saya meninggalkan selipar yang dipegang sekian lama di tiang masjid berdekatan tempat minum dan berserah sahaja. Tidak mahu lagi mengepit ke hulu ke hilir. Waktu mengambil wuduk, kami telah ditegur oleh dua wanita berkerudung, pekerja Masjid  dan hanya nampak kedua matanya. Mereka pembersih kawasan minum tersebut dan sesungguhnya di situ bukan tempat berwuduk. Mereka menegur perbuatan kami. Apa yang dicakapkan, kami tak faham. Faham kami mereka berdua  memarahi kami. Kami hanya mendiamkan diri dan meneruskan usaha masing-masing. Kata orang  ‘buak bodo’. Mengelak dari dilihat membuka aurat, kami mengambil wuduk dalam telekung.  Bayangkan sahaja. Selesai wuduk hati lega.

Saie. Ini tidak diambil pada hari pertama, semestinya.
Kami mengambil tempat semula. Menunggu Maghrib yang sangat hampir. Saya sempat menyatakan perasaan gembira dan syukur kerana dapat kawan untuk menyelesaikan Umrah pada malam itu. Adik tersebut hanya mengiakan dan mengangguk-angguk. Kemudian saya ambil masa merenung segala-galanya. Saya sedari bahawa, saya ditakdirkan memang untuk berseorangan 'menunai hajat' ke Tanah Suci. Itu telah saya terima. Namun saya semacam terlupa bahawa saya mesti benar-benar yakin dengan segala yang telah saya pelajari tentang ibadat Umrah itu sendiri. Saya ditakdirkan pula untuk tidak perlu bergantung pada sesiapa, walaupun mutawwif. Saya mesti sendiri. Cuma adik perempuan itu,  Allah izinkan menjadi  ‘peneman’ saya. Saya kerdil merenung dan merenung. Saya mesti  'yakin sepenuhnya' dengan Allah. Sebut yakin itu mudah, namun biasa secara tidak sedar, perlakuan kita seperti 'tersasar.' Keyakinan tidak bulat. Saya nampak saya 'terlebih bergantung dan berharap' pada sesama manusia. Bermula dari kisah uncang kasut sehingga kepada mahu tawaf dan rukun seterusnya. Begitu juga saya sedar, saya sepatutnya Jamak dan Qasar sahaja Zuhur dan Asar sewaktu di Jeddah. Saya menolak hadiahNya. Walau atas alasan untuk rasmi dengan solat Asar di Tanah Suci. Asar dikatakan waktu amalan harian diangkat. Maghrib pula pemula hari. Saya telah melupakan kemudahan yang Dia sediakan. Akibatnya saya agak kelam kabut dan terlepas mengambil keperluan ke masjid. Saya salahkan diri sepuasnya. Saya ingatkan betul-betul pada diri supaya tidak terlebih bergantung pada sesama manusia. Saya mesti lebih sedar dan teguh 'berpaksi pada tujuan utama saya ke situ'. Saya mesti belajar 'melepaskan semua permasalahan kecil atau besar' yang timbul  untuk Allah menyelesaikannya. Saya mesti tetap ingat saya berada di tempat paling suci lagi mulia di atas muka bumi ini. Setiap perkara dari sekecil-kecil sehingga sebesar-sebesarnya adalah dalam genggaman Allah. Allah menilai perbuatan kita bukan sahaja luaran bahkan detik dalam hati juga. Semua kekalutan adalah berpunca dari diri saya sendiri. Saya menenangkan diri dan terus menerus memujuk hati.  InsyaAllah semuanya akan dan pasti selesai dengan izin Allah dan saya akan baik-baik sahaja.’ Selesai azan berkumandang, kami selesaikan solat. Sempat juga melakukan yang sunat. Ada rasa gembira dan puas terbit ganti segala-galanya. Selesai sahaja solat, kami berkeputusan menunggu Isyak (kerana Maghrib dan Isyak tak jauh jarak) dan akan  mengulang kerja Umrah. Kami isi masa dengan berkenal-kenalan lagi. Usai Isyak, kami terus dengan agenda kami. Saya memilih tidak mahu menyambung pusingan tawaf yang ke-4, tetapi bermula dari awal untuk lebih puas hati. Mengulang semula apa yang sempat dipelajari dari tawaf ikut-ikutan saya sebelumnya. 

Alhamdulillah, bermula dari situ ‘suasana terlihat bertukar menjadi lebih mudah’. Tawaf selesai dengan baik. Nyaman. Keyakinan saya telah wujud kembali dan saya tidak lagi teragak-agak untuk meneruskan saie. Waktu saie, kami beberapa kali berhenti. Teman seperjalanan saya itu memaklumkan bahwa dia pernah kemalangan teruk dan bahagian pinggang mudah terasa  sakit. Saya cuba memahami. Selain kami berdua tak dinafi rasa kepenatan. Maklum, orang lain tawaf 7 pusingan. Kami 14 pusingan. Ditambah saie 7 pergi balik. Sebelum itu sudahlah menempuh lebih kurang 14 jam perjalanan. Hah! Itu pun ada cerita. Ringkasnya kami 2x transit. Di Bangkok dalam lebih sedikit sejam. Di Cairo 3 jam lebih sedikit. Sedarlah manusia merancang, Allah merancang. Tetap akan terjadi adalah perancangan Allah yang Maha Mengetahui yang terbaik untuk dunia dan isinya. Waktu kami bertawaf, jemaah agak ramai. Saya pula selesa merapatkan diri dengan Kaabah (berada dalam pusaran yang sesak). Bagai magnet, ia menarik semulajadi akan hati dan tubuh saya. 

Di Marwah.
Berbalik perihal saie, saya juga masih ingat bahawa saie boleh sahaja berhenti andai perlu. Cuma perlu disambung dari tempat kita berhenti atau lebih baik ke belakang sedikit. Ini mungkin untuk memastikan jarak kita tidak kurang dari sepatutnya. Kami sama-sama mengharung pengalaman menunaikan Umrah pertama. Kepala dan pemikiran saya mengatakan saya hanya akan tenang bila semuanya selesai malam itu. Lengkap sahaja saie, kami selesaikan bertahullul. Di sini ceritanya kami masing-masing tiada gunting. Masing-masing di dalam beg. Namun saya dengan selamba meminta tolong dari seorang wanita yang sedang menolong rakannya bertahallul untuk meminjam gunting. Guna isyarat. Nak bercakap tak tahu bahasa dia. Dia dengan tiba-tiba menyerahkan sahaja gunting pada saya dan berlalu dengan rakan-rakannya. Selesai kami bertahallul, saya menyerahkan pula gunting tersebut kepada orang lain yang ada di situ. Saat itu dunia terasa cerah dan kelegaan dan kepuasan dapat dirasa. Alhamdulillah. Selesai sudah Umrah fardhu atas diri kami. 

Sekarang, kami baru fikir tentang di mana kami nak tidur. Maksudnya kami pasti telah tercicir dari jemaah yang sudah dihantar ke hotel oleh pihak pengurusan pakej. Ini pula kesulitan baru untuk kami. Namun saya tenang saja. Saya seakan tahu semua akan baik-baik sahaja, seperti sebelumnya. Kami pergi mahu mendapatkan selipar saya di tempat saya tinggalkan tadi. Semasa berjalan ada terlihat pekerja-pekerja di masjid itu ada yang menolak  troli-troli berisi terlalu banyak selipar. Saya andaikan itu selipar yang didapati berselerak di dalam dan sekitar kawasan masjid. Hati terasa, mungkin sahaja selipar saya di tiang itu telah tiada. Sesampainya, benar sangkaan saya. Tiada harapan. Teman saya mengatakan rasa hati yang kasutnya mungkin juga telah tiada. Dia letakkan di rak kasut di luar pintu masuk tadi juga tanpa uncang. Mengingat semula. Dia juga saya terlihat bersolat Asar di surau hotel. Sewaktu mahu keluar dari Masjid, kami mengambil sedikit masa untuk memilih pintu. Dua tiga kali ke belakang ke depan saya dibuatnya. Walau adik peneman saya mengajak saya keluar dari mana-mana pintu yang ada kelihatan, namun saya teringat pesan arwah ibu(sekali lagi), "Pintu di sana banyak. Kalau masuk pintu yang itu, keluar pintu itu juga. Susah nak sesat." Atas dasar itu saya sebolehnya mencari pintu utama, King Abdulaziz kerana pasti dari situ mudah mengecam jalan untuk pulang ke hotel yang ditunjukkan siang tadi. Setelah berjumpa, kami ke rak kasut, cuba mencari kasut teman saya. Juga hampa. Kami memang senasib dan dipertemukan kami berdua hari itu. Lantas kami masuk ke dalam masjid semula. Entah atas dasar apa. Tiba-tiba, waktu memandang ke arah tangga untuk ke tempat tawaf, terlihat pekerja dengan troli selipar yang dikutip sebelum ini. Kami menjengah-jengah, mengharap untuk mencari selipar kami masing-masing. Masakan ada. Berlambak selipar getah@selipar jepun dan jenis-jenis lain mahu dimasukkan ke dalam tong sampah besar. Kami seperti meminta izin dari pekerja-pekerja itu. Mereka diamkan saja. Benda bakal dibuang. Kami berpakat mengambil dahulu dengan niat ‘meminjam’. Terasa lepas satu masalah. Seorang dapat sepasang.

Lobi hotel di Mekah.
Kami bersama-sama beriringan keluar semula dari Masjid. Saya syukur jalannya hanya lurus untuk pulang ke hotel yang ditunjukkan siang tadi. Cuma perlu ingat bangunannya. Sesampai di lobi, beg kami dah tiada.  Satu cubaan lagi. Kami tak tahu nak cari siapa. Bertanya dengan pelayan hotel. Masing-masing tidak faham. Bahasa Inggeris dia tak faham. Kami tak tahu Arab. Akhirnya saya teringat yang ada terdengar dikatakan ada pejabat pengurusan di tingkat atas. Bayangkan sahaja waktu itu lebih 11.30pm. Mahu tidak kami mesti naik. Tidak ingat tingkat berapa yang disebut, saya cadangkan kami naik tangga. Sambil naik, sambil tinjau. Itu niat di hati. Saya berdoa supaya ada orang di pejabat. Harap selesai masalah. Apa pun kami masih mahu tidur atas katil malam itu, itu harapan kami. Tak disangka, sekali lagi Allah mempermudahkan, kami terserempak dengan seorang petugas lelaki yang saya ingat mukanya siang itu menolong menguruskan beg-beg kami. Jadi pantas saya buka mulut bertanya dan begini katanya, "Oh! Ini dua orang yang sesat tu". Kami berdua tersenyum dan gelak-gelak kecil. Pekerja itu mengkhabarkan bahawa 'mereka' menunggu kami agak lama. Namun akhirnya menyangka kami berdua tersesat. Saya betulkan sangkaannya, dan beritahu cerita kami yang terbatal wuduk. Kami tidak sesat. Hanya di masjid, tidak ke mana-mana. Bertarung dengan masalah kami. Alhamdulillah, kami dihantar ke tempat yang kami sepatutnya berada dengan menaiki teksi.  Percuma. Lega yang teramat. Bagai dirancang pula, kami sebenarnya ditempat di bilik yang sama. Semua perencanaan Allah. Tiba saja dibilik, setelah bercerita kisah kami kepada ibu teman saya dan seorang lagi rakan yang tak asing (telah kenal dan banyak juga berbual  waktu di Jeddah). Kemudian kami meluruskan tubuh di katil. Malam itu kami berempat tidur dengan nyenyak untuk esok yang waktu itu belum pasti. Tak dinafikan, waktu mahu lelap saya ada rasa mahu ke Masjid semula. Ternampak-nampak Kaabah. Mengharap tetap ada hari esok.




11 ulasan:

  1. Rasanya kalau first time masuk ke kaabah tuh mmg patut kita camkan tempat masukkan... so that kalau rasa ragu2 masa nak balik, just pergi ke tengah dekat kaabah dan ingat balik yg mana satu. Sebab kalau dah terkeluar pintu lain mmg susah nak cari dari luar.

    Untuk beg kasut tuh, kalau ada beg plastik pun boleh jer masukkan selipar kan, letak satu dalam cabin bag tuh, senang nak capai kalau dah nak ke masjidilharam. Saya pernha jugak tinggalkan selipar di rak kasut, masa tuh nak solat terawih rasanya, dan alhamdulillah ok jer. Tapi kalau hari yang terlalu ramai orang buat umrah mcm hari khamis or jumaat, better janganlah rasanya

    Apa pun, kalau niat kita ikhlas kerana Allah, insyallah Allah akan permudahkan segalanya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cik Mila@Rimbun, apa yang saya perasan Masjidilharam tu terletak ditengah-tengah. Rasanya kalau tak mahu sesat satu cara yang elok adalah semasa diajar berjalan pergi dari hotel ke sana untuk pertama kali, kita usah lupa untuk sesekali menoleh ke belakang untuk mengecam jalan(yang telah kita lalui), cam lorong kita dan bangunan-bangunan kiri kanan atau kedai-kedai. Begitu juga bila dah sampai ke lorong hujung yang hampir dan telah nampak Masjid, sekali lagi pusing ke belakang untuk kali akhir. Lepas tu, andai diajar masuk pintu no 88, sebaiknya keluarlah dari pintu 88. Kena bacalah papan tandanya. Jadi terus cari semula jalan untuk pulang.

      Padam
    2. Sebenarnya selepas itu ada tiga kali juga saya terlupa membawa uncang namun untuk 2 kalinya saya dijumpakan dengan plastik beg. Sekali sewaktu di tengah jalan hampir dengan masjid. Sekali lagi sewaktu lepas sedang mengambil wuduk di tempat wuduk yang di luar dan ke bawah tu. Rasa macam dimudahkan. Sekali lagi saya pernah meninggalkan sahaja sandal di rak putih di bahagian dalam. Asalnya mencari dan tak berjumpa. Sekali lagi ingatkan berkali ayam. Namun rupanya telah berkalih tempat ke rak lain. Alhamdulillah tak sampai berkaki ayam. 'Selipar pinjam' sebelum tu juga 'kami' pulangkan ke Masjid. Saya ke mana-mana hanya dengan sepasang sandal sahaja. Benar di sana kena senantiasa mohon dipermudahkan oleh Allah. "Rabbi yassir wala tua'ssir ya kariim"...

      Padam
  2. Alhamdulillah..itulah yg sebaik baiknya. Menyerah diri sepenuhnya kepada Allah..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul Zie, la hawlawala quwwatailla billah hil a'liyyula'dzim.

      Padam
  3. Askm. thaniah menjadi tetamu Allah. cerita2 di tanah suci ni sentiasa buat kita rindu untuk menjadi tetamuNya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Rindu...Memang rindu! Namun sempat pelajari satu perkara. Ke sana mesti niat betul-betul dan tidak leka dari cuba ibadat sedaya mampu. Ia peluang terbaik melipatganda amalan.

      Padam
  4. Assalamualaikum, thanks untuk pengkongsian. Sangat berkesan membaca "
    Saya kerdil merenung dan merenung. Saya mesti 'yakin sepenuhnya' dengan Allah. Sebut yakin itu mudah, namun biasa secara tidak sedar, perlakuan kita seperti 'tersasar.' Keyakinan tidak bulat. Saya nampak saya 'terlebih bergantung dan berharap' pada sesama manusia. ....". Harapnya saya dapat menjadi tetamuNya satu hari nanti

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah dia. Mulut dan lidah memang pandai berkata-kata. Apapun perlaksanaan tetap perlu kepada bantuan anggota lain dan utamanya mesti digerak oleh niat yang lurus dari hati. Saya juga masih terus belajar bab itu.

      Padam
  5. Thank you so much for this. Found your writing while searching for persediaan umrah. Semoga Allah sahaja yang membalas pengajaran dari perkongsian pengalaman saudari.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tanpa Nama; semoga ibadat umrahnya makbul.

      Padam