Jumaat, 26 Oktober 2012

MENGUCUP HAJARULASWAD (2)


Inilah sambungan kisah saya dan kenangan Hajarulaswad. Sebelum meneruskannya, mahulah saya membetulkan kesilapan fakta yang telah berlaku sewaktu entri lalu. Umrah saya satu-satu kalinya adalah pada March/April 2012 awal tahun ini juga. Saya telah menaipnya sebagai 2010. Memang sebenarnya saya merasa seperti dah 2 ke tiga tahun dari perjalanan tersebut. Rasa lama sudah. Padahal bila dilihat semula. Tak sampai lagi setahun. Memang tak sedar masa menaipnya sampai silap. Hakikatnya memang rindu mahu ke sana lagi. Memang itu barokah Tanah suci. Hati-hati muslimin dan muslimat senantiasa mahu ke sana. Bukan pula bermakna kita melebihkan hanya semata-mata tanah di sana, atau bangunan Kaabah itu sendiri atau apa sahaja yang diberitakan sebagai tempat mustajab. Sebaliknya ia adalah penyembahan kita kepada yang mencipta yang mendatangkan kesemua tersebut kepada kita. (Di 'sana' aura itu jadi lebih dari biasa. )Itulah Allah, Pencipta sekalian alam. Semua 'keistimewaan di Mekah' itu hanyalah manifestasi kekuasaan Allah pada setiap ciptaanNya. Tinggal lagi di Tanah Suci itu ia lebih ketara.
Kembali pada kisah Hajarulaswad. Ternyata cubaan pertama saya bersama teman sebilik yang telah cuba dibantu oleh seorang wanita yang menawarkan khidmat mengiring untuk mendapatkan sentuhan Hajarulaswad tidak kesampaian. Ia menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupa. Bila tidak berjaya. Kami kembali ke garisan awal untuk meneruskan tawaf sunat. Kami sepakat mengulang dari awal. Tak mahu sambung-sambung. Puaskan hati sebegitu. Maka kami sudahkan tawaf bersama-sama hingga selesai semuanya. Setelah selesai, kembali ke ruang solat untuk mengambil ruang. Kami selesaikan tunggu sambil mengulit al Quran. Selesai Asar dan kembali ke hotel. Seterusnya Maghrib dan Isyak saya bersendirian ke Masjid. Begitulah hari itu. Hari ke dua dengan cubaan yang tidak berhasil walau untuk menyentuh Hajarulaswad. Namun saya tidak pula meletakkan terkilan atau apa-apa perasaan, selain merasa tiada rezeki dan izin Allah untuk semua itu.
Selanjutnya hari  ke-3 kami keluar untuk untuk sedikit ziarah dan sekaligus mengambil miqat di Tana'im untuk umrah ke-2. Ternyata umrah ke-2 ini penting untuk saya. Antara diri dan Pencipta. Ia merupakan nazar. Sewaktu dalam bas, telah diberitahu bahawa kami boleh mengikut mutawwif andai mahu. Bagi yang mahu bersendiri melaksanakannya dibebaskan sedemikian. Maka dek kerana saya telah melalui satu pengalaman pada umrah awal saya pada hari pertama, jadi saya jadi yakin mahu melaksanakan sendiri. Waktu itu tumpuan utama adalah umrah dan mahu ia lebih baik dari yang awal. Tawaf itu sebenarnya bukanlah hanya pusing-pusingan. Setiap pusingan yang disertakan dengan bacaan-bacaan tertentu ternyata ada hikmah tersendiri. Namun bukan juga bacaan itu menjadi bebanan pada jemaah. Sebaliknya kita boleh sahaja mempelbagaikan bacaan menurut sesuatu yang tidak membebankan kita selagi bacaan itu merupakan sebahagian ayat-ayat Allah mahupun doa ataupun hanya sekadar zikir-zikir yang biasa menjadi amalan. Ternyata Islam itu bukan membebankan. Hanya sahaja tawaf itu tidak wajar 'kosong' dan 'lompong' tanpa ingatan dan mengenang rahman, rahim dan kekuasaan Allah. Setiap kali tawaf perasaan seolah automatik menjadi sayu. Mengelilingi Kaabah itu memang umpama 'recharge' terbaik di situ. Waktu itu macam merasa segala yang tidak patut dan wajar dari dalam kita keluar dari tapak kaki dan masuk pula kebaikan dari atas kepala mengisi tempat. Memandang Kaabah dengan rasa, apakah dapat akan kita memandang Penciptanya. Mampukah kita dan berpeluangkah kita untuk sesuatu yang 'klimaks' seperti itu di suatu titik kehidupan abadi di alam kekal dan tiada lagi akhirannya. Bertawaf dengan melihat langit terus dari ruang tawaf. Jika siang ia membiru terang. Jika malam, suasana tetap cerah dengan lampu berkemilau, walau langit kelihatan sedikit rehat. Ternyata mata tidak mampu menahan bebanan rasa. Ia mudah pecah.
 
Berbalik pada tawaf umrah ke 2. Saya yang bersendirian hanya memikir tentang jagaan ihram, wuduk  dan penyempurnaan umrah. Apa pun tanpa disangka-sangka tepat saya menghabiskan pusingan 6 dan baru melepasi sedikit dari Hajarulaswad untuk pusingan 7 sekali lagi, tepukan yang sama rasa seperti sebelumnya singgah di belakang saya. 'Pap!  Pap! Pap! Seolah datang dari tangan yang sama seperti sebelum Saya memang jadi amat terkejut. Sama sungguh rasa tepukan itu. Jika dah begitu, macam spontan juga saya telah memaling ke belakang dan tanpa sedar bahu telah pun berkalih arah. Saya sedar sangat Hajarulaswad dalam lebih sedikit sepuluh langkah biasa ke belakang kiri. Jadi saya waktu memaling itu nampak seorang lelaki yang saya jangka kurang umurnya  pangkat adik-adik begitu.  Sama asal dengan wanita sebelumnya. Detik hati, "Apa saja...". "Kak mahu cium Hajarulaswad?", soalnya. Saya yang tiada lain dalam kepala mahu menamatkan pusingan tawaf. Maklum hanya tinggal satu lagi, ada rasa terganggu. Budak lelaki yang berkulit hitam manis berbaju kelabu, berseluar panjang dan bersongkok itu, beriak sama seperti wanita sebelumnya. Menurut bahasa mudah saya. Muka kasihan. Mulanya saya jadi keliru. "Kenapalah pulak ni....sikit lagi aku nak habiskan". Namun saya sempat memikir, apa dua kejadian yang sama ini, ada sesuatu untuk saya. Memikir juga saya amat masih dekat lagi dengan Hajarulaswad(kebelakang dalam 15-20 langkah ke kiri). Jalan memang sesak(saya dalam lingkungan dalam ke arah Kaabah, memang begitulah yang saya puas, rapat-rapat dan langkah kecil-kecil). Pusingan itu juga sudah batal.
Saya katakan pada budak tersebut, saya dalam umrah untuk awaf pusingan ke-7. Dia katakan..."Tapi dah dekat kak...". Saya terus langkah dengan ada rasa sebal sedikit akibat batal tawaf, "Apa ada bayaran atau Lillahita'ala".(Sempat pulak tu. Kononnya tak mahu sangat diambil kesempatan oleh orang lain atas diri saya). Budak itu menjawab,"Semua kerja pasti ada harganya kak...". Dalam serba salah dan sebal yang tinggi kerana dah terbatal pusingan dan lebih keliru kerana bimbang tentang umrah saya dan semua kejadian, disamping saya dah jauh kedepan dari budak tersebut, saya tak nampak jalan mampu ke Hajarulaswad dan terus berjalan mengeleng-ngeleng sambil hanya senyum sebagai tanda,  'Terimakasih sahajalah atas niat nak membawa saya...". Tak semena-mena muncul seorang budak lelaki lagi dari sebelah kiri dan dekat  di sebelah saya. Bersongkok juga dan berbaju putih juga berseluar biasa. Air muka juga sama sebelumnya dan bercakap lembut. Dia menanyakan soalan serupa, "Kak cium Hajarulaswad kak...Kami tolong akak. Kalau akak mahu, kita berempat sama akak. Kami tolong akak. Eh! saya keliru lagi. Kenapa beria-ia diorang ni. Macam-macam dalam kepala. Selain saya pelik mereka ni macam dah pakat-pakat. Budak ke 2 ni muncul entah dari manalah pulak. Saya memang tak pasti.  Tahu-tahu kata mahu menolong juga. Namun saya cuba kawal dari fikir terlebih dan terus fokus pada tawaf dan nak sempurnakan umrah ke 2 saya. Mungkin ini hanya gangguan? Fikir saya.
Lantas sekali lagi saya hanya geleng-geleng dalam penuh keliru dengan perasaan sendiri dan apa perlu saya perbuat waktu itu. Saya terus langkah kecil-kecil dan ternyata Hajarulaswad masih tidak terllau jauh. Saya hanya mahu keluar dari situ dan mengulang pusingan ke 7 untuk menyempurnakan tawaf untuk seterusanya. Nampaknya masih tak sudah lagi. Tanpa sangka-sangka datang pula seorang lagi dari sebelah kanan. Bertubuh kecil dan kurus orangnya, berbaju hijau muda dan berkopiah putih. Ini nampaknya lebih bersemangat dan tegar. Dia seperti buat keputusan untuk saya. Tak tanya-tanya. Tak minta persetujuan dan tak pula bincang harga dan sebagainya. Dia tidak bertanya tapi terus mengajak dan membawa saya. "Mari kak, mari kak. Ikut saya. Akak ikut saya rapat-rapat. Jangan jauh dari saya". Entah apa kerana melihat budak ini terlalu semangat dan beria-ia lagi tegar menghalakan saya ke Hajarulaswad, saya bertukar jadi menurut. Pendek kata. Saya berserah pada Allah. "Mungkin ini dah takdir aku hari ini. Aku ikutkan sahaja. Mungkin ada sesuatu dari semua ini." Budak sebelumnya ada sebut, kita berempat. Saya tahu budak ini mesti ada kena mengena dengan yang sebelum-sebelumnya. Tiba-tiba semangat itu datang dan saya tekad mencuba. Ternyata, saya rasa begitu 'terpanggil' oleh Hajarulaswad. Itu perasaan yang Allah beri saat tersebut. Sempat saya beritahu padanya, saya belum habis tawaf umrah. Dial lantas mengatakan, supaya tidak lupa menyambung dan menyudahkan tawaf. Saya usaha menurut budak ke 3 tersebut. Saya memandang dia sebagai adik saya, memusing beg(berisi bekalan di masjid, buku doa dan beberapa barang lain) yang dikepit dibahu ke depan dan rapat menurut budak tersebut. Ternyata ia tidak mudah. Namun budak lelaki tersebut seperti mudah mencari jalannya. Dia nampak kecil tapi bersemangat dan ternyata tenaganya lebih dari wanita awal yang cuba menawar khidmat ke Hajarulaswad pada saya. Keyakinan saya ada. Saya rasa macam orang berenang(walau tak tahu berenang sebenarnya). Namun ini tidak dalam air. Ini menyeberang pusu-pusuan manusia. Kali ini saya rasa kurang sukar dan makin dekat.
Makin dekat, hati rasa makin berdebar dan jiwa rasa makin kerdil dan terlebih sayu. Bila tinggal dalam tiga langkah, polis yang mengawal dari atas Hajarulaswad itu, yang dari sisi Hajarulaswad, berdiri disebelah kiri atas memandang ke arah saya dan menunjuk-nunjuk tangan pada saya sambil bercakap-cakap dalam bahasa Arab tepat pada saya seolah-olah menyuruh saya berpatah ke belakang. Saya jadi sedar itu kerana kelihatan hanya saya seorang wanita yang ada dikelompok lelaki yang berebut-rebut di situ. Jadi mungkin itu faktor dia jadi seperti kelihatan menghalau saya dari kawasan itu. Lantas, saya hanya memandang ke arahnya tepat sambil berkata dari dalam hati. "Ya Allah, aku telah sedekat ini dengan HajarulaswadMu. Andai ini hariku, Kau izinkan aku. Andai polis ini merasa dia berkuasa ditempatnya, aku yakin kekuasaanMu itu melebihi segala-galanya". Sambil itu mata pecah lagi. Terasa kerdil yang amat. Pergantungan amat bulat. Ternyata polis tersebut kemudian hanya memaling mukanya(setelah dia sedar saya tiada hasrat mahu berundur) Saya hanya fokus supaya jangan sampai terjatuh. Ternyata budak lelaki bertubuh kecil ini mampu memintas giliran dengan meminta dari orang disekitarnya. Dia memang ada bercakap-cakap. Tapi saya tak dengar. Hanya dengar riuh keliling. Sebaik dia menghentikan orang kelilingnya, dia berpusing dan menyuruh saya mengambil giliran. Saat itu, rasa macam tak percaya pun ada. Dia mengajar saya masuk dari bawah lengannya(sebelah kanan) yang telah di kekang dimuka pintu Hajarulaswad tersebut. Saya mengikut katanya.
Alhamdulillah....Itulah masa saya. Sebaik dimasukkan kepala pada ruang tersebut, ternyata seperti masuk dalam satu 'ruang vakum'. Keadaan riuh tadi jadi senyap dan sayup-sayup sahaja. Saya tidak pula menyentuh-nyentuh. Sempat memandang dalam ruang tersebut dan melihat terdapat dua batu yang seperti susunan mata kanan dan kiri dan sebiji lagi sedikit ke bawah seperti ruang mulut. Jadi saya hanya meletakkan anggota saya yang sama pada tempat-tempat tersebut. Dalam hati melafazkan tidak lain hanya rasa syukur. Setakat itu sahaja, dengan hati saya lebih memikir bahawa saya mesti segera keluar dari situ kerana terdapat ramai lagi yang menunggu giliran. Saya tak mahu jadi tak patut. Sudahlah saya masuk dari jalan pintas. Namun tak semena-mena sebaik saya mengangkat kepala ke belakang, terkejut kepala saya ditolak oleh sebelah tangan yang rasanya sasa. Ia menolak ke hadapan semula, seolah menyuruh mencium lagi. Terkejut dan rasa juga..."Eh! Ada main tolak-tolak kepala  pulak. **Apa dengan dua tangan mengekang pintu muka Hajarulaswad itu, sempat adik tersebut menolak kepala saya". Namun andai dia, tangan tersebut rasa lebih besar(tak padan dengan tubuh kecil kurus adik tersebut) dan lebih kepada seperti perlakuan tangan yang menepuk saya dua kali sebelum ini. Entahlah! Allah lebih tahu. Kalau orang diluar berebut-rebut nak ambil giliran. Siapa yang baik hati menolak, seakan tahu saya yang sebenarnya agak tak berapa rasa puas di situ, namun dek  lebih memikir 'que' di belakang yang panjang.** Namun saya terus nampak dan ambil peluang itu sebagai memberi masa lebih saya dengan Hajarulaswad. Saya rapatkan semula wajah dan saya sedar Allah memberi saya lebih peluang untuk berdoa di situ. Jadi dengan penuh rasa kerdil dan lemah, saya 'melaksanakannya' sehingga mata pecah lagi. Ia seolah hanya tinggal 'hati' saya dan Hajarulaswad itu di situ. Jasad saya juga sudah tiada. Macam hilang. Hati saya yang berkata-kata dengan perantara kucupan tersebut. Di situ di dalam ruang itu. Pada Hajarulaswad. Saat itu rasa hampir sungguh dengan Pencipta kita. Saya ternyata hanyut dengan perasaan yang wujud akibat mencium Hajarulaswad tersebut. Memang ia istimewa. Setelah rasa cukup, saya lepaskan diri. Puas? Ya! Saat itu. Tak terkata. Setelah rasa hempas pulas sedemikian. Hanya mata terus-terusan pecah. Sampai rasa kelabu sewaktu berjalan keluar dari situ.
Lantas saya dibimbing keluar dari kawasan tersebut. Adik tersebut menasihatkan saya untuk solat dua rakaat sebagai lafaz syukur. Katanya payah untuk saya sampai ke sana, dan tak ramai wanita dapat sampai ke sana waktu tersebut. Jadi dia nasihatkan saya solat dan kemudian untuk menyambung semula tawaf pusingan 7 untuk menyudahkan proses umrah seterusnya. Sewaktu selepas solat  mereka ebertiga telah sedia menanti disebelah saya. Saya yang masih rasa syahdu, tahu bahawa pertolongan mereka tak boleh saya pandang ringan. Saya dah bersedia membayarnya. Saya tidak wajar pula mempersoal 'keikhlasan' mereka. Sebaliknya saya mesti melihat dalam diri dan mempersoalkan 'ia' pada diri sendiri dahulu. Jadi saya akur. Saya ganjari mereka bertiga selayaknya. Mereka kemudian meninggalkan saya. Mereka mendapat apa yang mereka mahu atas usaha dan sebagai rezeki dari Allah, dan saya mendapat apa yang Allah peruntukkan untuk saya pada hari itu. Saya meneruskan selebihnya hari tersebut dengan perasaan kagum kekuasaan Allah mengatur perjalanan saya di situ. Menunggu sehingga selesai Isya' dan kembali ke hotel sikit lagi 12 malam, waktu di sana.
**.....** Antara perkara yang rasa pelik dan aneh, namun itu tak mampu saya fikir lanjut. Allah lebih tahu.

Jumaat, 19 Oktober 2012

MENGUCUP HAJARULASWAD


Bismillahirrahmanirrahim....
Menyebut tentang HAJARULASWAD, ternyata ada kisah yang tersendiri. Kisah awalnya HAJARULASWAD (batu hitam) itu dipercayai diturunkan oleh Allah dari langit ke atas Jabal Qubais. Di ketika Nabi Ismail sedang mencari-cari batu yang cantik untuk diserah kepada bapanya Nabi Ibrahim untuk dilekatkan kepada Kaabah sebagai 'penanda permulaan tawaf', dengan perintah Allah pastinya HAJARULASAWAD telah diberikan oleh malaikat Jibrail kepada Nabi Ismail. Kedua-dua kemudian mencium Hajarulaswad kerana terpesona dengan 'baunya yang amat harum'. Dari Ibnu Abbas r.a katanya Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Hajarulaswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak Adam) menjadi hitam." - Hadis Riwayat Ahmad dan Tarmizi.

Ekoran dari pelbagai peristiwa yang berlaku kepada Kaabah akibat bencana alam dan kerosakan, yang masih menyebabkannya tinggal adalah lapan kepingan sebesar biji tamar yang diikat pada lilin yang dicampur kasturi di dalam lingkungan perak. Lingkungan perak ini kelihatannya berbentuk oval atau bujur. Sesiapa yang ingin mengucupnya hendaklah meletakkan mukanya ke atas kepingan itu. Menciumnya adalah sunat. Namun kerapkali juga diingatkan bahawa janganlah sehingga menyakiti orang lain dan diri sendiri. Tidak juga perlu terlalu memaksakan diri dalam keadaan yang penuh sesak terutama bagi kaum wanita.
Di atas adalah serba sedikit cerita perihal Hajarulaswad yang saya kutip dari pembacaan. Memandangkan sekarang kita di dalam musim Haji dan sedikit lagi akan menyambut Aidlladha, saya ingin membawa kisah antara saya dan Hajarulaswad. Ini hanya sebagai sedikit remedi untuk mengubat rasa rindu pada Tanah Suci dan segala yang berkaitan dengannya. Setidak-setidaknya ia sabahagian kecil dari caranya. Selain harapnya ia perkongsian sihat di alam siber ini.
Alhamdulillah! Pada hari kedua berada di Tanah suci pada kali pertama melaksanakan umrah di tahun 2010, saya telah berpeluang dan diizinkan oleh Allah untuk mengucup Hajarulaswad. Bagi para jemaah yang ke sana pastinya akan menyimpan keinginan mahu dapat berada ditempat-tempat mustajab doa seperti berdoa di Multazam.  Solat di Hijr Ismail, solat dibelakang Makam Ibrahim, mengucup Hajarulaswad, menyentuh rukun Yamani dan lainnya. Namun untuk saya, asalnya perkara-perkara itu hanya datang sepintas lalu. Terasa ada yang lebih utama dari semua itu. Walau bagaimana pun sebaik sahaja dapat bertawaf kali pertama dalam umrah pertama tersebut, entah mengapa setiap kali tiba setentang dengan Hajarulaswad, diri 'bagai dipanggil'. Lantas keinginan untuk 'mendapatkan' Hajarulaswad itu bercambah dan saya dapati makin menguat. Mungkin kerana saya semacam gemar dan rasa mudah meloloskan diri untuk dapat tawaf dalam lingkungan lingkaran yang agak hampir dengan Kaabah itu sendiri. Itu semua kerana, saya semulajadi suka mahu berasa dekat dengan Kaabah. Menatap sedekat mungkin. Itu seperti memberi kepuasan dan lebih meyakinkan saya. Itu rasa saya.
Seterusnya, walau hajat itu ada, saya sedar seperti tiada kekuatan, terutamanya dari segi fizikal untuk melaksanakan hajat hati. Maklum berdekat dengan Hajarulaswad itu seperti ada alunan arusnya tersendiri. Jemaah berpusu-pusu. Kelihatan manusia berombak-ombak untuk ke Hajarulaswad. Di bahagian dinding Kaabah juga terdapat satu barisan khas untuk ke situ. Faham sahaja, bukan kecil-kecil manusia dalam alunan yang ada. Memang tak nafi timbul gerun untuk masuk ke dalam suasana tersebut. Namun ada saya nyatakan dalam hati,"Andai ada rezeki aku dan izin dariNya....akan merasalah aku. Jika tidak bermakna tidaklah." Saya hanya meneruskan tawaf dan terus menyudahkan umrah dengan sedaya boleh. Hasrat itu saya pendam dahulu.
Pada hari kedua, setelah Subuh dan pulang untuk sarapan pagi, saya dan seorang rakan sebilik yang saya panggil Kak Pah telah sama-sama berpakat untuk tawaf sunat. Setelah Selain itu ada juga merancang, andai ada peluang mahu ke Hajarulaswad tersebut. Kami berpakat, jika perlu mungkin akan tinggal sana hingga Asar. Namun berbual-bual juga perihal bimbang-bimbang nanti kelaparan pula waktu tengaharinya. Namun kami teruskan sahaja dengan tujuan asal. Seperti kebetulan dan tahu-tahu hajat kami, tak berapa jauh berjalan dari hotel kami, rasa pelik terlihat  ada barisan orang pada satu lori tertutup yang besar. Bila ditinjau, rupa-rupanya ada pemberian percuma di situ yang berupa sekotak makanan berupa roti, kurma dan dua tiga jenis makanan lagi. Kami macam sepakat beratur tanpa apa-apa rasa. Mudah sahaja. Bila dua-dua dah mendapat bahagian, kami sama-sama rasa sedikit sayu dan terharu. Betapa Allah memenuhi kemahuan kita dengan cara tersendiri. Allah itu Maha mendengar lagi Maha melihat. Kami sama-sama bergenang airmata. Sensitif juga rasanya. Teruslah perjalanan kami ke Masjid.
Dipertengahan jalan sempat juga kami merancang-rancangkan sama ada mahu tawaf sunat selepas atau sebelum zohor. Ternyata waktu zohor agak lewat lagi. Terlafaz juga oleh kami, "Sebelum Zohor rasanya mungkin panas. Mungkin tak berapa nak nyaman untuk tawaf. Lepas Zohor mungkin lebih reda." Itu kata kami berdua. Maklum baru hari ke-2. Masih belum biasa dengan semuanya. Berfikir dan bercakap seperti kita di tempat sendiri. Ternyata bila sampai di Masjid kami lihat tak kurang juga jemaah sedang bertawaf. Kami terus mengambil tempat di ruang solat dan mengisi masa dengan membaca Al-Quran. Selepas Zohor, kami  mahu melangkah turun ke ruang tawaf. Dalam masa yang sama, kami sedar yang cuaca tiada perubahan dari sebelum dan sesudah Zohor. Malah kelihatan lebih panas. Langit langsung tiada berawan. Membiru jelas. Indah. Lantas saya secara peribadi merasa ada timbul persoalan apakah telapak kaki akan rasa panas ketika memijak ruang tawaf. Idea ini timbul kerana, saya ada diperingatkan sewaktu kursus, bahawa terdapat jemaah yang melecur kakinya kerana pulang tanpa selipar waktu panas. Kes kecurian selipar. Menambah teruk keadaan jemaah tersebut ialah penghidap kencing manis. Sehingga mendatang mudarat dan ke hospital sudahnya. Selaku manusia lemah, saya cuma mahu beringat. Waktu itu saya tidak tahu apa yang Kak Pah fikirkan. Kami berganding turun ke ruang tawaf. Kak Pah jenis yang suka berjalan sambil memaut-maut(begitu dia berjalan dengan suaminya, dia yang menjaga suaminya dengan cara begitu. Suaminya kurang sihat). Dia memaut lengan saya. saya membiarkan saja. Walau rasa kurang biasa dan agak kurang selesa dipaut-paut begitu.

 
Sebaik memijak lantai di situ, kami berpandangan dan kaget. Ternyata jangkaan kami meleset. Ternyata kami sama-sama jahil. Lantai itu sedikit tidak rasa hangat. Suam juga tidak. Ia rasa malah dingin lebih sejuk dari air tapi tidak pula seperti ais. Walau saya berstokin agak sederhana tebal. Namun tetap dapat merasakannya. Kak Pah tiba-tiba memeluk saya. Dia nyata menangis. Saya turut sekali. Allah sedang menunjukkan kami sesuatu. Walau ia nampak kecil, namun ternyata Kak Pah sampai mengalir air mata. Kami hanyut sebentar. Kemudian dengan tenang namun masih syahdu kami melangkah untuk tawaf. Selain memikir juga untuk Hajarulaswad.
Kami mula tawaf dan nyata sekali kami berada dalam lingkaran hampir dengan Hajarulaswad. Sedang kami bertawaf, tak saya nafikan setiap melintasi Hajarulaswad rasa terpanggil lagi untuknya. Namun pada pusingan yang pertengahan(terlupa yang ke berapa setepatnya), tiba-tiba saya ditepuk oleh sebelah tangan dibahagian belakang di bawah jauh sedikit dari tengkuk dan antara kedua belikat saya. Tepukan itu saya rasa 'lain'. Pap! Pap! Pap!. Begitu ia singgah dibelakang saya. Tepukan itu kuat tapi tak menyakitkan. Padu dan rasa macam nak sedarkan kita dari lamunan.  Mulanya saya fikir siapalah yang sempat nak menepuk-nepuk orang dari belakang sampai macam tu sekali. Apa saya menghalang jalan seseorang?. Spontan diperlaku begitu, saya menolehkan ke kiri untuk lihat ke belakang sambil usaha menjaga bahu untuk tidak batal tawaf. Kak Pah masih bersebelahan dengan saya.

 
Saya nampak seorang wanita bertudung putih dengan berbaju T-Shirt lengan panjang warna hijau muda dan memakai seluar panjang. Terus saya dapat meneka asal wanita tersebut dari riak wajahnya. Tiba-tiba dia bertanya, apa saya mahu ke Hajarulasad. Saya hanya meneka wanita itulah yang menepuk saya. Walau saya tak pasti kebenarannya sangkaan saya. Hati saya cuma terdetik, "Seorang wanita menepuk saya dengan tepukan yang pada saya rasanya pelik". Saya menoleh pada Kak Pah disebelah kanan. Kak Pah beritahu dia ikut sahaja. Namun saya lantas terlintas dan teringat pula kisah-kisah yang mana didakwa terdapat segolongan mereka yang dikatakan mengambil kesempatan ke atas jemaah dengan mengenakan upah untuk ke Hajarulaswad. Saya teringat juga kisah arwah ibu bersama beberapa rakan sewaktu menunaikan umrah yang juga membayar sebanyak 50rial  seorang untuk tujuan tersebut. Begitu pun sewaktu musim Haji arwah ibu tidak berpeluang untuk sampai pada Hajarulaswad. Terlintas juga kisah seorang jemaah yang merasa diri tertipu kerana diminta bayaran yang tinggi untuk upah membawanya ke Hajarulaswad. Semua itu menerpa dalam minda saya sepantas itu. Benar serba salah. Sedang wanita yang menawarkan khidmat itu disebelah kiri saya. Kak Pah sebelah kanan. Kaki kami tetap melangkah sedikit-sedikit kerana sesungguhnya kami memang telah berada dalam gelombang atau arus hampir pada Hajarulaswad tersebut.
Ternyata saya memang banyak kelemahan. Sempat lagi saya berkata pada wanita tersebut, "Ikhlas....Lillahita'la". Saya rasa itu seperti langkah selamat untuk mengelakkan kami diperdaya. Wanita itu dengan muka kasihan hanya diam dan mengangguk-angguk macam terpaksa.  Terus saya pasti, saya mesti menyambung semual tawaf kemudiannya. Lagi pun ini hanya tawaf sunat. Dia terus menyuruh saya memeluk badannya dari belakang untuk mudahkan tugas dia membawa kami. Kak Pah tetap sahaja memaut lengan kanan saya. Kami berdua berusaha mengikut wanita tersebut. Kami masuk ke dalam arus dan alunan mahu ke Hajarulaswad. Terasa asakan dari keliling. Terhimpit, tersepit, terkepit, terhenyak, terlanyak. Saya hanya cuba menurut. Hajarulaswad memang sudah kelihatan amat hampir. Namun terus terang hati saya merasa sudah kami takkan berjaya sampai. Walau kami usaha keras. Sebab kudrat kami tak mencukupi. Kami bertiga kalah pada keliling. Klimaksnya saya dapat rasa dada saya ditekan dari hadapan. Sampai saya kesukaran mahu bernafas. Saya tahu belum lagi masa saya. Saya takkan mahu membahayakan diri hanya untuk itu. Itu bukan tujuan utama walau ia tetap merupakan keinginan. Saya menoleh pada Kak Pah dah memberi tanda menyerah kalah. Kak Pah juga cepat mengangguk dan menarik saya. Saya sempat minta maaf pada wanita tersebut. Dia cuma termangu-mangu dan dia kami tinggalkan.
*Nampaknya mesti ada sambungannya....Insyaallah.
 

 

Isnin, 15 Oktober 2012

KU PINANG KAU DENGAN BISMILLAH.....ISLAMIC BRANDING


KU PINANG KAU DENGAN BISMILLAH! Tak tonton pun. Rasanya ini kisah sambung-sambungan. Kategorikan sahaja sebagai Cinta Islami. Oh! Maklumlah 'kini' jika jual sesuatu berdasarkan Islamic Branding memang laku. Tanya saya kenapa? Entah!, antara ada jawapan dengan tidak. Mungkin antaranya ada sedikit yang menunjukkan manusia makin mahu pada Islam. Boleh kita kata begitu? Jika ada benarnya dakwaan sebegitu teramatlah bagusnya. Saya tumpang suka lagi gembira. Namun bila melihat kebejatan sosial, tak payah pergi jauh, baca suratkhabar je dah cukup. Rogol, sumbang mahram, zina, buang anak…….Rasa macam teramatlah ‘contrast’ dengan segala macam Islamic Branding yang dipromosikan dipersekitaran. T-Shirt Muslimah. Walhal ramai pula yang ditangkap khalwat itu berpakaian ala muslimah lagi bertudung. Selepas itu membuang anak. Astaghfirullah... Sama naik.  Apa ini kebetulan?  Atau ia sama seperti….Kita melarang segala tahyul mahyul dari diajar dan ditunjukkan pada umum, namun masa yang sama filem-filem perihal segala macam hantu dan syaitan yang terus galak wujud(walau awal dulu saya juga nonton filem begini). Begitu juga kita tak mahu banyak samseng dalam negara, namun filem samseng, gangster tak putus. Macam meraikan pula. Tak payahlah kata, “Tonton dulu barulah komen.” Sebabnya semacam dah dapat agak apa kesudahan filem-filem tersebut.

Berbalik pada KU PINANG KAU DENGAN BISMILLAH. Kesimpulannya, di situ adalah Agama Islam itu tidak wajar hanya sebagai ‘branding’ bagi produk-produk yang mahu dipasarkan. Baik apa sahaja. Tidak terhad pada hanya filem. (Bukan pula saya mahu merencatkan para peminat cerita tu, jauh sekali nak komen pasal filem tu. Tak lihat pun. Ini sekadar pandangan dan fikiran sahaja).  Islam itu nyata lebih kepada cara hidup dan amalan. Apa yang diperlukan manusia adalah pendedahan demi pendedahan dan pengisian demi pengisian. Ada antaranya menjadi tanggungjawab diri sendiri, keluarga dan ahlinya, guru-guru, ketua-ketua, pemimpin-pemimpin dan sampailah pada Sultan. Jika betullah hieraki sistem perlembagaan sepintas lalu yang saya bayangkan. Jadi bila ada ‘failed’ di mana-nama pasti setiap satunya ada peranan dalam membetulkan.

Berbalik sekali lagi pada topik asal yang terfikir oleh saya asal tadi. Atas tu cuma rapu-rapuan pemikiran sebagai pembukaan. BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. Sebagai muslim, kita sering diperingatkan untuk memulakan sesuatu dengan Bismillah….Jadi tidak salah kalau mahu meminang seseorang juga dengan Bismillah. Namun sering juga sebutan itu hanya suatu lafaz pada mulut yang keluar antara dua bibir. Hakikat dan pengertiannyanya kita masih kabur. Walau terjemahannya kita hafal sudah. Ada masanya kita terlepas pandang. Tak terkecuali saya sendiri.

Selaku manusia yang amat terbatas pengetahuan, bila memulakan sesuatu, tidak kita dapat meramal apa akan menjadi kesudahan kepada sesuatu usaha kita itu. Maka sudah pasti bagi sesiapa yang kembali kepada Allah pada permulaan berbuat sesuatu itu adalah lebih baik. Sesuatu perbuatan itu dikatakan terputus kebaikannya, atau boleh dikatakan cacat kerana tiada Bismillahirrahmanirrahim. Putus keberkatannya. Berkat itu amat dititikberatkan dalam agama Islam. Yang banyak tidak semestinya cukup jika tiada berkat. Yang kaya tidak semestinya bahagia, jika tiada berkat. Yang pandai belum tentu menggunakan kepandaian pada jalan yang lurus, jika tiada berkat. Begitu mustahak berkat dalam hidup manusia. Tidak berkat itu terjadi dikaitkan  kerana tidak berbalik kepada Allah akan asal tujuan melakukan sesuatu amalan itu. Patilah ia amal yang menjurus pada kebaikan. Jika ada yang mahu merompak dan membaca Bismillahirrahmanirrahim….. Sama ada dia pelawak besar(bakal cipta kontroversi) atau jika benar penghayatan pada ayat tersebut, dia takkan jadi merompak. Oleh itu beramal dengan Bismillah..... itu bertujuan untuk memelihara keberkatan dalam menjalankan sesuatu amal perbuatan itu. Tidak terhad pada amal ibadat khusus malah am juga. 

Keberkatan itu dikaitkan dengan pengukuhan  kebaikan Tuhan pada sesuatu perkara. Satu kebaikan yang datang dari Allah dan pasti akan kembali hanya pada Allah. Ini kerana jalan kebaikan itu dibuka oleh Allah, begitu juga jalan keburukan. Manusia dayanya dengan akal kurniaan Allah perlu memilih. Bila pilihan dibuat, itulah yang akan terhasil. Niat amat berperanan. Niat(benih) yang baik, sering dikaitkan dengan hasil yang baik. Semai benih jagung, InsyaAllah pasti hasilnya jagunglah juga. Takkan kita akan dikejami dengan berhasilkan lalang. Allah tidak kejam itu. Itu bukan samasekali sifatNya. Namun mungkin sahaja terjadi sedemikian. Bila Allah mahu menunjukkan kekuasaannya. Bila Allah mahu menguji dan menduga kita. Manusia ditunjukki dan dipimpin oleh Allah juga. Dalam apa keadaan pun, Allah itu amat dekat dengan manusia. Cuma manusia itu yang begerak sama ada makin mahu mendekat atau menjarak dari Allah. Selain itu, Nabi dan Rasul sebagai utusan membawa risalah kebenaran dari Allah juga. Jadi setiap segala sesuatu itu akan kembali pada Allah. Allah empunya zat yang suci lagi kudus. Pastinya keberkatan itu akan hanya kembali pada Allah.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Bermakna perkataan ‘Dengan’ itu sendiri dilihat sebagai katasendi menyambung antara sesuatu ayat  dengan sesuatu yang lain. Mengukuhkan. Ia menjadi lafaz, simbol sekaligus semangat  mengukuhkan akidah kita dalam setiap perbuatan yang kita niatkan sebagai amalan kebaikan kita demi Allah s.w.t. Itulah Bismillahirrahmanirrahim…..

Manusia dan segala ciptaan didunia ini hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah. Ia adalah luahan dalaman bahawa pergantungan dan pengharapan kita dalam melakukan sesuatu hanya dengan izin Allah sahaja. Kita tidak hanya dengan menyebutnya dengan mulut namun hati mesti merasa getarannya dengan pemahaman bahawa apa maksud dan rohnya perkataan Bismillahirrahmanirrahim itu. Menyedarkan bahawa kita manusia ini tidak mempunyai dan memiliki sesuatu apa sebesar zarah pun bahkan segalanya sesuatu hanya akan berhasil dengan izin dan kekuasaan Allah. Tidak kerana kepandaian kita. Tidak kerana kekayaan kita. Tidak kerana apa juga kesempurnaan yang ada pada kita. Itu juga kerana kesempurnaan itu hanya milik Allah. Wah! Saya sendiri terasa makin kerdil, hampir sekerdil seekor semut.

Sifat Allah itu Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Pemurah dan Penyayang. Itu adalah kekuatan yang paling kuat perlu ada dalam diri manusia. Manusia  mesti belajar menguatkan dan mengentalkan dalaman diri pada semua keadaan. Bismillahirrahmanirrahim adalah untuk semua permulaan. Ia mesti dilafaz dengan penuh kesedaran, jujur dan ikhlas. Mudah-mudahan ia akan membawa kesan mendalam dan mampu meraih kekuatan luar dalam dengan keberkatan nama Allah sebagai Pencipta sekalian alam dan penentu setiap kejadian.

Hanya Allah Yang Lebih Tahu....



Isnin, 1 Oktober 2012

PENANGAN USTAZ AZHAR IDRUS

Alkisah Ahad lalu, kami menerima undangan ke sebuah majlis perkahwinan keluarga yang tak berapa dekat. Dalam pada kalut tu, kami adik beradik tetap berpakat nak menghadiri majlis tersebut. Kawasan Klang menjadi haluan kami. Tengah jalan hujan. Bagus! Sejuk suasana.
Atuk dalam gambar nilah yang jadi motivasi kami adik beradik nak hadir majlis tu. Selain nak raikan pengantin juga keluarganya. Ini atuk saudara kami yang bongsu, sebelah bapa. Dia OKU. Dia tidak mendengar dan tidak berupaya bercakap. Asalnya dia tinggal dengan kami sekeluarga sebelum ini. Seingat saya sejak saya sekolah rendah lagi, dia dah bersama kami sekeluarga. Namun sebaik arwah bapa tiada(saya dah graduate Diploma), terpaksa diserahkan kepada bapa pengantin lelaki dalam majlis ni. Namun kami selalu teringat pada dia. Terutama bila dah lama tak dengar khabar dan tengok rupa terkini dia. Raya hari tu nak ziarah, namun diberitahu baik datang kenduri sekaligus oleh pihak keluarga pengantin. Sekarang dia terpaksa pula pakai pengampu untuk berjalan kerana kakinya cedera akibat dilanggar budak-budak menaiki basikal. Saya terfikir pasti budak-budak tak tahu dia tak mendengar, jadi kerana itu terlanggar dengan tak sengaja.

Terperosok, terperonyok pun kerusi yang kecil, dimuatkan sebolehnya. Nak dapat korum penuh. Lihat muka atuk ni, sekaligus terkenang arwah atuk(bapa abah) dan abah sekali. Cuma jambang dia tu ekstra sikit.




Balik dari ziarah dan makan kenduri, lantas hantar Along balik hostel. Abah pulaklah kena pergi ofis kerana kawan dah panggil. Hal kerja. Abah baik hati bawa 3 orang. Jadi mak yang dah selalu ulang-alik dan lama usha banner ni, cadang tak nak lepas peluang. Pertama kali sampai sedekat ini. Taman syurga tu. Mak minta drop kat situ, nak singgah.

Memang surprised juga lihat suasana macam ni. Biasanya masa bulan time bazar Ramadhan jer nampak macam ni. Dah macam karnival besar pulaklah. Macam-macam ada. Makanan, minuman, pakaian....

Ini menarik pandangan. Tak beli. Snap gambar jer jadilah. Warna cantik dan perkataan hebat! Jihad itu bermula dari dalam diri dan ke luar....

Ini suasana tempat jemaah wanita. Awal sikit. Syukur dapat depan.

Ada taknya....Ustaz Azhar dari jauh. Bolehlah. Yang penting kuliahnya jelas dan terang. Speaker depan telinga, begitu juga skrin besar. Macam biasa style Ustaz ni. Sejam ceramah, sejam soal jawab. Isi ceramah dan lawaknya mantap. Kitab bertajuk anak Kunci Syurga m/s 15. Di antaranya ada juga dilancarkan kutipan derma. Masjid ni memerlukan kutipan tak silapnya RM32,000 untuk beli kipas yang bilahnya sepanjang empat kaki tu. Jawatankuasa cadang nak beli empat. Memang belum ada aircond. Bahkan kami semua terpaksa menahan kepanasan semasa majlis. Namun semua itu sementara sangat. Sempat diumumkan kutipan malam tu berhasil sebanyak RM22,000. Mudah-mudahan Masjid dapat apa yang dimahukan demi kemudahan awam.

Waktu nak balik. Masih meriah di luar ni. Sempat menyambar sebotol minyak wangi kasturi putih. Perasan harga murah sikit dari beli di Putrajaya sebelum ni. Quantity lebih kurang dan bau pun sama. Jadilah.
Malaysia ni syukur Alhamdulillah. Makan mewah. Seronok tengok mereka yang sempat makan macam ni. Saya....lebihkan penat. Tapau sebungkus carrot susu dan balik dah!....