Sabtu, 18 April 2009

MUKADDIMAH - KENAPA NAK ADA BLOG?

Assalamualaikum dan Salam Perkenalan,

Mukaddimah atau pengenalan ni sepatutnya menjadi pendahuluan yang mendahului entri lainnya. Apakan daya sebagai orang baru mengenal pembikinan blog (bukan filem) ni kelemahan yang mesti saya akui. Memang saya lemah dalam hal-hal perkomputeran mahu pun alatan berteknologi yang memerlukan kemahiran teknikal yang lain seperti mobilefon yang canggih mahupun kamera digital. Nak jadi cerita, baru-baru ni nak keluarkan kad dari digital kamera pun ambil masa lebih 15 minit. Sampai keluar peluh. Masa tu sesorang je, (selalu tahu posing dan gambar siap dan enjoy tengok kemudian masuk album). Bila dah terdesak (anak minta tolong cuci gambar), tu yang menggelupur dibuatnya. Kalau dengan laptop, biasanya hanya pandai menaip teks dan melayari internet je. Mendengar perkataan Friendster, Twitter kerapkali namun tak pulak tahu dan tak faham apa dan bagaimana (atau tak nak ambil tahu). Namun bila dah selalu membaca artikel-artikel di blog-blog yang selalu dikunjungi sedikit sebanyak mencetus keinginan mempunyai blog sendiri.

Kewujudan blog ini lebih kepada asas mendidik diri sendiri supaya berfikiran lebih terbuka dan menjadi asas usaha untuk menimba ilmu dan mempelajari teknologi ciptaan manusia merupakan kurniaan dari Ilahi ni. Ilmu Allah ni jika dihimpun dalam 7 lautan utama didunia (hakikatnya ia meliputi langit dan bumi dan sekalian alam) ni apa yang sampai pada manusia didunia ibarat hanya setitis darinya. Setitis tu pun tak terkejar semuanya oleh kita. Kena pilih ikut keperluan dan keserasian dan minat. Selain tu saya nak melihat sama ada diri ni mampu ke berkarya. Setiap penulis blog sebenarnya secara sedar atau tidak telah dan sedang berkarya berkarya dengan hasil tulisan mereka. Saya cuba menyahut saranan pengarang kesukaan saya Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni. Di dalam bukunya bertajuk Kunci Kejayaan Minda terbitan Telaga Biru di m/s 42 menyarankan ; Cuba menghasilkan karya walaupun anda tidak berbakat. Bakat bukan dicari, bukan dinanti dan manusia menulis untuk difahami, bercakap untuk didengari dan membaca untuk memahami. Best betul frasa tu.
Saya berpendidikan BBA Finance dan mempunyai Diploma Analisa Pelaburan dari UiTM. Pernah bekerja di syarikat broker saham di Kuala-Lumpur (kerja biasa je). Namun sekarang hanyalah seorang surirumah. Selalunya saya ni melayari internet untuk mencari maklumat sama ada untuk diri sendiri atau membantu anak-anak dalam hal persekolahan. Namun kebiasaan itu bertukar menjadi satu minat kepada internet dan apa yang dapat dicapai dengannya selain mendapatkan maklumat. Ramai yang menjadikannya sebagai sumber mencari rezeki. Diantara laman web bisnes plus motivasi kesukaan saya adalah irfankhairi.com dan smartusaha.com. Dua anak muda yang telah berjaya dalam perniagaan internet. Ramai yang ingin dan telah menjadikan mereka idola bahkan mentor. Syabas pada mereka!.
Akhirnya saya bermohon pada Allah supaya dapat terus berilham untuk input yang berfaedah untuk simpanan saya dan dikongsi bersama umum. Semoga ada manfaat untuk diri dan orang lain. Mudah-mudahan saya berdaya dan dipermudahkan jalan yang saya lalui olehNya.....
Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan