Isnin, 18 Jun 2012

BERLALUNYA CINTA MASJID BERSAMA TV AL HIJRAH DI SHAH ALAM


Sabtu lalu, dek kerana telah beberapa kali terlihat promo perihal 'Cinta Masjid' di TV Al Hijrah saya mencadangkan kami berlima ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Ambil sahaja kak Aisyah balik kelas tambahan, kami lekat dengan pelan asal iaitu menziarahi kubur, lantas terus  kami ke Shah Alam. Mmm...sekali lagi di sini, sekitar sini. Sedikit sebanyak mengimbau kenangan. Sampai sahaja di perkarangan masjid dapat rasa lebih tenang dan selesa. Kelihatan kami tiba semacam awal. Belum begitu ramai pengunjung. Kami dahulukan mana yang patut.
Ini pintu masjid di tingkat atas. Melihat pintu masjid terbuka sebegitu, nyata seakan-akan mengalu-alukan pengunjung untuk memanfaatkannya. Melihat pula kepada 'pintu hati' sendiri. Oh! apa pintu masjid itu lebih baik lagi. 'Pintu hati' ini ada masa terbuka dan terkatup menurut angin bertiup. Memilih-milih masa dan ketika. Memilih-milih sebab pun ada. Nyatanya, 'daun pintu hati' harus lebih kukuh terdidik menahan tolakan dan hentaman angin dari luar dan dalam.
Kami meninjau di ruang di mana rancangan langsung TV Al Hijrah di buat. Waktu itu hanya ada pentas kosong dan kelihatan pengunjung bersantai di sekitarnya. Terdengar juga suasana meriah dengan anak-anak kecil yang seronok bermain. Tak terkecuali askar kami,  yang paling muda. Ibarat tak cukup kaki berlari ke sana ke mari."Majid, majid". Itu laungan dia sebaik sampai di parkir kereta sebelumnya.
Kami keluar pula meronda di sekitar keliling masjid, melihat-lihat apa yang ada. Terdapat banyak gerai-gerai jualan sementara. Tersangkut seketika di gerai buku-buku. Namun menahan diri kerana masih 'ada beberapa' yang perlu dilayan sebelum mendapatkan yang baru.
Kami sempat tinjau 'booth' Al Hijrah. Terlihat pengacara, saudara Amin Idris dan rakan sekerjanya yang juga rasanya pengacara Majalah Islam seperti sedang 'melayan' acara ujibakat untuk pengunjung yang berminat. Kami membuat satu pusingan di kawasan penjaja. Meninjau pula apa ada untuk mengisi perut.  Tak banyak yang tinggal di gerai penjaja makanan. Di bawah tempat kami makan.

  
Ini warung di Seksyen 2. Pekena Kue Teow Kung Fu di sini. Lainnya memilih hidangan masing-masing. Bergegas balik ke masjid kerana hampir maghrib. Walau asalnya tak merancang untuk berada di sini hingga malam, namun itulah yang kami lakukan. Semata-mata mahu bersama-sama siaran langsung Selangor Berselawat. Kakak-kakak 'insisted' mahu melihat.

Ini suasana waktu 'rehearsal' siangnya.
Ini persekitaran waktu 'rehearsal' berlangsung. Pengunjung mulai bertambah.
Ini waktu siaran langsungnya. Waktu ini hadirin memenuhi ruang depan sekitarnya. Kira penuh. Diakui seronok beramai-ramai berselawat sambil mendengar dan mengalunkan Qasidah. Paling lagi mendengar kisah sirah Nabi dalam bentuk alunan suara bersama paluan mudah alatan muzik yang bersesuaian untuk membangkitkan rasa rindu, syahdu dan semangat dalam usaha menghayati sejarah hidup, perjuangan dan sifat kasih mesra lagi penyayangnya Rasulullah pada umatnya.


Ini adalah naskah yang diedarkan oleh pihak pelaksana majlis. Di dalamnya mengandungi beberapa Qasidah. Qasidah Iftitah, Qasidah Assalamualaik, Qasidah Ya Hanana dan Qasidah Solatun Bissalamil Mubin sempat saya tunggu. Namun untuk Qasidah Mahalul Qiam yang terakhir dalam aturcara ini, saya terpaksa berundur kerana askar kecil dah tak boleh menanti lebih lama. Jadi kami pulang dengan memori baru dalam diri. Kakak-kakak berkenan dengan Qasidah Ya Hanana. Masa di sana lancar mengikut. Sekembali di rumah dah lupa irama dan nada. Nampak sangat tak biasanya!

*Apa yang paling saya ingat di situ, adalah dikatakan bahawa sesungguhnya 'Nur' Rasulullah s.a.w telah diciptakan 2000 tahun(tak silap telinga mendengar hendaknya) sebelum kejadian penciptaan Nabi Adam a.s. Lantas 'Nur' tersebut dimasukkan sekali bersama-sama ke dalam penciptaan Nabi Adam a.s. Masa demi masa 'Nur' tersebut berpindah dari sulbi para Nabi yang mulia itu, ringkasnya (Adam-Nuh-Ibrahim-Musa-Isa) juga ditumpahkan dan terpelihara pada rahim-rahim yang suci lagi bersih pula sehinggalah tiba masa Rasulullah itu pada hari kelahiran dan kebangkitannya. Itu juga sebagai petanda Kiamat akan hampir tiba. 

Saya semakin jadi jelas. Sebelum ini sering kita dengar Rasulullah itu rahmat sekalian alam merangkumi yang lepas, sekarang dan akan datang. Baginda Kekasih Allah penuh keistimewaan dan maqamnya begitu terpuji melewati yang lain di sisi Allah. Pemegang kunci syurga. Pemberi syafaat pada umatnya. Jadi, penceritaan di situ menjelaskan pada akal waras saya akan keselarian terhadap apa yang didengari dan diketahui sebelum ini. Hakikatnya Baginda sebagai Insan Paling Mulia dan ketinggian martabatnya serta betapa istimewanya kita sebagai umat kepada Baginda. Bertuah namun sering kita palingkan darinya. Maha Suci Allah lagi Maha Teliti dan Halus penciptaan dan kejadianNya.








2 ulasan:

  1. ada jugak ayie tgok majlis tu kan tv al hijrah pada mula2 tayangan nya dulu...dan juga beberapa siri ulangan nya di sela2 waktu tv al hijrah...

    memang terbaik buat majlis2 yg berkaitan dgn cinta kita kpd masjid...mudah2an hati2 ummat islam akan melekat pd masjid...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu Ayie. Sebenarnya nak mengajak orang ke Masjid juga kena ikut perkembangan semasa. Kalau bab teknologi kita mahu memiliki semua yang terkini dan terbaik. Maka nak ajak ke Masjid juga tak terkecuali mesti diambil peranan oleh media massa. Itu bagusnya AlHijrah, setakat ini. Tahu memanfaatkan kepada yang sepatutnya. Jika berkesempatan bagus untuk kita raikan usaha sebegitu. Waktu di situ, hati senang sebab di Masjid. Masuk waktu tak payah risau, kita di tempat yang betul. Satu lagi bila berjemaah, roh sembahyang tu ternyata lain sikit.

      Padam