Rabu, 6 Mei 2009

REMPIT DAN RAGUT: INSANIAH YANG TERHAKIS



Sedar tidak kini kita telah hampir ke separuh tahun 2009. Serasa bagai baru lagi masuk tahun baru. Kini dalam kepala dah tergambar Ramadhan makin dekat dan Syawal juga. Masa terus berlalu dan kita berterusan selagi direzekikan bagi menikmati kehidupan yang dianugerahkan Allah kepada kita. Apa dan bagaimana kita melalui kehidupan- banyak faktor yang mempengaruhi. Begitu juga baik atau buruk mahu pun senang atau susah. Kita harungi dan percayai bahawa itulah ketentuan dan hikmahnya pasti ada. Asasnya sedari bahawa hidup ini tidak dijadikan dengan sia-sia. Selagi bernafas dan dapat bergerak pasti ada sumbangan yang perlu kita lakukan kerana kejadian Allah terhadap kita adalah yang terbaik antara segala makhluk.

Pagi ini hati saya begitu sedih dan perasaan begitu diruntun. Di awal pagi, mendengar laporan tajuk akhbar tempatan tentang berita kematian seorang ibu yang sedang hamil tiga bulan (anak ke-6) kerana digilis kereta. Puncanya dia diragut dan hilang kawalan lalu dilanggar sebuah kereta. Tragis. Lebih dari itu, kepada siperagut - nafsu telah mengatasi akal. Layakkah masih bergelar insan? Mungkin tepat lagi mereka dikatakan telah ‘insane’. Apa yang tidak tertahan ialah baru semalam berita kematian seorang ibu juga kerana diragut. Mati setelah koma. Mati itu memang pasti. Kita boleh beralasan itu mungkin takdir mereka. Ajal mereka telah sampai. Jangan pula kita lupakan punca kematian mereka melibatkan pelaku lain yang telah hilang harga diri dan pada saya dapat dikategorikan sebagai pembunuh. Jika hudud diamalkan – NYAWA DIBALAS NYAWA. Jangan kata bahawa tidak berniat membunuh. Hakikatnya nyawa telah melayang kerana kerakusan dan kejahatan yang bersarang dalam tubuh badan yang melakukan perbuatan rempit dan ragut juga membunuh itu. 3 dalam 1. Mereka ni memang berpuaka. Ada darah yang dialirkan dan nyawa yang ditelan…….

Membaca Harian Metro hari ini- terlalu banyak kisah rempit dan ragut ini. Tidak terkecuali pula kisah tuding menuding dan mencari-cari punca seterusnya saranan-saranan untuk membendung gejala ini. Sememangnya ini masalah negara. Ia wajib mendapat perhatian lebih serius bermula dari atas dan masyarakat keseluruhan mesti menyokong dan membantu melaksanakan penguatkuasaan dan undang-undang secara menyeluruh.

Saya tertarik dengan artikel di m/s 21 Harian Metro (Kolum - Setempat) ini. ‘Kami papar realiti sosial’. Ini adalah pembelaan seorang pengarah filem, yang dibuat bila sebelumnya ada penyataan polis yang menyifatkan filem berunsur ‘panas’ merupakan puncanya meningkatnya masalah sosial dikalangan remaja terutamanya gejala rempit yang dilaporkan semakin serius. Hairannya kenyataan pihak polis itu juga serupa dengan pendapat saya sebelum keluarnya artikel tersebut.

Mendidik masyarakat melalui medium filem. Didikan yang bagaimana ya? Dalam mendidik sememangnya ada pelbagai cara dan kaedah yang diamalkan. Bergantung kepada sasaran mereka yang hendak dididik. Perempit yang meragut dan seraya membunuh ini bukan kanak-kanak yang baru masuk sekolah. Mereka ini dah lepasi akil baligh. Cuma mereka ini membutakan hati dan perasaan mereka. Bermula dengan keinginan berseronok dan melepas bosan untuk menghabiskan masa. Didokong oleh perasaan ingin menjadi jaguh jalanan dan meraih perhatian seterusnya mencari jalan mudah mendapat ringgit Malaysia- lantas nyawa orang lain adalah harganya. Pendapat anda dapatkah manusia sebegini berubah hanya kerana mereka telah disindir melalui filem? Akan terdidikkah mereka untuk menyedari kesalahan dan kekejaman tindakan mereka hanya kerana menonton filem-filem yang telah memaparkan kisah mereka dilayar perak? Pada saya golongan yang sebegini (ramainya yang kurang pendidikan, perhatian keluarga dan hampir kesemuanya tiada penekanan didikan agama) merasa tersuntik lebih bangga dengan paparan kisah mereka dilayar perak. Mendapat ‘pemangkin’ mereka lebih giat lagi merempit, meragut dan mungkin mencederakan dan membunuh. Cara mendidik yang dicanang melalui filem itu pada saya kurang tepat. Filem itu mungkin patut bermula dengan adengan penangkapan mereka yang merempit (dan gadis yang membonceng perempit) dan tekankan bagaimana mereka dipulihkan dan diinsafkan. Terasnya didik mereka dengan agama. Akhlak mereka perlu diperbetulkan. Hanya agama yang ada penawar untuk akhlak yang tak terkawal ini. Nyatakan kenapa dan bagaimana mereka perlu dan mesti berubah. Bukan hanya menekankan aksi-aksi panas dan secubit pengajaran yang mungkin gagal dikesan atau tidak dipedulikan oleh mereka yang menonton.

Berkarya bukan sahaja memikirkan keuntungan. Penting juga untuk memertabatkan kembali masyarakat supaya manusia dapat diangkat fitrahnya sebagai makhluk yang mulia (saya pelajari dari buku Panduan Penulisan Kreatif: Karya Nan Indah Untuk Semua oleh Faisal Tehrani terbitan Ameen). Buku ini mahupun menumpu kepada penulisan cerpen dan novel namun sesuai untuk penggiat sastera secara umum. Untuk mengarah mesti ada skrip dan untuk skrip perlu pada penulisan. Jadi wajar dibaca kerana ia juga menekankan tanggungjawab dan batasan yang tidak boleh diabaikan dalam berkarya sebagai seorang muslim. Filem kita adalah jiwa kita. Jika terlalu menumpu dengan terperinci kepada aksi-aksi panas dikhuatiri jiwa masyarakat kita berkembang sebegitu rupa. Marilah fakir-fikirkan……………………….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan