Isnin, 20 April 2009

DUA CABANG ILMU

Sebagai seorang insan, kita arif bahawa hidupnya kita atas gabungan roh dan jasad disebut juga nyawa dan badan. Lantas sebagai seorang Muslim begitu selanjutnya mempercayai hidup kita juga terbahagi kepada dua alam (bukan dua alam ala katak amfibia) – alam yang jauh lebih mulia iaitu alam dunia dan alam akhirat. Dunia ini wajar kita layani sebagai jejambat menuju ke alam kekal iaitu alam akhirat. Ini selayaknya menjadi pegangan mereka yang bersyahadah. Justeru, ilmu dunia dan ilmu akhirat wajar menjadi tuntutan. Umumnya, jika mahu kepada dunia – hendaklah berilmu , jika ingin kepada akhirat juga mestilah dengan ilmu.

Manusia pantasnya mencari kejayaan dalam hidup di dunia. Hanya dengan kejayaan (erti biasa)mampu seseorang meraih kemewahan, kekayaan, pangkat, darjat dan harta begitu juga perhatian dari masyarakat sekeliling. Lebih dari itu, kehidupan akhirat yang bakal ditempuhi juga hendaklah disedari menjadi destinasi akhir dalam sebuah penghidupan. Sebagai manusia yang bersifat lemah, keseimbangan antara dua cabang ilmu (disertai amalan) akan mampu membawa kita menuju kebahagiaan dan ketenangan. Tidak saya sebutkan kejayaan kerana kejayaan itu (pada pandangan saya) adalah natijah dari kebahagiaan dan ketenangan. Apalah erti kejayaan dang gah di mata jika tiada ketenangan dan kebahagiaan. Sedangkan tenang dan bahagia adalah merujuk kepada aspek rasa dalaman (ya! dari hati).

Berbeda dengan tenang dan bahagia, kejayaan dunia lebih ditonjolkan sifatnya secara zahir. Namun tak tertolak juga keduanya saling berkait bagai aur dan tebing. Terdapat mereka yang merasa dengan mendapat kejayaan (isitilah biasa itu) baru merasa tenang dan bahagia. Ini bergantung pada individu. Amat beruntung jika mendapat kebahagiaan, ketenangan dan kejayaan sekaligus. Namun sering terungkap bahawa ‘tiada siapa yang bisa dapat semua yang diingini’. Dasarnya, ini kerana manusia tidak akan pernah puas. Itu fitrah lagi lumrah. Baiknya - itu juga yang menjadi penggerak ke atas usaha demi usaha. Pentingnya ia mengarah kepada kebaikan dan bukan kemaksiatan.

Akhirnya saya mengingatkan diri sendiri dan berkongsi ingatan ini dengan anda di mana usaha mendidik diri tidak boleh berhenti. Pendidikan formal yang kita perolehi dan diiktiraf dengan segulung kertas yang diterima tidak menjamin kesempurnaan hidup seterusnya. Penghidupan itu kompleks sekali. Tiada satu skrip khas yang dapat menjamin kelangsungan cerita. Selalu perlu kepada renungan, pemikiran, perbanding, pengkajian dan memerlukan kita membuat perubahan ke arah lebih baik lagi. Kerana itu ada KONSEP HIJRAH. Mengenang kembali - Satu pesan dari seorang yang baru saya kenali dan bermakna sungguh rasanya – Carilah ketenangan dan bukan kepuasan dalam hidup. Hidup ini terlalu singkat. Setiap yang muda akan tua dan penting sungguh memikul amanah dan tanggungjawab utama dalam hidup. Sesunggunya Ia Maha Tahu…….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan