Khamis, 7 Jun 2012

SEDIA, KESEDIAAN DAN PERSEDIAAN UMRAH


Assalamualaikum. Berbicara tentang kerja Umrah mahupun Haji, pasti diterjah benak kita dengan satu persoalan utama. Bunyinya, “Dah bersediakah?”. Entah mengapa, hati dan diri mengarah semula kepada persoalan ini. Berkisar soal Umrah. Nak cerita Haji. Belum rezeki. Sebetulnya siang tadi tertonton rancangan Jemputan Umrah 2011 di Astro Oasis. Lantas, hati ini digamit sedikit kerinduan pada tempat tersebut. Mungkin saja ia kesan dari doa Nabi Ibrahim yang telah dinyatakan dalam surah Ibrahim ayat ke 35 bermaksud “Dan (ingatlah) tatkala Nabi Ibrahim berkata:“Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri Mekah ini aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala”.

Langit dilihat sangat indah. Terang dan jelas. Tiada awan. Hanya membiru indah. Bagaikan poskad gambar ini. Di situ khabarnya naik dan turun para malaikat. Membawa amalan hamba-hamba tetamu Allah. Kunci amalan itulah 'ikhlas'.
Ternyata,  Allah memakbulkan doa Nabinya. Mekah itu memang aman. Selain kata-kata tidak menyembah berhala itu lebih mengarah tidak sesekali menyekutukan Allah. Menduakan atau lebih dari itu. Tauhid yang sebenar. Bila sebut aman usah kita tafsirkan bahawa lahiriahnya 100% begitu. Asal sahaja kita berada di tempat yang bukan asal-usul kita pasti perlu ada sikap berhati-hati atau waspada. Usah terlebih lagak dari penduduk tempatan. Bimbang mengundang susah. Selebihnya tawakkal pada Allah. Hatta di negara sendiri juga jenayah sukar dibendung dan makin gawat. Namun aman yang dinyatakan lebih bertumpu pada aman secara ‘rohaniah’. Berada di suatu tempat yang dikatakan rumah Allah. Selain berdekatan Ka’bah yang menjadi pusat ibadat sekaligus Kiblat umat Islam, memang mendatangkan suatu ‘rasa kelainan’. Tidak mahu berlebihan mengatakan ia, namun itulah dia rasa. Sesuatu yang tidak tergambar. Abstrak. Hanya pengunjung yang diberi rasa dan Tuhan pengurnia rasa sahaja yang tahu.

Berbalik pada soalan perihal sedia, kesediaan dan persediaan. Ini memang perlu kita beri perhatian. Selalu disebut ‘tak sedia’ sebagai ‘tak sampai seru’. Ini seperti disanggah oleh pemberi kursus umrah saya. Dikatakan tak wajar kita berkata sedemikian. Katanya bertepatan dengan Surah Al Hajj ayat 26 dan 27. Membawa maksud:

 ‘Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Ka’bah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “ Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Ka’bah ini) bagi orang-orang yang tawaaf, dan orang –orang yang berdiri dan yang ruku’ serta yang sujud (mengerjakan sembahyang). Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang unta yang kurus(kerana jauhnya perjalanan), yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”
 
Atas dasar itu, pemberi kursus dalam nada sedikit berkomedi mengatakan bahawa Nabi Ibrahim sendiri mungkin sahaja kehairanan kerana dia menyeru pada tempat yang tiada orang asalnya. Padang pasir. Namun perintah Allah tetap dilaksanakan dan seruan tetap ‘dilaungkan’. Seruan Nabi Ibrahim pada waktu itu, hakikatnya telah disampaikan Allah ke segenap pelusuk dunia. Sehingga menembusi dinding-dinding rahim para ibu yang mengandung. Jadi makmurlah Mekah dengan sebab seruan dan doa Nabi Ibrahim. Saya selesa setuju dengan pemberi kursus. Masuk dan tepat penerangannya. Sehingga kini, sekarang berbondong-bondong manusia mahu ke Mekah. Walhal kita tiada pun zaman Nabi Ibrahim. Itulah mukjizat Al-Quran. Menceritakan yang lepas, yang sedang dan akan terjadi. Meliputi sepanjang zaman. Andai sebelum ini dikatakan hanya ramai pengunjung musim Haji. Tidak lagi, ada masanya Umrah sahaja sebanding Haji ramainya manusia di sana. Dikatakan juga kawasan perkarangan Masjid itu bakal diperluaskan lagi. Ini kekuasaan Allah. Janji Allah tetap benar dan pemeliharaanNya sebaik-baik pemeliharaan. Mekah bumi suci dengan pemberian Allah. Itulah ‘magnet’ utama yang menarik manusia ke sana. Mereka yang termaktub dengan jemputan Tuhannya. Bila Tuhan menjemput, tiada yang mampu menghalang. Bila Tuhan tidak menjemput, buat bagaimana pun, tak terjejak lagi kita ke sana. Itu zahirnya. Namun semua ada sebab dan musabab. Asbab hati mengarah kepada kemahuan, Allah Maha Mengetahui dan pintu itu akan dibukanya dan jalan itu dihamparkan buat kita. Mahu tidak melangkah. Itu juga perlu kekuatan. Mesti juga melepasi rintangan. Usah hairan andai segolongan yang asalnya dilihat tiada kemampuan dari segi kesihatan mahupun  kewangan asalnya, setiba-tibanya sampai di hadapan Ka’bah (dengan kesihatan dan tanpa berhutang, berbekal hati yang rindu...) bersujud pada penciptanya dengan penuh syukur. Usah hairan juga andai ada segolongan yang terlebih mampu dari segi kewangan, namun terhambat dengan kesibukan seolah terikat kaki dan tangan dari berkunjung ke Ka’bah untuk bersujud pada Tuhannya, lantas terkurang syukurnya. Itulah yang dikatakan ‘tetamu jemputan’. Kad undangan khas atas nama jemputan, tak terlihat dengan mata kasar. Berbalik pada pegangan bahawa andai Allah memberi, tiada yang mampu menghalang dan andai Allah menahan, tiada yang mampu melepaskan. Jadi, kita selaku hamba kemampuan kita hanya berusaha dan berdoa. Didahulukan dengan pasak niat dan kemahuan ke arah itu. Masa dan ketika, itu ketentuan Allah. Selaku hamba, turutkan sahaja. Pasrah dan berserah.

Mungkin kita telah melepasi kisah ‘sedia’. Niat, usaha dan doa. Itulah sedia juga kesediaan. Persoalan persediaan. Ini lagi satu penting. Untuk ibadat, ilmu amat penting. Usah bimbang andai tidak tahu sepatah apa pun perihal ibadat tersebut. Pastikan kita mendaftar dengan adanya jangkamasa untuk mengikuti kursus Umrah tersebut. Untuk yang pertama kali, pastikan tidak cukup sekali hadir. Paling kurang 3X dan jika mahu lebih mungkin ada baiknya. Itu bergantung juga pada penyedia pakej. Soal dan selidik dahulu. Untuk saya sebelum ini, amat bersyukur sempat hadiri 4X kursus. Direzekikan pula berganti-ganti penceramah. Jadi ilmunya walau ada yang sama(biasanya berlainan), namun penyampaian lain dan penerimaan makin lebih. Percayalah, dengan niat yang kuat dan semangat mahu beribadat dari ‘kosong’, anda akan mampu memahami keseluruhan perjalanan yang bakal ditempuh. Ingatkan sahaja, kita bakal tetamu Allah dan mahu bersedia dengan tatacara dan tatatertib di sana. Usah kita memperlekehkan kursus yang diberi. Fokus dan serap. Bimbang tanpa cukup ilmu dan kefahaman,  silap gaya, kita ‘ditegur’ Tuan rumah kerana kesilapan diri. Disitulah pendedahan diberi dan kefahaman kita mahu duperkukuhkan. Dari situ juga keyakinan dibentuk. Menunggu untuk diamalikan setiba di Tanah Suci. Catatan dan nota juga diambil serba sedikit. Andai penyedia pakej menyediakan buku panduan dan rujukan untuk peserta pakej, itu lebih baik. Manfaatkan.

Selanjutnya persediaan lahiriah pula. Dari segi pakaian dan sebagainya. Biasanya penyedia pakej juga akan memberi panduan dan peringatan. Saya menerima dalam bentuk senarai semasa sibuk menanyakan persoalan apa keperluan yang biasa mesti ada pada penjual di hadapan bangunan berkursus. Jika tak bertanya, takkan tahu. Jadi dari situ kita anggarkan bagaimana untuk menyediakan apa sahaja yang penting lagi mustahak. Persediaan rohani dan jasmani telah terungkai dari pengalaman kecil saya.

Rasanya boleh tutup(setakat ini) sudah bicara soal sedia, kesediaan dan persediaan ke Mekah ini. Sekadar sedikit meringankan rasa dalam dada……Alhamdulillah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan