Jumaat, 28 September 2012

BILA BRUNEI WAJIBKAN TADIKA DAN SEKOLAH RENDAH AGAMA


Dalam pada membaca akhbar hari ini, Jumaat 28 September 2012 pagi ini, ada satu berita dari negara jiran yang menarik minat saya. Berkenaan Brunei yang mewajibkan kanak-kanak Islam antara 7 dan 15 tahun yang tinggal di sana untuk dihantar ke sekolah tadika dan sekolah rendah agama(SRA). Pada saya ini satu langkah yang amat baik dan patut dicontohi. Memetik dari akhbar Harian Metro, ruangan Berita Serumpun, ‘Ia sebahagian daripada Peraturan wajib Pendidikan Islam 2012 yang ditekankan oleh Sultan Brunei dalam ucapannya, pada Sambutan Hari Guru, baru-baru ini. Peraturan itu akan dilaksanakan bermula 1 Januari bermula tahun depan.’ Di Malaysia, tak pasti apakah ‘dalam nak rak’ merombak dasar pendidikan, adakah ini telah termasuk. Kalau sudah ada….eloklah. Setakat ini rasa saya, untuk pendidikan SRA,  ia bergantung kepada kemahuan penjaga. Bagi yang mahu, hantarlah, bagi yang tidak….tidaklah. Tak dengar lagi perkataan WAJIB. Sedangkan selaku muslim pendidikan agama adalah fardhu ain dan memang jatuh wajib pada setiap individu. Zaman kini…amat bertuah penjaga dan anak-anak kerana terlalu banyak sekolah agama disediakan. Sama ada yang dibawah Jabatan Agama Islam negeri masing-masing mahupun yang swasta dan masih perlu berdaftar secara sahnya.

Saya membandingkan semasa zaman saya dahulu (40-7 = 33 tahun lepas), saya tidak dapat pendidikan agama yang boleh kata lebih formal dan tersusun seperti kini.  Di sekolah kebangsaan, pendidikan agama waktu itu juga hanya terhad kepada Pendidikan Agama Islam asas dan mula dari darjah 4 ada Pelajaran  Jawi. Selebihnya, saya belajar mengaji pun di rumah orang. Setelah bertukar mengaji dengan 2 guru di rumah mereka, Alhamdulillah saya dan adik beradik ditemukan dengan sebuah tempat lebih baik dipanggil Madrasah di perkarangan perumahan pangsa di sekitar Bangsar sana. Di situlah kami mendapat pendidikan lebih tentang perkara-perkara yang wajib kami tahu. Hari biasanya mengaji dan hujung minggu diajar Tajwid, Fikah. Sekaligus dalam masa yang sama pasti disentuh bab Akhlak dan Sirah juga ada disampaikan secara tak langsung. Semoga Allah terus merahmati 4 orang bekas Ustazah kami di situ sama ada masih hidup mahu pun yang sudah meninggal dunia. Jasa mereka membuatkan kami celik sepatutnya.

Anak-anak  kini rasanya Alhamdulillah lebih beruntung. Ramainya, bermula masuk darjah satu, sekaligus didaftar untuk ke sekolah rendah agama. Ini akan berterusan sehingga ke darjah 6. Bila mereka ada UPSR, mereka juga akan menduduki UPSRA dan pada darjah 5 adanya UPKK. Namun masih saya ingat, pada waktu awalnya saya terpaksa mengingatkan suami untuk berbuat demikian. Maklumlah zaman kami tak seperti itu. Suami pun terlepas pandang awalnya. Zaman kami hanya ada satu sekolah. Syukur…memandangkan saya terpandu melihatkan adik saya(langkah bendul tu…) yang telah berbuat begitu pada anak sulungnya, ini mengingatkan saya perihal pentingnya pendidikan aliran agama. Jadi….. yang baik itu jadilah contoh. 
 
Awalnya dahulu ada juga terfikir apakah anak-anak akan terbeban dengan 2 sekolah. Maklum pagi dah penat. Balik sahaja, rehat tak seberapa terus mahu ke sekolah petang pula. Namun fikir dua kali, biar beban didunia, jangan di akhirat. Kasihan berlebih didunia dan manjakan untuk tidak penat, di akhirat siapa yang akan mengasihani mereka? Lagi pun selaku penjaga kita berusaha memberi sebaik mampu, selebihnya adalah pada penerimaan anak-anak. Kita harus melepaskan tanggungjawab kita dengan cara yang sepatutnya. Tugas mereka pula belajar. Tambahan selaku orang yang tak mampu mengajar sendiri, wajib pula kita mendapatkan mereka yang mahir dan berilmu untuk mendidik anak-anak kita perihal agama. Itu pendapat saya.

Setakat ini syukur kerana dapat menghantar anak-anak ke sekolah rendah agama. Saya selalu terfikir, andai sahaja saya berpeluang macam mereka, alangkah seronoknya. Dapat belajar Bahasa Arab. Menyentuh mengenai  Bahasa Arab, pasti sahaja ia terkait dengan  kita pada Al-Quran. Saya  rujuk pada akhbar yang sama pada ruangan Setempat di mana tajuknya Syarat Kuasai Bidang Sains – Pemenang Hadiah Nobel nasihat pelajar tekuni Bahasa Inggeris. Tidaklah saya melekehkan Bahasa Inggeris. Namun saya nampak sepertinya ada pemikiran yang menjurus kepada….. Sains itu yang pandainya adalah asalnya orang Barat. Bukankah kita Muslim mengakui bahawa Ilmu Sains yang hebat itu terkandung dalam Al-Quran itu sendiri. Kisah kejadian alam, bulan bumi, matahari, manusia, haiwan, tumbuhan, hujan, malam siang….segalanya ada dalam Al-Quran. Cuma pengkajian dan pembuktian itu giat dijalankan manusia biasa. Al Quran itu telah menceritakan segala ketetapan dan penetapan Sains. Manusia kini hanya membuktikan. Al- Quran, kalam dari Pemilik segala Ilmu. Al-Quran itu dalam Bahasa Arab, jadi tak salah pula jika saya katakan penguasaan Bahasa Arab itu sama atau mungkin lebih penting sedikit dari Bahasa Inggeris seperti dakwaan Prof Dr Peter C Doherty, pemenang hadiah nobel itu. Kita juga sedar ramai Saintis yang bukan muslim asalnya, kembali menemui Islam bila mengkaji Al-Quran, walau mereka membaca terjemahan dalam bahasa masing-masing. Bahasa Arab itu tetap sebagai asasnya, bukan Bahasa Inggeris. Andai Bahasa Arab diwajibkan dalam pendidikan, saya nampak logiknya amat kuat.

Bila sebut hantar sekolah agama, bukanlah kita mengimpikan untuk anak kita menjadi Ustazah atau Ustaz sahaja. Itu bukan persoalannya. Ia semata-mata kerana asas pendidikan agama amat perlu untuk bekalan hidup dunia juga akhirat. Diakui, di sekolah kebangsaan juga telah ditingkatkan silibus untuk pendidikan agama. Terdapat juga kelas mengaji Al Quran, Bahasa Arab, dan Jawi, namun masih belum memadai. Semakin maju manusia ini, semakin tinggi teknologi semakin kita perlu mengukuhkan benteng rohani dengan memantapkan pendidikan agama. Pancaroba dan dugaan itu bentengnya iman yang kuat dan kukuh. Asasnya didikan agama. Tiada guna menjadi akauntan hebat, jika rasuah dan songlap jadi amalan. Doktor pakar hebat tapi mencabul pesakit ataupun pemimpin dipuja sedangkan menindas rakyat secara bijaksana.

 
Saya sebenarnya akui anak-anak lebih pandai menulis jawi dan lebih cantik tulisan mereka jika disuruh dan dibanding dengan saya menulisnya. Saya boleh baca sahaja. Menulis tu….lambatlah sikit. Namun ada kenangan yang tak saya lupa tentang sekolah agama ni. Anak nombor dua saya, yang bakal UPSRA  minggu depan pernah terpaksa dikejar oleh kami berdua di kawasan sekolah, pada awal darjah satunya. Dia tak mahu sekolah atas alasan penat. Dia mahu balik dan tidur. Seperti biasa selepas tadika sebelumnya.  Gelihati mengenang abahnya terpaksa marathon mendapatkan dia yang mahu ke pintu pagar sekolah.  Maklum selama 2 tahun (5 dan 6 tahun…tadikanya satu sesi sahaja), jadi dia keletihan. Namun syukur hanya awal sahaja. Sempat ditegur oleh Makcik cleaner, katanya “Nak jangan malas sekolah….esok besar jangan jadi macam makcik ni, jadi tukang sapu jer….” . Saya tersentuh dan hanya senyum. Dunia di tangan, akhirat dihati……kerana ia lebih kekal lagi abadi.

Satu lagi, saya teringat kata-kata seseorang pada saya. “Sekarang ni apa sahaja pasal agama, kelihatan biasanya ramai yang nampak hanya jadi perniagaan”. Saya dalam hairan memikir. Dia sambung lagi. “Apa sahaja berkenaan sunnah juga biasanya diperdagangkan”.  Oh ya! saya berfikir. Saya memikir lagi. Namun ada benarnya. Bila mahu hantar anak ke tadika utamanya yang swasta dan ditambah sedikit unsur  Islamik….nah bayaran ada ekstra. Nak makan makanan sunnah, nah harganya. Terlihat juga Islam itu bagai lebih diberatkan hanya dari segi diperniagakan. Ini pandangan sekilas sahaja. Islam adalah cara hidup. Lebih penting sebagai amalan dalam kehidupan. Tidak salah berniaga, asal, sama-sama menang. Maknanya berpada-padalah. Saya rasa orang tu ada ‘point’. Namun ini akhir zaman. Memang telah dijangka Islam itu ramai pula  yang mengambilnya hanya sekadar untuk mendapatkan dunia. Namun bagi mereka yang sekali menyertakan dengan tidak memaling dari akhirat, mereka pasti lebih beruntung.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan