Ahad, 26 April 2009

PENTINGNYA PRASEKOLAH




Pendidikan formal anak-anak menjadi kewajiban terhadap ibubapa. Tanpa pendidikan ini dikhuatiri anak-anak bakal berhadapan kesukaran dalam mengharungi kehidupan. Berbanding waktu dahulu, pendidikan formal kanak-kanak kini bermula sangat awal. Ada yang memulakannya seawal umur 3 tahun dan puratanya dalam umur 5 tahun.

Diakui kini, pendidikan prasekolah boleh dianggap sebagai sesuatu yang wajib. Darjah 1 bukan lagi menjadi ‘platform’ untuk anak-anak belajar memegang pensil mahupun mengenal huruf. Sebaliknya anak-anak kini diharapkan sudah pun pandai membaca dan menulis (paling kurang berbentuk dua sukukata). Ini realitinya. Jika tidak anak-anak ini akan dianggap sebagai ketinggalan dan ini amat menyedihkan. Namun masih terdapat juga kanak-kanak yang tidak berpeluang untuk mendapatkan pendidikan prasekolah ini. Utamanya disebabkan oleh faktor kewangan ibubapa.

Bagaimanapun pilihan masih ada bagi ibupaba bagi menentukan di mana anak mereka akan mendapatkan pendidikan asas ini. Tadika swasta sungguh banyak tapi tidak kurang juga tadika dibawah kerajaan. Selain itu, kini telah ada Sekolah Rendah Kerajaan yang mempunyai program pendidikan prasekolah bagi kanak-kanak berumur 6 tahun. Namun ia biasanya terhad hanya kepada 2 kelas untuk satu-satu sekolah dan pemilihan murid adalah berdasarkan pendapatan keluarga. Keluarga berpendapatan rendah adalah diutamakan.

Sebaiknya kanak-kanak didedahkan kepada alam prasekolah selama 2 tahun berturut-turut sebelum ke darjah satu. Ini bermakna mereka mula ke sekolah pra pada usia 5 tahun. Di tahun ini adalah pendedahan awal ke alam persekolahan secara umum. Ini adalah masa untuk mereka mengenal alam persekitaran yang baru. Latihan bangun awal pagi (bagi sesi pagi) mahupun terpaksa berhenti bermain untuk ke sekolah (bagi sesi petang) mengajar mereka untuk berkorban. Tambahan pakaian seragam yang disarung sehingga ke suasana pembelajaran di dalam kelas semuanya akan memberi satu semangat dan dorongan dalaman untuk mereka lebih rajin ke sekolah rendah. Biasanya kanak-kanak ini tidak meragam bila ke darjah satu kerana sudah terbiasa dengan alam prasekolah. Mereka biasa dikelilingi rakan-rakan sebaya juga guru dan sudah pandai membawa dan menyesuaikan diri.

Keutamaan dan penekanan wajib diberikan pada tahap 2 semasa berumur 6 tahun. Mereka dimestikan pandai membaca dan menulis (sebaiknya rumi dan jawi) juga mengira dengan mudah begitu juga membaca muqaddam (Iqra’). Jika mereka melalui fasa prasekolah dengan baik, Insyaallah masalah apabila berada di darjah satu dapat diminimakan. Mereka tidak akan rendah diri dan dapat berada sebaris dengan rakan-rakan dari segi pembelajaran. Namun peranan ibubapa di rumah juga mesti ada dalam membantu anak-anak terus mengasah minat dan tidak lalai walaupun pelajaran belum begitu berat. Pembentukan modal insan sememangnya amat mustahak demi kemajuan agama, bangsa dan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan