Khamis, 25 November 2010

PIKUL APA YANG TERMAMPU (LA YUKALLIFULLAH HU NAFSAN ILLA USA'HA)

Azan subuh baru sahaja berkumandang. Sayup, syahdu dan tenang gelombangnya. Ya! itu gelombang yang mengajak kita mendirikan tiang-tiang kukuh untuk sebuah rumah kehidupan (Hayya A’lassolah). Insyaallah, kita bakal dapat menggunakan rumah berteraskan tiang-tiang kukuh itu untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. (Hayya A’lal Falah) - Insyaallah. Namun untuk aku yang sedang ‘bercuti’ ini, di pagi Jumaat yang mulia merasa terpanggil untuk mengingati sesuatu dari kalam mulia Tuhanku. Ingin aku kongsikan ianya di sini. Menurut apa yang aku tahu ia sesuatu yang baik sebagai amalan dalam kehidupan.

Sebagai insan kerdil dan manusia biasa, pasti ada masanya kita melalui saat-saat yang sarat dengan kesukaran. Senario ini mungkin berbeza dari individu ke individu. Jika diikutkan hati manusia kita ni, siapalah yang ingin berdepan ‘kesukaran’. Kita ingin semua perancangan kehidupan kita berjalan lancar menurut kehendak hati supaya mendapat kepuasan dalam kehidupan. Kita rancang dan susun jadual dan aktiviti kita sebaik mungkin. Sehabis tenaga pula kita cuba memastikan semuanya berjalan ikut ‘schedule’ kita. Namun, ada masanya ia samasekali tidak menjadi. Selain itu kita mungkin diduga pula secara fizikal dan mental dalam keadaan yang boleh menerbitkan kemarahan, kerunsingan, kesedihan, tercalar maruah, rasa terkhianat, tertipu dan semua rasa yang tak mahu kita rasalah gamaknya!. Semua rasa itu tidak bersalah sama sekali. Sebagai insan lemah kita sememangnya layak merasa semua itu. Ini kerana yang sempurna hanya Allah. Allah juga yang Maha Suci. Kita ingati juga disaat kita merancang, Allah juga merancang untuk kita dan semestilah perancangan Allah itu yang terbaik.

Untuk mengatasi apa juga kesukaran mahupun keserabutan yang timbul itulah, aku sarankan untuk diriku dan sesiapa yang terbaca ruangan ini untuk merujuk dan mengamalkan mutiara yang menjadi tajuk utama kali ini. Ia sebenarnya terkandung di dalam dua ayat terakhir pada Surah Al Baqarah. Kita ketahui bahawa Surah al-Baqarah adalah surah pertama dan terpanjang di dalam Al-Quran. Juga ketahui Surah al-Baqarah mengandungi ayat yang hebat iaitu ayat al-Kursi. Namun ayat yang aku perkatakan ini, yang mana aku panggil Amanarrasul saja. Ayat inilah yang mengakhiri Surah al-Baqarah. Ayat 285 dan 286. Dulu aku tak berapa nak hairan dengan ayat ni. Entah macam mana, tak diingat pula pada tahun bila, ayat ni tiba-tiba menjadi diserlahkan penting pada aku. Aku pun sedaya dapat menghafalnya. Alhamdulillah!. Aku difahamkan bahawa ayat ini amat baik diamalkan bersama-sama Ayatul Qursi. Ia menjadi ‘pemangkin’ bila berdepan apa-apa permasalahan selain pendinding dari musuh nyata mahu pun tidak nyata. Insyaallah, ia juga boleh dibaca sambil berhajat. Allahlah yang akan menilainya.

Nabi SAW ada bersabda: ‘Bacalah surah al-Baqarah. Mengambilnya itu berkat. Meninggalkannya itu kerugian. Sihir tidak dapat menandinginya.’ Bebanan dalam hidup ada seribu satu macam. Beruntunglah mereka yang tidak pernah merasa terbeban. Lain padang lain belalang, lain orang lain masalahnya atau pun bebanannya. Itu resam hidup. Hidup ini berkisar bagaimana melepasi halangan demi halangan. Oleh itu ayat yang diceritakan ini amat mustahak diamalkan. Aku melihat ayat ini berintikan kasih-sayang Allah yang tidak terhingga. Apa tidaknya – “Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang sesuai dengan kesanggupannya”. Bila diulang-ulang bait-bait ini, serasa ada lahar-lahar kekuatan yang menjalar secara perlahan-lahan. Namun kepanasannyalah yang akan membangkitkan kita. Mudah-mudahan Allah mengizinkannya. Tak percaya? Boleh cuba. Jangan ingat yang lain – fokus hanya pada yang menjadikan seluruh alam ini – Allah.

Kita akan sedar yang dipikulkan pada kita itu adalah yang selayaknya bagi kita pikul. Allah tidak bersifat kejam. Manusia ya! Kita masih boleh melangkah dan ada rezeki bagi kita. Utamanya, kita masih bernyawa dan hidup ini masih boleh kita teruskan dan masih banyak keindahan dan kebahagiaan yang boleh kita terokai. Pasti ada sesuatu buat kita. Aku pernah berkata pada anak-anakku, ‘hidup ini adalah cuma jambatan ke akhirat’. Sebelum kita melangkah melintas jambatan itu ialah alam rahim ibu. Kita pun meniti jambatan dan akan sampai ke hujung satu lagi. Itu alam kekal – Akhirat!. Harapnya anak-anak aku faham dengan maksud aku berkata demikian. Allahua’lam.......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan