Rabu, 3 Jun 2009

SEGITIGA@TIGASEGI BUKAN BENTUK PILIHAN

Tajuk yang akan diperkatakan ini mungkin pelik dan menghairankan. Namun hati ini begitu dicuit untuk tetap memperkatakannya. Mudahan-mudahan saya mendapat iktibar dan dapat berkongsi pandangan tentang isunya. Konsep ‘trinity’ yang mengatakan bahawa Allah itu mempunyai isteri dan anak nyata diluar akidah Islam. Bermuda Triangle pula ada yang mengaitkannya dengan pusat persembunyian Dajjal. Logo yang menjadi kebanggaan kumpulan Black Metal juga terhasil dari cantuman dan susunan bentuk-bentuk segitiga ini. Seterusnya terkini dan sensasi kisah yang menarik perhatian saya juga barangkali menjadi perhatian umum sepanjang minggu lepas dan kini kisah cinta tigasegi yang disebut-sebut melanda Ustaz Akhil Hayy, seorang yang dikatakan pendakwah dan bapa kepada enam anak hasil perkongsian hidup selama 13 tahun bersama Maizawati Zainal.

‘Akhil mahu selesai secara maaruf’. ‘Hari ni, hari kau’. Ini tajuk utama Harian Metro yang saya beli pagi 3 Jun. Terpampang juga wajah Akhil Hayy dan Maizawati di ‘front page’. Dalamnya memuatkan berita di mana Akhil Hayy secara sinis menyatakan segelintir pihak mungkin berpuas hati dengan apa yang berlaku padanya kini. Diketahui berbagai pandangan dan spekulasi timbul mengenai kisah hangat ini. Seorang isteri yang mengatakan telah ditinggalkan selama 3 bulan berturut-turut dan telah membawa kesnya ke mahkamah. Ini melibatkan pihak ke-3 yang dikatakan punca kepada keruntuhan rumahtangga yang telah terbina selama 13 tahun dan menghasilkan 6 cahayamata pelengkap kebahagiaan pada kedua suami isteri. Di mana silapnya? Atau apakah soalan itu jika diaju pada kedua pasangan, hanya akan menjadi seperti ‘telur dan ayam, yang mana jadi dahulu?’ Ini senario biasa yang wujud bila wujudnya ‘konflik’ dalam sesebuah perhubungan. Masing-masing akan berusaha menyediakan jawapan untuk membela diri dan membuka kelemahan pihak satu lagi. Lumrah!. Tidak mengira artis mahupun orang biasa. Jika artis, ia bakal jadi sensasi.

Dalam hal ini saya tak terkecuali dari mempunyai pendapat dan pandangan sendiri. Sememangnya saya tidak kenal kedua-duanya secara dekat. Hanya pandangan orang luar berdasarkan pembacaan dan pengamatan melalui saluran media yang dipaparkan. Namun naluri insani masih ada pekanya. Harap tidaklah pekak. Dua hari lepas sewaktu mengemas rak majalah lama, saya terpegang sebuah majalah bertajuk Cermin dengan gambar Akhil Hayy dimuka depan yang didalamnya menceritakan tentang muzik Black Metal Hakis Akidah. Saya amati wajahnya dimuka depan majalah itu, ternyata penampilannya agak berbeza dari yang ada di Harian Metro terkini. Tahun 2001 itu beliau berkacamata dengan rambut yang pendek dan ada seumpama kain selendang dilipat diletak dilehernya dan berbaju melayu hijau kebiruan. Riak wajahnya serius dan bermisi. Di dalamnya ada gambar penuh ,hitam putih yang mana beliau rupanya berkain sarung. Waktu itu beliau 8 tahun lebih muda dari sekarang. Di majalah itu juga memperkenalkan beliau sebagai Ustaz Haji Akhil Abd Hai Rawa. Kini beliau komersial dengan Ustaz Akhil Hayy. Beliau kini berambut panjang. Berpakaian lagak orang lelaki kebanyakan dan seringkali juga tidak berkupiah dan berwajah santai. Beliau berumur 40 kini dan isterinya Maizawati 33.

Semasa mula mengikuti kisah ini di dada akhbar, saya tahu beliau berumur 40. ‘Life begins at fourty’. Inikah yang sedang dialami Akhil Hayy? Untuk saya frasa itu tidak selaras dengan peringatan yang mengatakan bahawa umur 40 adalah penentu apakah kita ini menghulur kaki kanan atau kaki kiri dalam menempa alam akhirat. Ada juga yang mengaitkan sebelum tiba umur 40, baiklah usaha menghilangkan apa sahaja keburukan dalam diri dan menambah kebaikan. Melihat kepada status yang mengaku pendakwah ini saya agak terkeliru dengan sikap Akhil Hayy. Asalnya saya memang bukan peminat atau pun kisah tentang aktivitinya. Dia bukan dalam golongan yang menarik hati saya melalui apa yang dikatakan dakwahnya itu. Saya pernah juga mendengar kaset ceramahnya dan nyanyian ketuhanannya mahu pun zikir-zikir alunannya. Entah mengapa hati sukar dan tidak tersentuh. Rancangan Kafe Akhil Hayy pernah juga saya tertengok. Pun tidak ada yang menarik pada saya. Semua perasaan saya tentangnya sebelum ini disahkan dengan cerita beliau terkini. Terus terang saya katakan, saya lebih senang mendengar suara Nazri kumpulan Raihan, penyanyi utama Hijjaz mahu pun suara Amy Search (terutama selepas beliau menunjukkan perubahan diri). Saya ada, dan memang tersentuh.

Agama memang paksi kehidupan Muslim dan Muslimah. Namun tidak wajar untuk kita jadikan agama sebagai benteng untuk menyelindungi kelemahan dan menafikan hak sesama manusia. Kehidupan didunia asasnya adalah memelihara hubungan dengan Allah, sesama manusia seterusnya dengan alam semesta. Poligami itu memang wujud dalam Islam. Madu memang manis. Namun, bermadu tidak. Namun begitu ramai juga wanita yang dalam keadaan terpaksa melakukan pengorbanan mengizinkan ianya terjadi dalam kehidupannya. Kekadang semakin banyak pengorbanan diberi, semakin banyak pula yang ditagih. Sehingga akhirnya tiada apa lagi untuk diberikan dan diharapkan. Setelah 2 tahun berada dalam ketidakpastian tentang gossip si suami Maizawati yang telah dikejutkan dengan permintaan izin untuk bernikah lain. Terperanjat dan marah awalnya (mana-mana wanita pun) namun memberi izin (tidak semua wanita) untuk dimadukan. dikhabarkan telah dibiarkan dalam tandatanya tanpa jawapan dari suaminya itu. Tahu-tahu suratkhabar melaporkan sah beliau telah beristeri lain. Apakah tempoh 13 tahun itu sudah maksimum untuk hati seorang yang bernama isteri untuk dijaga. ‘Expiry date’ dah sampai- jadi tumpuan hanya pada orang baru berpotensi untuk diberi fokus dan penekanan dalam menentukan setiap tindak tanduk. Yang baru ditatang bagai minyak yang penuh. Hati dan perasaannya amat dijaga. Jangan terluka. Masih hangat dan manis. Ini kelihatan pada foto-foto yang terdapat di media.

Tidak boleh buat kenyataan dan sanggup mengelak dan menepis semuanya demi menjaga nama dan reputasi dari menyatakan kebenaran dan kesahihan. Bila dah terbongkar kebenaran, Timbul pula kisah isteri pertama adalah ‘Queen Control’. Namun pembelaaan diri yang dibuat pada saya wajar. Jika ‘Queen Control’ kenapa sampai berbagai gambar aktiviti pasangan tersebut dapat tersebar kepengetahuan umum. Lebih berani lagi pihak ketiga yang telah panas dengan pendedahan dibuat telah melenting mengugut untuk membuka cerita tentang musuh cintanya itu. Sekali lagi saya setuju dengan pembelaan diri Maizawati, dia yang telah dikocah dan dirampas haknya dan bukan dia yang mengocah dan merampas. Hak ini melibatkan Maizawati juga hak 6 anaknya. Siapa yang wajar terguris, terluka dan berhak berasa kecewa? Umumnya jika menjadi isteri kedua, mestilah tahu adab-adab dan batasan hak serta menjaga hati isteri pertama. Kecuali jika berniat untuk memonopoli. Pasti akan memburukkan keadaan. Allah maha Tahu. Namun Allah Maha Kuasa. PerancanganNya yang terhebat mengalahkan percaturan dan perancangan manusia insan yang lemah dan tiada daya upaya.

Saya sebagai orang luar, tidak begitu memikirkan apa yang bakal terjadi pada Akhil Hayy dan Maizawati begitu juga pihak ketiga tersebut. Saya memikirkan masa depan 6 orang kanak-kanak yang pasti terkesan dengan kesilapan yang dilakukan oleh tunjang harapan dalam hidup dan masa depan mereka. Namun setiap kejadian bersebab dan bukan kita mempersoalkannya. Kita hanya boleh mengkaji dan mengambil iktibar atas kejadian di hadapan mata. Semoga Allah memelihara kesejahteraan anak-anak itu dan memberi ketabahan dan kesabaran tinggi untuk siibu dan kesudahan terbaik atas cerita ini.

Pengajarannya: Pergaulan antara lelaki dan wanita mempunyai batas-batasnya. Sama ada bujang lebih lagi yang telah berumahtangga. Jangan bila berlaku sesuatu yang buruk kerana dasar nafsu dan kealpaan kita, kita salahkan takdir dan sekeliling sebagai penyebab. Kepercayaan memang utama dalam hubungan. Kejujuran datang awal dari kepercayaan. Jujur dan percaya bagai roh dan jasad. Tanpa kejujuran akan terbuka ruang keraguan dan seterusnya tiadalah kepercayaan. Agungnya - Allah menilai dan menghukum. Alam kekal dihujung sana bukan di dunia yang fana’ ini. Saya terus merenung……

Tiada ulasan:

Catat Ulasan