Ahad, 11 September 2011

ALLAH SEBAIK-BAIK PENDIDIK



Allah itu Maha Pemberi. Dialah Al Wahhab. Allah itu Pemberi Rezeki. Dia jugalah Ar Razzak. Itu adalah antara nama-nama Allah yang terkandung dalam Asmaul Husna. Ia berkaitan dengan sifat Allah yang memberi kepada manusia tanpa had, tanpa batas. Dari Utara ke Selatan. Dari Timur ke Barat, mencakupi sekalian alam. Mengurniakan rezeki untuk hamba-hambanya dengan penuh rahmat dan kasih sayang. Menurut percaturan dan ilmunya. Itu Pencipta Sekalian Alam. Kita manusia menerima dan terus menerima. Kita juga diajar melalui sunnah untuk menjadi tangan yang di atas(pemberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (penerima). Namun kelayakan itu hanya Allah yang menentukan. Siapa kita, di mana kita , apa keupayaan kita dia juga yang menetapkan. Jika kita menjadi seorang yang berpeluang memberi memberilah menurut kemampuan dan cara yang sedapatnya....Jika tidak... bersabarlah, mungkin belum masa kita mendapat karunianya. Selain itu kita boleh terus usaha supaya mampu menjadi dikalangan yang bukan hanya menerima. Belajar dan berusaha menjadi tangan yang diatas dan semampu boleh menghindar dari menjadi tangan yang dibawah. Rasulullah teladan terbaik....

Rupanya bukan setakat itu sahaja perihal tangan atas dan tangan bawah. Tiba-tiba, aku juga mendapat dihidangkan didikan terbaru  menghuraikan, bahawa jika tangan yang di atas itu, senantiasa menyebut-nyebut perihal pemberian pada tangan di bawah, serupa juga seperti tangan di atas itu tidak menghulurkan apa-apa. Mulut menggambarkan hati. Hati yang tidak ikhlas membawa kepada mulut yang berkata-kata mengungkit setiap pemberian mahu pun kebaikan yang dibuat pada mahu pun untuk orang lain. Mudahnya, terpancar riak dan ketidakikhlasan dari dalam jiwa. Memberi dengan penuh kebanggaan bukan kesyukuran. Memberi dengan sinis pada mereka yang terpandang dan memandang pemberian dan bukan dengan senyuman. Jika begitu, aku lebih rela menjadi dikalangan yang bukan di atas mahu pun dibawah. Namun mustahil sekali rasanya dalam hidup sebegitu. 

Sesungguhnya setiap sesuatu itu berpasang-pasang. Jika atas lawannya bawah. Hitam lawannya putih merdeka lawannya hamba...jadi tidak boleh melawan hukum berpasangan. Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah. Itu lebih seimbang. Kita manusia lemah. Tidak kuat sebab kekayaan dan tidak lemah sebab kemiskinan. Kuat, kaya, lemah mahu pun miskin percaturan Ilahi. Manusia cuma ada jasad dan roh yang patut cuba mempelajari zon-zon tersebut. Semua itu pinjaman Allah. Kaya bukan bermakna kemuliaan. Miskin pula bukan bermakna kehinaan. Rasulullah (s.aw) dalam Isra' Mi'raj telah membawa khabar bahawa antara isi utama syurga ramainya adalah orang miskin. Antara isi utama neraka, ramainya orang kaya dan wanita. Taksublah hanya pada Allah kerana Allah itu sebaik-baik Pemberi. Kita manusia lemah dan sepatutnya memberi pula hanya kerana Allah buka lainnya......Kita ini hanya musafir yang hanya singgah meneguk tegukan penghilang dahaga. Jika mampu mudah-mudahan berbekallah kita dengan tegukan yang mampu menghilangkan dahaga kita di Padang Mahsyar, yang di sana Mahkamah Seadil-Adilnya...Ya- Hakam Ya- 'Adl, pada mu hamba serahkan....Syukur atas kecukupanMu terhadapku dan aku terus mohon Pemeliharaan dari Mu sebaik-baik Pemelihara...Amiinn.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan