Isnin, 3 Disember 2012

AMALAN SIHIR DALAM MASYARAKAT


Berbicara perihal SIHIR, sepintas lalu sepertinya ia melawan arus@tak sesuai untuk sebuah zaman serba berteknologi tinggi dan canggih dengan gaya hidup serba moden yang dikecapi dunia masa kini. Hakikatnya sihir tetap menjadi suatu gajet popular sebagai amalan kebanyakan manusia yang dasarnya telah secara sedar atau tidak telah tergugat keyakinan diri dan tergoncang iman dalam jiwa dan nyata berpaksikan nafsu. Bahkan 'upgrade' SIHIR juga berterusan. Mungkin ini teknologi Iblis dan sekutunya. SIHIR menjadi alat kerana percaya bahawa ia jalan cepat lagi singkat untuk mencapai keinginan dan hajat hati. Lantas melepaskan kebenaran bahawa bersama-sama sihir itu sebenarnya adalah kehadiran mahluk-makhluk yang dipanggil  jin dan syaitan berperanan dalam apa-apa usaha yang dibuat. Ia sebagai melunaskan janji iblis untuk menyesatkan anak Adam, sejurus dihalau dari syurga.  Jika disebut SIHIR, usahlah memandai-mandai kita mengkategorikan adanya sihir baik dan sihir jahat. Kesimpulannya ia menghalakan manusia ke arah kesesatan dan syirik kerana unsur bergantung kepada lain, selain Allah s.w.t selaku Pencipta dan Pengatur alam semesta.
Sejarah membuktikan bahawa Rasulullah s..a.w juga pernah terkena ilmu sihir dari seorang Yahudi. Sihir tersebut dikatakan menjadikan Baginda seperti seakan-akan lupa akan apa yang diperbuatnya. Lebih lagi ia berkaitan dengan isterinya Aisyah r.a. Baginda jadi ragu-ragu apakah ia telah atau tidak 'bersama' dengan Aisyah. Sihir itu didatangkan dengan menggunakan rambut Rasulullah pada sikat. Dari situ dapatlah disimpulkan ia bertujuan untuk mendatangkan onar ke atas diri dan rumahtangga Rasulullah khususnya. Untuk ini suka merujuk sedikit pada ayat Al-Baqarah 102 bermaksud, "Mereka (membelakangkan Kitab) Allah dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir dengan amalan sihirnya; kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil(Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat samasekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun (melainkan dengan izin Allah)*. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui."
 
Ya! Lihat itu sejarah sihir dalam mempermainkan akal waras sehingga diperkotak-katikkan sedemikian rupa. Bahkan akal seorang Rasul. Namun Allah telah menyusun hikmahnya, tiada lain untuk dikecapi oleh umat Rasul itu sendiri. Ini membuktikan bahawa Rasul junjungan mulia kita itu memang manusia biasa yang tidak terlepas dari rencah kehidupan seorang   insan. Selain itu peristiwa itu juga membawa bersama-sama caratindak, iaitu bagaimana untuk mendinding dan merawat diri dari sihir tersebut. Begitu Allah, dengan ilmunya yang Maha luas menyusun sesuatu melalui perantara Rasulnya demi kemashlahatan hambanya. Jadi selayaknya kita menjadi lebih bersyukur padaNya dan meningkatkan rasa kasih sayang dan penghargaan pada Rasul junjungan mulia.  Untuk Rasul, diutus malaikat menjadi utusan merubat sihir yang dikenakan. Masakan Allah membiarkan utusanNya menderita sedemikian. Lebih lagi kekasihNya.
Bagi manusia biasa, tiadalah lain caranya kita hanya bergantung pada carakerja yang telah dicetuskan oleh sejarah tersebut juga dalam mengatasi masalah sihir yang mendatang. Jelasnya, ia berasaskan sumber mukjizat tinggalan Rasulullah s.a.w iaitu Al Quran. Syaratnya ialah kita tidak boleh memandang dan melihat al-Quran itu semata-mata susunan ayat-ayat dari huruf-huruf Hijaiyah yang berbaris. Ia lebih dari itu. Membaca, mencari makna, mencari maksud dan usaha memahami tujuan sesuatu ayat, mampu menemukan kita dengan 'mutiara-mutiara' yang bakal mengubati penyakit-penyakit rohani dan mahupun jasmani. Sebelum meneguk atau menelan ubat-ubatan tersebut perlulah dengan penuh rendah hati dan diri mengingati kepada Pencipta Alam dan segala yang wujud bersama alam baik dari segi kebaikan yang ada mahupun permasalahan yang timbul didalamnya. Zahirkan keyakinan yang mantap bahawa kesembuhan itu hanya hakNya. Hamba hanya berhak memohon dan meminta hatta mengemis padaNya. Semua itu menjadi dasar pengubatan berteraskan Al-Quran dan sunnah. Kedua-dua tersebut dijamin menjadi sumber pemulihan, pembaikan,  keteguhan, kemantapan hidup manusia dunia dan akhirat. Al-Quran jugalah selaku peguambela kita di akhirat. In Sya Allah menjadi penyelamat dari kebejatan alam kubur seterusnya alam akhirat.
Bicara ini tercetus bila saya mengenangkan beberapa kisah yang agak dekat berkenaan sihir. Tidak terkejut sihir ini mampu 'melumpuhkan' kehidupan seseorang selain ada yang mampu meragut (dengan izin Allahs.w.t). Penyakit kanser yang sebelum ini secara tulinnya kita percayai dan kenali sebagai penyakit hospital juga mampu didatangkan dengan sihir(sebelum berkesimpulan begini perlulah jalani tahap-tahap pemeriksaan dan membuat perbandingan dari sudut-sudut perubatan dan pengubatan moden dan alternatif). Bayangkan jika hanya kerana menolak lamaran seseorang dan berkahwin dengan pilihan hati, seseorang itu disihir dan dikerjakan secara halus selama bertahun-tahun sehingga menyekat dari mendapat zuriat dan seterusnya setelah berpuluh tahun dikesan dengan penyakit kanser. Walau asalnya tidak menyangka langsung kanser tersebut adalah natijah dari sihir. Logiknya ialah, sihir@jin yang didatangkan sipenyihir mampu meresap ke dalam salur darah dan merosakbinasakan tubuhbadan dari dalam. Ini kemungkinan dengan menyekat pengaliran darah di sana sini atau sebagainya. Terpaksa pula menjalani pembedahan membuang bahagian antara yang tersayang atau terindah yang dijangkiti. Tiada jaminan penyakit akan sembuh. Cuma rawatan demi rawatan moden dan alternatif selain doa yang menjadi rutin kehidupan.
 
Namun setiap kejadian ada hikmah. Bila tuan punya badan sendiri menyatakan sedemikian dan betapa dia mampu mendekatkan diri dengan Allah atas sebab penyakit yang menyinggah, saya kagum dengan semangat dan daya juangnya. Menyimpul segala yang berlaku sebagai titik tolak untuk lebih mudah menjalani hidup yang menjurus kepada meraih perhatian dan kasih sayang Allah pada satu peringkat. Kasihan dan simpati saya padanya entahkan umpama satu titik kecil dibandingkan dengan kasih sayang Allah padanya. Puluhan tahun(semenjak mendirikan rumahtangga) menderita secara sedar dan tidak kerana gangguan sihir. Menjalani hidup yang serba cukup dan limpahan rezeki dari sudut kewangan, namun tiada zuriat sebagai pelengkap rumahtangga. Kemudian ditambah dengan penyakit yang menjadi ketakutan pada manusia. Kisah sebegini mengundang pelbagai rasa dalam jiwa. Betapa manusia itu, sebahagiannya mudah lupa pada asal diri dan cuba mengatasi Penciptanya dengan bersekongkol pula sesama makhluk sesat dan bersekutu dengan Iblis laknatullah. Semoga terjauh dari kesesatan sedemikian dan dilindungi kita dengan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t.
 
*Rujuk Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran.

2 ulasan:

  1. salam ziarah & bacaan info di sini. terima kasih atas perkongisan :)

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah. Nazra andai anda melihat tulisan dan catatan di sini sebagai satu 'perkongsian', saya jadi gembira mendengarnya. Rasa tercapai satu antara tujuan suka-suka tulis saya. Lebih dari itu satu-satu perkongsian matalamat untuk kita semua adalah 'pulang pada Pemilik dengan rasa redha dan diredhai'. In Sya Allah.

    BalasPadam