Selasa, 20 September 2011

HANTU BONCENG PERGI MENITI SIRAATUL MUSTAQIM


Kita mungkin terlupa....Muhammad bermaksud Yang Terpuji......Apa pula yang telah kita lakukan???


Rasanya semacam agak lama tidak saya memperkatakan sesuatu yang serius. Bukan bermakna saya telah menjadi Mak Lawak. Tetapi perkongsian saya di blog ini, lebih kepada yang peribadi. Nampaknya hari ini, terpanggil kembali. Demi kasih sayang dan rasa cinta saya yang ada mencambah dalam jiwa kerdil ini untuk Nabi dan Rasul Muhammad (s.a.w) yang tiada Rasul sesudahnya, saya ingin teruskan berbicara.

Sepanjang Syawal yang berlalu, terutama diawalnya seringkali saya terlihat 'promo' Hantu Bonceng dimainkan di TV. Watak utama Zizan yang dikatakan kelakar giler. Selalunya saya hanya tersengih-sengih sumbing. Demi mengikut-ngikut yang lainnya. Terutama pada babak 'berbogel depan hantu' yang saya difahamkan untuk mengusir hantu. Secara sedarnya, saya pasti tidak akan ke pawagam untuk menonton cerita sebegitu. Jika dimainkan di TV pula, pasti saya akan melepaskan banyak babak kerana sering menyambil dengan kerja lain. Namun ada masanya kita tidak perlu sebegitu banyak masa untuk membuat kesimpulan atas sesuatu yang dihidangkan kapada kita, apalagi jika ia jelas lagi tidak perlu bersuluh dalam keadaan terang.

Hari ini berkesempatan melayari laman Islam Itu Indah, dan amat mengejutkan saya perihal kontroversi yang tercetus terhadap filem Hantu Bonceng dari Ahmad Idham ini. Reaksi saya awalnya amat sedih bila membaca cerita di situ. Teguran orang awam kepada Pengarahnya dijawab dengan nada yang saya lihat ada berisi kesombongan dan menidakkan kebenaran. Namun apa perlu dihairankan. Itulah dilihat sebagai akhir zaman. Hak dan Batil semakin kuat pertembungannya. Dari sekecil-kecil sehingga sebesar-besar perkara, manusia akan berhadapan dengan pilihan. Baik dan buruk dihadapkan kepada kita. Berbekal akal fikiran dan nafsu yang saling berusaha mengatasi satu sama lain. Hanya akal fikiran yang diselaraskan dengan Al-Quran dan Hadis bakal menuntun nafsu seadanya. Soalan saya, tergamakkah kita menghina Kekasih Allah semata-mata untuk kutipan tiket??? Usah kita bermandi keuntungan di dunia malah muflis di akhirat. Mahukah Baginda memberi Syafaat pada kita umatnya yang memperlekehkan dan menghina baginda??? Jika kita di hadapan Umar Al Khattab, mungkin kepala kita sudah terpisah dari badan. Itu semangat dan kasih sayang para sahabat untuk Sang Kekasih Allah. Jika kita tidak mampu menaladani untuk berlaku sedemikian. Usah kita berbuat sebaliknya. Usah juga mengajak yang lain ke arah kurang sopan.

Mungkin dipertikaikan bahawa siapalah saya untuk berbicara dan 'condemn' arahan pengarah terkenal seperti Ahmad Idham. Ustazah bukan, penggiat seni pun bukan jauh lagi pengkritik filem besar-besaran. Namun itu bukan pula niat saya. Saya yang kerdil cuba membela seorang yang saya tahu mendapat tempat di hati saya, saya sayangi dan rindui, walau tidak pernah berjumpa walau dalam mimpi sekali pun. Ini kerana Baginda di tempat ke dua setelah Rabb pemilik sekalian alam. Ketiga baru sayangi diri dan keluarga dan seterusnya. Saya rasa amat wajar begini. Ini juga saranan para Ulamak, Ustaz mahu pun Ustazah.

Jika ia pun filem sebegitu didakwa telah ditapis dan mendapat kelulusan untuk tayangan, namun apakah kita fikir ia mendapat kelulusan dari Pencipta Alam ini. Jelas kita memperlekehkan Kekasih Allah dan apa kita rasa kita akan bebas sedemikian? Si Pengarah patut berfikir jika isterinya dihina dan dikomedikan sebegitu, apa rasa hatinya. Oh....manusia.....Oh Rasul... Umat Macam Apakah Kami ini.....sehingga tergamak berlaku sedemikian hanya untuk sesuatu yang disebut hiburan dan amat sementara sifatnya......(Hati ini menangis kesedihan......). Ya Allah jauhi kami dari tebing api neraka hanya kerana senda gurau yang mungkin hanya sia-sia.....

3.30pm@20/9/2011

6 ulasan:

  1. Masya-Allah...

    Apa nak jadi dengan zaman skrang ni..
    benda2 cam ni boleh buat lawak..

    tak salah nak berhibur... tapi kena lah ikut syarak..kalau benar diri tu ISLAM....
    Wordless Wednesday #1: Nabi Muhammad No. 1

    BalasPadam
  2. Manan Qayyim...

    Berbeda jauh tabiat kita di akhir zaman dgn zaman Rasulullah itu sendiri. Rasulullah hatta pada gurauan pun tidak berganjak dari landasan kebenaran (ingat cerita usikan Baginda pada seorang wanita tua tentang dalam syurga tiada tempat untuk wanita tua...hakikatnya syurga itu semua indah dan menyenangkan...dan yang tua juga kembali muda dan bertenaga)...hakikatnya itu kebenaran...

    BalasPadam
  3. ayie tak tengok filem kelakar seram ni tapi masa hari raya tempoh hari iklannya di tv cukup kerap sampai beberapa dialognya ayie boleh ingat.

    BalasPadam
  4. Atie Abas,

    Dialog tu penting dalam filem. Ia akan dinilai. Kadangkala ia dihafal. Lihat sahaja cerita P.Ramlee. Namun syukur P.Ramlee juga tidak ke sebegitu dialognya, sehingga jatuh menghina tanpa niat. Apa pun diberitakan sipelaku telah pun memohon maaf diikuti dgn penjernihan suasana oleh si pengarah. Harap tak berulang lagi pada mana-mana drama, filem mahu pun pementasan.

    BalasPadam
  5. Kita banyak menghabiskan masa untuk mengejar keuntungan dunia yang kelak akan ditinggalkan. Tapi berapa banyak masa yang kita habiskan untuk mengejar keuntungan akhirat yang akan kekal selama-lamanya.

    BalasPadam
  6. Benar Zie, Setiap yg bermula pasti akan ada penyudahnya. Begitu pun dgn kehidupan akan ada pengakhiran. Di situ indahnya Islam, nikmat pemberian Allah pada kita selaku khalifahNya di muka bumi ini. Cuma kita tetap insan biasa yg selalu perlu diperingat dan saling mengingati.

    BalasPadam