Ahad, 17 Mei 2009

PEPERIKSAAN ANAK-ANAK

Peperiksaan penggal pertama persekolahan telah pun bermula semenjak pertengahan minggu lepas. Ada yang bermula pada hari Rabu merujuk kepada sekolah anak-anak saya). Bagi kakaknya di asrama, bermula Khamis lepas. Apa yang penting tentangnya? Ini bergantung kepada para penjaga. Ada yang saya tahu langsung tidak tahu bila peperiksaan bermula mahu pun berakhir. Ada yang sedar-sedar anak beritahu dah mula atau berakhirnya peperiksaan. Yang lebih dahsyat lagi tahu-tahu dapat memo untuk mengambil Buku Laporan Kemajuan anak di sekolah. Untuk ini, biasanya pihak sekolah yang prihatin akan mengedarkan Jadual Peperiksaan seawal seminggu sebelumnya. Selain itu menjadi tanggungjawab para penjaga bertanya kepada anak-anak tentang hari peperiksaan. Sekurang-kurangnya anak-anak sedar yang penjaganya mengambil tahu tentang hari penting tersebut. Selebihnya dapatlah kita mengingatkan mereka untuk mengulangkaji berdasarkan jadual waktu peperiksaan yang diberi pihak sekolah.

Menyebut tentang mengulangkaji, penting juga untuk kita memerhati dan memastikan ia dibuat oleh anak-anak kita. Kita tahu bahawa pelajaran sekolah rendah terutama bagi darjah 1-3 bukanlah sesusah mana. Namun menurut pemerhatian saya kini tidak lagi. Sukatan pelajaran mereka semakin ‘advance’. Jika dilihat pada buku teks juga latihan mereka, memang jauh beza dari zaman sebelumnya. Saya juga kekadang terkeliru dibuatnya. Itu sebabnya guru-guru sekarang mesti berusaha lebih bagi meningkatkan kefahaman tentang sesuatu matapelajaran. Kemudian mereka mesti berusaha mencari jalan terbaik bagi menyampaikan kefahaman mereka menurut kesesuaian murid-murid. Biasanya anak-anak mempunyai daya pemahaman yang berbeza-beza. Ini saya perhatikan dari anak-anak saya yang bertiga. Pemahaman mereka menggambarkan IQ mereka.

Bagi ibubapa jika ingin membantu anak-anak mengajar ‘one-to-one’ adalah cara terbaik. Kita dapat mengesan dimana kelemahan anak-anak ini dan membantu mereka mengatasinya. Mengajarlah mengikut bab demi bab dan latihan mesti dibuat selepas setiap bab dipelajari (sebelum tu kenalah kita mengulangkaji dulu buku mereka – teks atau nota). Ini untuk mengasah dan menguji semula pemahaman selepas pembelajaran. Minat anak dapat dipupuk dan anak akan merasa diperhatikan dan diambilberat oleh ibubapa. Seterusnya mereka tahu mereka disayangi. Tekankan pada anak-anak perihal pentingnya mendapatkan ilmu. Mereka perlu didorong supaya bersungguh-sungguh dalam pelajaran juga peperiksaan. Tempat atau nombor ke-berapa tidak begitu mustahak. Apa yang penting adalah peratus keseluruhan. Peratus terbaik ialah 85 ke atas. Ini menggambarkan secara purata untuk setiap matapelajaran anak tersebut mendapat 85 markah dari 100. Ini biasanya bagi murid-murid yang menduduki kelas pertama dan kedua kerana hampir kesemuanya pandai-pandai belaka.

Prestasi anak-anak ini sememangnya mustahak dijaga semenjak awal persekolahan. Bukan untuk terlalu memaksa atau membebankan. Ini kerana perjalanan mereka dalam pelajaran masih jauh. Cuma lebih kepada mengingatkan dan menggalakkan juga memandu mereka untuk terus berminat dengan ilmu dan pendidikan. Kejayaan seseorang murid dalam pelajarannya bergantung kepada banyak faktor. Guru-guru, ibubapa, rakan-rakan dan persekitaran diantara faktor utama menentukan prestasi seseorang anak dalam pembelajarannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan