Rabu, 17 Jun 2009

SPM: MAKSIMUM 11 MATAPELAJARAN MENJELANG 2011

Isu di atas telah pun beberapa lama dipersoalkan sehinggalah saya mendengar keputusan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri petang semalam memutuskan seperti tajuk di atas. Ini dikatakan atas dasar bahawa mengelakkan dari dikatakan system pembelajaran Malaysia berdasarkan ‘exam oriented’.

Sebenarnya semasa mula-mula isu ini timbul, saya berpandangan tidak wajar dihadkan pengambilan kepada maksimum 10 matapelajaran sahaja bagi pelajar-pelajar SPM. Sekolah aliran agama pula dihadkan pada 11 matapelajaran. Waktu isu ini timbul (lebih kurang sebulan lalu), negara masih hangat dengan kejayaan adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, seorang bekas pelajar sekolah agama dari Kelantan. Saya sendiri amat kagum dan terharu dengan kejayaan seorang anak muslim Melayu yang telah berjaya membuktikan bagaimana kejayaannya dalam meraih ilmu sekaligus berjaya menaikkan harga dirinya juga keluarganya di mata masyarakat Malaysia. Inilah tujuan tuntutan ilmu itu. Itu baru permulaan bagi adik Nik Nur Madihah.

Saya ada membeli buku Catatan Adik Nik Nurmadihah (dua minggu sebelum cuti sekolah lalu) yang menceritakan kisah-kisahnya semenjak selepas PMR, semasa mula belajar di Maahad Muhammadi (P) sehingga kejayaan dalam SPM dengan 19(1A) dan 1(2A). Buku itu saya hadiahkan (setelah seharian habis membacanya) kepada anak sulung saya yang kebetulan pula baru awal tahun ini masuk ke Maahad Hamidiah di Kajang. Saya mahu dia cuba mencontohi semangat perjuangan yang ada membara dalam diri dan jiwa anak seorang nelayan yang mewarisi kecekalan dan ketabahan ibu-bapanya. Kesukaran dan keperitan dan kepayahan hidup telah mendidik adik Nik Nurmadihah dari leka dan lalai dengan arus kebiasaan anak remaja lainnya (anak saya juga). Hasilnya beliau menjadi seorang yang luarbiasa. Beliau berani dan yakin menyahut cabaran mengambil 20 subjek berbanding 19 yang disarankan oleh seorang gurunya.

Sememang tidak dapat saya bayangkan bagaimana caranya beliau menelaah untuk semua subjek tersebut. Namun itulah hikmah kurniaan Allah. Otak(secara fizikal) manusia terlalu hebat disokong oleh Akal(secara ghaib) yang mendapat hidayah dan bimbingan dari Tuhannya menjadikan tiada yang mustahil. Pada 2007, kejayaan adik Azali Azlan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dari Kedah juga amat hebat. 20 (1A) dan 1(2A) ternyata lebih sedikit dari pencapaian Nik Nur Madihah. Dikatakan juga kedua-dua pelajar ini tidak ketinggalan beraktiviti di sekolah. Seawal dari itu adalah kejayaan Nur Amalina. Ketiga-tiganya adalah pelajar Melayu beragama Islam dan Malaysia sememangnya amat berbangga dengan kebolehan dan kejayaan mereka. Mulai 2011 tiadalah lagi kisah-kisah teladan yang sebegini untuk anak-anak remaja Malaysia tatapi dan contohi.

Kita perlu ingat, mengambil lebih dari 10 matapelajaran bukan satu paksaan. Ia adalah satu pilihan. Sesiapa sahaja boleh mencuba. Apa yang membezakan adalah apakah niat mereka melakukan sedemikian. Tulinnya kerana ilmu itu sendiri atau hanya ingin mendapat nama?Mereka yang memilih demikian pasti sudah tahu apa risikonya. Namun kita juga tahu hanya orang yang berpotensi dan tahu kebolehannya yang sanggup mengambil cabaran tersebut. Jadi untuk saya ada sedikit terkilan dengan keputusan di atas. Saya sendiri tidak tidak menggalakkan anak-anak saya untuk mengambil lebih dari matapelajaran yang ditetapkan. Ini kerana saya tahu keupayaan mereka setakat mana.
Cuma akan datang berkemungkinan besar, kuranglah cerita-cerita pemangkin unik dan hebat mengenai kejayaan pelajar-pelajar Malaysia dalam SPM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan