Selasa, 16 Jun 2009

KERAJAAN CAMPURAN?

Saya tidak berapa pasti untuk menulis tentang topik yang saya fikirkan ini. Tapi sebagai seorang warganegara Malaysia saya rasa berhak juga meluahkan pandangan, rasa hati dan juga harapan ke atas negara tercinta ni.
Ada yang mengatakan 'politik itu kotor'. Benarkah? Rasulullah juga berpolitik. Beliau pemimpim agung yang penglibatannya merangkumi semua aspek pemerintahan dalam negara. Jadi saya berpandangan manusia yang berperanan mengotorkan politik itu sedang politik itu sendiri neutral. Saya suka nak mengulas tentang sesuatu yang didengar sebagai tajuk maklumat yang didengar melalui media TV pagi ini. Kerajaan Campuran cadangan Hj. Hadi dari Parti Pas kepada UMNO. Saya bukanlah seorang yang pandai untuk bercakap, berbahas mahupun berdebat tentangnya. Saya cuma seorang warganergara yang mahu terus melihat Malaysia ini secara 'internally' aman, damai, bersatu-padu dan terus maju dari berbagai segi. 'Externally' pula tentu ingin dikenali juga dihormati oleh negara luar. Gelora politik di Malaysia ni pada saya hebat juga. Saya tidak mahu menyebelah mana-mana parti kerana rasanya ia tiada kesudahan. Mungkin hanya ada keletihan dan kelelahan. Namun tidak bermaksud saya tiada pendirian.
Baru-baru ni saya hanya mampu tersenyum melihat aksi bekas Menteri Besar Perak dengan kain lilit dikepala 'Bubar DUN'. Secara peribadi saya rasa memang sudah masanya cadangan Haji Hadi itu difikirkan dengan mendalam. Saya sendiri pernah berangankan bila saatnya UMNO dan PAS akan melupakan semua perbezaan dan menumpu kepada persamaan dan persamaan hebatnya adalah NIKMAT IMAN. Iman itu ada kerana adanya agama. Agama adalah benteng kekuatan ummah. Permasalahan tidak pernah hilang begitu jugalah perbezaan pendapat. Satu individu satu gaya pemikiran. Jika sama gaya pemikiran itu bonus untuk lebih mudah selesainya permasalahan dan mencapai kata putus. Jika tidak, Islam menganjurkan muzakarah. Muzakarah kerana Allah dan kebaikan ummah bukan untuk kemenangan peribadi atau parti sekalipun. Kerana jika kita menunaikan hak Allah, Allah yang Maha Pemurah pasti memelihara hak kita. Itu janjiNya.
Patut merujuk kepada cara pimpinan Rasulullah-bagaimana beliau mampu memerintah negara Islam yang juga ada orang bukan Islam didalamnya. Dalam kelembutan beliau tegas bila ia melibatkan soal iman dan agama. Masa yang sama tidak beliau menafikan hak-hak bukan Islam. Beliau menempatkan sesuatu pada tempatnya. Beliau sememangnya luhur. Itulah kekasih Allah dan contoh akhlak mulia yang terterap pada pemerintahan Rasulullah Pemimpin yang Agung. Tak perlu beralasan 'Dia Rasul, Kita Manusia'. Dasarnya dia adalah contoh. Bagi mereka yang memimpin, usaha pastilah tertumpu pada mencontohi cara kepimpinan beliau. Bukan untuk menjadi beliau. Setiap kita ada sesuatu untuk dicontohi dari Rasulullah, berdasarkan kepada apa kelemahan kita. Al Quran adalah 'manual' manusia dan Rasulullah itu pula dikatakan Al Quran bergerak' kerana akhlaknya yang amat bertepatan sebagai pengaplikasi. Jadi kerana itu tidak dapat kita memisahkan Al-Quran dan Al-Hadis. Kedua-duanya ibarat roh dan jasad.
Saya melihat UMNO memang hebat dengan barisan kepimpinannya. Saya juga melihat PAS sebagai sebuah parti bervisi mulia. Gabungan pimpinan yang hebat, bijak, berwawasan dengan visi yang mulia pasti menjadi POSITIVE BOOSTER pada Malaysia negara tercinta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan