Sabtu, 6 November 2010

BESI DALAM AL-QURAN: AL HADIID

Sesuai dengan 'mood' aku, hari ini nak berkata-kata mengenai mencari besi dalam Al-Quran. Mungkin pelik bunyinya, namun al-Quran yang sememangnya mukjizat ini sekaligus' MANUAL' kepada insan ciptaan Allah sebenarnya lengkap sudah, lagi syumul Islam itu sendiri. Namun insan yang lemah seperti aku ini, biasalah bila senang dan diulit bahagia sering lupa pada Khaliknya, bila sedih lagi berduka baru melutut, menyembah dengan linangan airmata. Tapi aku terima itu semua sebagai hakikat hidup dunia ini yang aku tahu tiada kekalnya. Allah tidak pernah berpaling dari hambaNya, tapi hambaNya yang sering alpa dan leka.

Perasaan aku kini bukan pertama kali dirasa. Namun kali ini aku kongsikan dengan coretan ini, sebagai merakam supaya boleh dinostalgiakan dan diulangbaca. Rasa sedih, kecewa, hampa, nestapa atau pendeknya sesuatu yang meruntun jiwa pasti pernah dialami oleh kita. Untuk aku, tiap kali rasa itu datang masa itu aku mencari kekuatan bagaimana untuk melebur runtunan jiwa itu. Aku tidak sedar bila aku menjumpai formula ini, namun kekuatan itu rupanya ada pada BESI DALAM AL-QURAN, iaitu Al-HADIID yang mempunyai 29 Ayat. Aku bersyukur kerana dengan adanya terjemahan Al-Quran, aku dapat seadanya faham erti kandungan surah itu. Tafsir PIMPINAN AR-RAHMAN terbitan Bahagian Hal-Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri yang aku miliki pada tahun entah bila - waktu masih bergelar pelajar rasanya; (yang pasti waktu itu hati ini terbuka untuk lebih memahami maksud ayat-ayat dalam Al-Quran itu sendiri), sememangnya menjadi naskah pertama tafsiran al-Quran untuk aku. Sekaligus ia menjadi kesayangan untuk aku kerana padaku kandungannya mudah aku faham. Jika dibandingkan dengan naskah yang aku beli kemudian, naskah itu tetap yang pertama untukku.

Berbalik kepada surah Al-Hadiid tadi, jika dilihat hanya ada sekali sahaja menyebut perkataan besi, sekaligus menggambarkan tentang kekuatan. Ianya pada ayat 25. Ringkasnya, ia menyebut tentang kejadian besi yang menggambarkan sesuatu yang kuat dan handal untuk kegunaan manusia dalam kehidupan harian. Selain itu, tersiratnya adalah ternyatalah dalam pengetahuan Allah tentang orang (yang menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulnya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa.

Walau bagaimana pun, buat diri aku ayat pemulih untuk diri aku bukan yang menyebut tentang perkataan besi itu sendiri. Aku dipahat oleh ayat 20. Padaku ia benar-benar meredakan, menenangkan, merungkaikan. Jika dikatakan itu sesuatu sebagai ‘soul escapism@pelarian jiwa’- mungkin juga pada mulanya. Ayat ini adalah ayat penyedar. Mula-mula aku kenal ayat ni, setiap patah perkataannya padaku amat tepat mengenai batang hidung aku. Bunyinya begini;

Ketahuilah(1729)(bahawa yang dikatakan) kehidupan itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta (perhiasan yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan hartabenda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredhaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.(1730)


(1729) Setelah diterangkan keadaan orang-orang yang beriman dan orang-orang kafir di akhirat, maka ayat ini diteangkan pula keadaan kehidupan dunia yang tidak patut dijadikan tujuan utama.
(1730) Lihat penjelasan no 135
Oleh itu awaslah daripada dilalaikan dan diperdayakan oleh kesenangan dunia dan kemewahana; dan sebaliknya, gunakanlah semua itu untuk amal kebajikan bagi mencapai kesenangan dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.


Biasanya selepas membaca tafsiran di atas, gelora rasa aku bisa mereda, bagai dijirus air tika lena bermimpi; aku pasti terjaga. Realitinya akulah insan hina – tiada punyai apa. Aku dipinjamkan dengan jasad dan roh berjiwa. Aku dibekalkan dengan hati dan rasa. Tidak ketinggalan akal juga diserta. Ya Allah pimpinlah hambamu yang sering terleka. Engkaulah sebaik-baik pemimpin. Cuma padaMu aku berharap, berhajat dan bermunajat. Cuma padaMu, Tuhanku yang Satu.......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan