Ahad, 4 Julai 2010

KELAHIRAN


Alhamdulillah dipanjatkan pada Pemilik seluruh alam yang masih dengan rahmatnya memberi kesempatan untuk aku mampu melayari internet, alat dunia moden kini dan melalui blog ini dapat seterusnya aku jadikan medium luahan rasa dan hati seorang yang bernama insan yang kerdil lagi hina disisiNya.

Kali terakhir aku bercerita tentang kehamilanku. Ya kehamilan yang aku sendiri tidak menjangka, walau di hati wujud dambaan ke arah menginginkan seorang lagi zuriat penyambung (nasab) keturunan antara aku dan suami. Namun Alhamdulillah telahan doktor telah menjadi nyata dan Anas Imran bin Badrul Hisham telah hadir sebagai penambah seri rumahtanggaku. Kesemua 'Charlie Angels'ku nampak gembira atas kedatangannya pada tanggal 28 Mach yang lalu. Kini usianya baru menjangkau 3 bulan. Seminggu sebelum itu si kecil tu dah pun dapat meniarap. Alhamdulillah.

Apa yang ingin aku nyatakan ialah pengalaman melahirkan ini pasti menambah satu lagi sejarah dalam lipatan umurku. Suami bersama dibilik bersalin sememangnya dapat menambah semangat juang dan pengorbanan demi melahirkan si kecil ke dunia besar ini. Saat di mana penyambut bayi membuat 'body touching' antara saya dan baby antara kelainan yang saya terima dari kelahiran-kelahiran terdahulu. Katanya untuk mendapatkan 'bonding' antara bayi dan saya. Selain itu bayiku asalnya lambat keluarkan tangisannya dan aku disarankan untuk 'bersalawat ke atas Nabi' dan meniupkan ke arahnya, lantas, syukur tangisan pertamanya terus kedengaran. Saat yang sama airmata gembira terasa panas membasahi wajah dan segala kesakitan dengan sendirinya terasa berkurangan apabila bayi selamat dilahirkan. Itulah jiwa seorang ibu. Waktu menerima jahitan langsung tak kuindahkan kerana sakit melahirkan itu padaku telah meliputi seluruh kesakitan seumur hidupku waktu itu dan telah terubat pabila melihatkan kesempurnaan wajah dan tubuh si kecil kurniaan Ilahi padaku.


Apa yang pasti episod hidupku wujud perubahan bersama kehadiran Anas Imran dan Insyaallah aku akan cuba melaluinya dengan kudrat yang ada dan semoga Allah memberi kekuatan padaku untuk menjadi hamba yang bersyukur atas segala nikmat kurniaanya. Insyaallah.......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan