Selasa, 23 Ogos 2011

MARI BANTU MENBANTU MENCARI NURQANAAH

Perbicaraan ini bukan menjurus kepada cerita mencari seseorang yang hilang. NUR QANAAH itu  aku terjemahkan sebagai cahaya Qanaah. Qanaah pula seperti mana yang diketahui umum adalah salah satu sifat MAHMUDAH(sifat-sifat baik yang dituntut dalam Islam). Qanaah, aku ringkaskan sebagai suatu perasaan merasa cukup yang membawa kepada rasa syukur bila bertambah nikmat yang dikurniakan Ilahi dan sebaliknya akan bersabar dan redha jika  ditakdirkan tidak mendapat apa yang dihajatkan. Di sini  kita andaikan usaha, doa dan tawakkal telah diadunkan. Kerdil sebenarnya aku, kerana tahu tidak layak berbicara lebih. Namun, aku tidak risau dan yang membaca juga tak perlu bimbang kerana apa sahaja hasil coretan yang ditatap ini merupakan adaptasi dari ilmu-ilmu yang kudapati dari para Ustaz mahupun Ustazah. sedapatnya. Cuma aku menulis menurut apa yang bersisa meresap ke dalam organ yang letaknya paling atas dan baik kedudukannya dalam susunan tubuh badan seorang manusia. Coretan untuk diri dan sedikit perkongsian bersama.

Dikatakan Qanaah ini berkait rapat dengan Zuhud. Bila sebut Zuhud kita mungkin hanya akan membayangkan kehidupan serba kekurangan dan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pakaian pula lusuh dan tak banyak tukar gantinya. Rumah kosong tak banyak isinya. Bila berjalan, orang tak pandang pun. Tiada yang istimewa. Tiada tarikan magnet. Oh! tidak bukan begitu ceritannya. Sesungguhnya Rasulullah, Muhammad (s.a.w) contoh manusia zuhud yang tiada taranya. Diberitakan beliau tidak pernah kenyang untuk jangkamasa 3 hari berturut-turut. Ini memang dengan sengaja. Padahal beliau Nabi dan para Malaikat sentiasa bersedia dengan arahan  Allah  di mana andai sahaja beliau berdoa bakal dikabulkan. Baginda memilih berpuasa yang berselang seli. Pasti ia melibatkan rasa dalaman diri baginda yang begitu tinggi ketaatan pada Allah dan demi menjaga kerohanian kenabian beliau. Selayaknya beliau itu KEKASIH ALLAH. Memang boleh kita sebut beliau Nabi dan kita manusia biasa. Namun itulah hikmah Nabi itu dari kalangan insan yang sama serupa sifatnya dengan orang kebanyakan. Tinggal lagi tahap ketaatan dan caranya itu yang disebut 'sunnah 'yang patut menjadi ikutan dan amalan. Oh! ya senang aku berkata-kata. Tidak perlu berbayar. Keluar dari celahan kedua bibir dan barisan gigi. Aku sendiri dalam pencarian pada NURQANAAH ini. Semoga Allah menemukan juga aku dengan si gadis pingitan yang manis ini.

Itu sedikit menyebut kisah Nabi. Apa pula dengan kisah aku, kita dan persekitaran hidup kita dengan si NURQANAAH ini?  Umumnya kita kini kelihatan jauh dengan sifat merasa cukup. Bila tiada sesuatu kita mahkannya. Bila sudah dapat, kita mahu lebih. Bila sudah lebih kita mahu kepelbagaian dan mahu yang lebih baik, dan seolah tiada kesudahan. Itu memang fitrah manusia. Akal dan nafsu yang sering main tarik tali dan melihat siapa yang kuat dia yang akan dapat pingat. Namun jika akal yang menang pasti Rasulullah  itu contoh terbaik dalam strategi perlawanan tersebut. Itu kena kaji, fahami dan ikuti. Sebaliknya jika nafsu yang menang, nescaya ia bagai tiada noktah dan mungkin kita akan lesu dan lemah dibuatnya. Itu timbul kata, TURUTKAN NAFSU AKAN LESU. Ambil contoh mudah, bila tengah lapar dan ke bazar ramadan kita pasti pernah membeli hampir apa sahaja yang menaikkan selera di saat itu. Namun setelah berbuka, banyak juadah yang tidak berusik. Bila timbul rasa tidak mahu membazir, kita paksakan makan. Bila makan terlebih, badan jadi berat, lesu dan sudahnya mahu bangkit juga payah dan kerjakan solat dalam keadaan terlalu kenyang. Bukankah sudah dikatakan kita terlalu jauh berbeza dari sunnah Rasulullah?

Contoh mudah itu sama sahaja dalam apa jua tindakan kita dalam kehidupan. Lawan sifat merasa cukup adalah tamak. Tidak pernah puas. Ini berkait juga dengan sifat yang terlalu berbangga dengan kemewahan diri, senantiasa ingin bersaing dari segi material. Merasa tinggi diri dengan pangkat dan kedudukan mahu pun keturunan yang baik. Suka menunjuk-nunjuk dan menilai harga diri itu dari segi dunia dan isinya. Taliukur kita,  lebih banyak kemewahan dan material yang diraih, lebih mulia pandangan manusia pada kita. Namun kita sering terlepas pandang bahawa pencipta kita mendahulukan hanya TAQWA dalam menilai diri kita. Sikap kita ini juga mampu menjangkiti kita dengan penyakit CINTA DUNIA(Hubbuddunya). Penyakit yang paling dibimbangi Rasulullah untuk umatnya di akhir zaman. Itu VIRUS paling bahaya bagi umat Islam. Andai sahaja baginda ada bersama-sama kita.......Aku semaikan benih rindu pada sang Kekasih Allah yang mulia itu. Ku pohon Allah menyuburkannya....

Ramadan sudah di minggu akhir. Kita akan keluar dari Madrasah Ramadan tahun ini dalam keadaan yang ditentukanNya. Ketentuan Ilalhi itu juga berkait rapat dengan pencarian sebenar kita dalam madrasah Ramadan itu. "Berpuasalah kamu sebagaimana mereka yang terdahulu, mudah-mudahan kamu bertaqwa..." Ayat terkenal perihal tanggungjawab berpuasa ini mendalam maknanya. Namun itulah hakikat berpuasa sebenarnya, sebagai pembuka jalan pada rasa takwa dan meningkatkan ketakwaan yang sedia ada. Maha Suci Allah lagi Maha Mulia......



5.20pm 23/8/11


2 ulasan: