Selasa, 22 Januari 2013

ALLAH ENGKAU DEKAT, PENUH KASIH SAYANG.


Pagi ini berkesempatan aku mendapatkan  dua naskah akhbar. Sewaktu memilih-milih akhbar tadi aku menyambar Mingguan Warta Perdana. Alasannya ternampak paparan wajah Ustaz Ebit Lew dengan tajuk kecil 'Setiap hari menangis'. Pertama kali aku kenali rupanya. Seperti itulah aku, tak semua dapat tahu serentak. Bila sampai masa nak tahu, tahulah. Tambahan dari namanya sahaja tahu sudah bahawa dia adalah seorang yang 'converted'. Asal bukan Islam kepada seorang Islam.  Jadi ini menarik hati dan perhatian. Tambahan malam tadi ada mendengar siaran ulangan slot beliau di radio IKIM(Institut Kefahaman Islam). Selalu terdetik, "Suara Ustaz ni macam remaja belasan tahun je". Bayangan aku dia seorang yang bertubuh kecil dan bermuka budak dan pasti dalam agak awal 20an. Tak dapat dinafikan setakat ini radio IKIM ini menjadi antara wadah bagi memanfaatkan pendengaran ini selari tuntutan yang Pemberinya. Suaranya Ustaz ini dah beberapa kali aku dengar. Namun tak dapat padanan dengan namanya. Mendengar radio pun bukan 24jam. Untuk satu rancangan pun tak mesti mula sedari awal, sering juga di pertengahan.

Jadi begitulah aku memilih untuk naskah tersebut. Suka mendengar butir pertututan dakwah dari beliau walau ada kalanya aku merasa dia sedikit terlalu laju dalam berbicara. Adakalanya seperti susah nak bernoktah. Namun itu mungkin juga kelebihan beliau atas ilham dan semangat dakwah yang dikurniakan Allah untuknya. Menyelak halaman dalam akhbar ternyata jangkaan ada sedikit meleset. Dia memang seorang ayah kepada sepasang cahayamata, berumur 28 tahun dan bertubuh sederhana tidak kecil seperti jangkaan. Ternyata seorang yang kelihatan matang dari riak wajahnya. Semua itu mungkin kerana pengalaman hidup dan kerjaya yang dilaluinya. Datang dari 12 orang adik beradik dan 6 dikhabarkan masih Buddha dan 6 lagi sudah memeluk Islam.  Bercita-cita besar dan murni. Seperti biasa bila seseorang yang bukan mendapat Islam secara warisan. Terpilih melalui pintu hidayah, biasanya pegangannya menjadi lebih erat dan ketat berbanding kita yang mewarisi Islam dari kedua ibubapa. Banyak yang dapat dipelajari dari kisah mereka dan baik juga mendapatkan panduan dan bimbingan dari orang sebegini. Ok, itu sedikit mukaddimah selesai sudah.

Beralih pada Harian Metro pula. Ini yang utamanya. Melihat paparan wajah seorang anak yang duduk seperti mencangkung sambil bersandar,  hanya berseluar 'track bottom' disingkap melepasi lutut, dicatat berumur 10 tahun dalam keadaan mata yang agak layu, tangan menongkat dahi kanan, mulut bertaup rapat jauh untuk senyum dengan kebanyakan bahagian tubuhnya berparut agak kehitaman dan ada yang masih kemerahan. Parutnya besar-besar dan semua itu menghambat simpatiku pagi hari. Tajuk kisahnya dicetak sebagai 'Hilang ingatan tujuh tahun dibelasah KEJAMNYA AYAH'. Astaghfirullah!  Tak usah dihitung ayah tirikah atau ayah kandungkah. Ternyata ini satu kezaliman. Apa ini satu lagi antara banyak kisah bila hati dimamah syaitan. Dikunyah seenak mungkin, hingga hilang perimanusiawi berrtuhan nafsu menzalimi sesama insan. Aku simpan tepi latarbelakang anak ini dan tumpuan hanya kepada kezaliman dalam bentuk penderaan fizikal yang terjadi padanya. Ternyata ianya juga mengakibatkan mentalnya tergugat. Ingatannya rosak. Menjadi lembab dan lemah pemikiran dan akalnya. Kasihan sungguh. Di mana ibunya? Itu soalan takkan terkecuali. Ibu dah lari dengan abang meninggalkannya. Melihat kepada ibu sebegini, menjadi iktibar kepada diriku dan ibu lain diluar bahawa anak itu sesungguhnya amanah dari Pengurnianya. Bagaimana pun kesukaran dan kepayahan, lari dari tanggungjawab bukan penyelesaiannya melainkan membuka pintu dan ruang untuk masalah lebih besar. Andai ibu yang melahirkan dan dikatakan syurga di telapak kakinya sanggup meninggalkan anak sebegitu sahaja, usah diharap pada yang lain untuk berlaku baik pada anak tersebut. Sengketa ibubapa sahaja adalah bibit kemusnahan masa depan anak-anak bila salah ditangani. Allah Maha Pemelihara!

Merenung ke dalam diri, Allah! Aku ternyata tidak lagi sempurna sebagai ibu kepada anak-anakku. Boleh sahaja meninggi suara untuk marah bila tercabar, boleh sahaja sampai tangan bila hilang kawalan situasi, boleh juga memekakkan telinga, memejam mata dan minta diri bila rasa perlu masa menyendiri. Namun semoga kau pelihara aku dari bertindak diluar redhaMu. Jauhi aku menempuh jalan seperti ibu yang meninggalakn anaknya dan membiarkan anak tak bersalah itu menanggung silap dirinya dan menggadai masa depan anak tersebut. PembalasanMu pasti ada untuk sedemikian tingkah. Di alam kekal hanya ada antara dua....Syurga atau Neraka.

Kisah ini juga mengingatkan aku pada suatu perasaan yang aku alami baru-baru ini. Ahad lalu. Biasanya jika anak-anak mahu ke taman permainan, aku sekeluarga (tolak yang di asrama) akan bersarapan di tempat berhampiran taman itu juga. Jadi kami ke tempat biasa. Tingkat 2. Biasa waktu makan di luar tak berapa aman dengan tingkah anak bongsu yang makin agak menjadi. Mencecah umur 3 tahun. Kerusi baginya bukan tempat duduk bahkan untuk berdiri. Selain tak akan diam melebihi 10 saat. Pun begitu aku, sering tak dapat melepaskan pandang padanya. Kenal sangat tingkahlakunya. Mulut diam, tangan berjalan. Jarak jalan 3 meter dia akan lari seperti pecut 100m. Jadi fahamkanlah. Dek kerana meja lain penuh, kami terpaksa memilih meja berhampiran jaringan pagar besi. Anak kecil ini tengah suka menolak makanan, melebihkan main. Mahunya air, air dan air. Tak mengapa. Selesai makan aku tumpukan mengawasi anak. Kerusi aku memang yang bersebelahan dengan jaringan besi tersebut. Jaringan itu agak jarak-jarak juga. Namun tak rasa mampu loloskan anak hampir 3 tahun. Kecil dari itu, entahkan mungkin juga. Namun bila sahaja anakku berdiri begitu berdekatan dengan pagar tersebut, satu perasaan menyelinap ngilu ke dalam dada. Tercengkam ketakutan. Sehingga sejuk tubuh. Ketakutan yang seperti menyedut keluar darah dari dalam tubuh..

Budak itu apa saja fikirnya. Seronok, mencuba. Tiada 'fear factor'. Ingin tahu. Hanya bila sudah disentuh kesakitan, menangislah dia. Dia memegang dua antara jaringan dengan melekapkan muka ditengah-tengah jaringan. Waktu itu, aku pantas saja melepaskan pegangannya dan menariknya kepadaku dan mengepit dia antara kedua kaki aku yang sambil duduk dibangku. Aku rapatkan dada memeluk dia. Tanpa dijangka, airmataku murah mengalir keluar. Aku mengimbas 'bayangan' yang datang tadi. Bayangan yang aku tak dapat maafkan diri aku andai dia terlolos dari jaringan tersebut. Apa itukah antara kasihnya ibu? Selalu bimbang dan tidak mahukan anaknya disakiti dan dilukai. Mudah rasa bersalah bila sesuatu kejadian buruk menimpa anaknya? Oh! aku memungkinkan kesemua itu. Kemudian bagai ada satu suara, berkata di telinga, "Andai begitu sayangnya engkau pada anakmu yang engkau kandungkan selama 9 bulan 10 hari, lahirkan dengan penuh kepayahan dan kesakitan tubuh badan. Kenangkan juga semula kegembiraan sewaktu dia dilahirkan. Lantas,  INGATLAH TUHANMU LEBIH MENYAYANGI SETIAP HAMBANYA. 1 dari 10 kasih sayang yang dicampak olehNya ke dunia ini boleh membuat engkau dicengkam kengiluan dalam kebimbangan akan kesejahteraan anak yang menjadi pelengkap kehidupan, RASAKANLAH KASIH SAYANG TUHANMU. BersamaNya masih ada tersimpan 9 bahagian menjadi rahsiaNya." TuhanMu tidak tega bila engkau mencampakkan diriMu kejurang kebinasaan. Hanya kerana itu dia membentangkan jalan kebaikan juga keburukan untuk engkau pilih. Dia 'cemburu' bila engkau memilih menuruti jejak syaitan dari perintahnya. Penyekutuanmu(secara sedar atau tidak) mencabar ketuhananNya. Andai Dia mahu boleh sahaja dia jadikan semua manusia itu beriman sebaiknya. Namun fikirkan mengapa Dia memberi pilihan. Di situ Dia menguji setiap dari hambanya. Menilai kepatuhan dan ketundukan hambanya. Sejauh mana engkau mendahulukan Dia dia atas segala yang lain. Sedarlah!". MasyaAllah! Bagai ditampari kesedaran. "Allah pun cemburu?". Getusku.  Cemburu itu tanda kasih dan sayang. Betul pula bidalan tersebut. Airmata aku kesat dalam lindungan. Ternyata Engkau Maha Pengasih lagi Penyayang wahai Tuhanku. Dunia ini memang tempat persinggahan menuju keberkekalan disisiMu. Tempat ujian dan cubaan. Kuat dan tabahkan aku dengan lafaz La haulawalaquwwataillabillah.....Aku melangkah pergi setelah semua selesai. Kami menuju ke taman permainan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan