Khamis, 16 April 2009

'BACALAH' - WAHYU PERTAMA PEMBUKA ILMU

1. Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian) manusia


2. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku

3. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang maha Pemurah

4. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan

5. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Maka telah pun turun wahyu pertama, Surah Al-Alaq – di Gua Hira’ dari Allah melalui Jibrail kepada Muhammad. Peristiwa ni boleh dilihat sebagai pembuka Tamaddun ulung dan unggul sekaligus bermulanya peradaban tersusun bagi manusia seiring dengan perjalanan Rasulullah dalam menyebarkan Islam agama ‘Way of Life’.

Menyingkap peristiwa sewaktu Jibrail menghadirkan diri di hadapan Rasulullah memang menggetarkan. Sehingga pulangnya meminta diselimutkan oleh isteri tercinta, Siti Khadijah. Bayangkan jika setiba-tibanya berdepan dengan yang tidak dikenali sewaktu sedang asyik bersendirian mengasingkan diri. Pasti berbagai perasaan menyeliputi diri. Muhammad bersendirian dengan tujuan mencapai ketenangan dan lari dari hiruk-pikuk dan kegawatan akhlak kaum Jahiliyyah. Gua Hira’ (Jabal An-Nur) menjadi destinasi .

Dimaklumi bahawa Muhammad adalah seorang Ummi (tidak tahu membaca dan menulis) masakan disuruh membaca. Namun itulah kehendak dan ketetapan Allah. Perancangannya yang Maha hebat dengan ilmunya juga kekuasaan yang meliputi langit dan bumi. Setelah didakap erat sebanyak tiga kali dan diseru juga sebanyak tiga kali untuk membaca oleh Jibrail, Muhammad langsung diilhamkan (dengan kekuasaan Allah) dengan daya hafalan lalu mampu menurut dan mengingati lima ayat pertama yang disampaikan padanya. Sejurus itu bermulalah perjalanan dakwah Rasulullah.

Melalui terjemahan Al-Alaq di atas, jelas sungguh bahawa membaca itu membawa manusia mengenal Penciptanya, tahu asal-usul kejadiannya, memahami sifat pemurah Tuhannya, mengajar manusia melalui pena dan tulisan (apa sahaja bidang ilmu mesti perlu kepada pena untuk mencatat tulisan, mahu pun komputer mesti perlu kepada 'ink' atau 'toner' untuk dicetak) dan mengajar apa yang tidak manusia diketahui (kenang semula bagaimana Allah mengajar ilmu pada Adam yang mengalahkan pengetahuan penghuni langit sehingga diperintah semua sujud padanya - terangkat darjah manusia yang bernama Adam yang diciptakan dari intipati tanah). Sungguh Allah Maha Besar lagi Maha Mengetahui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan