Selasa, 29 Januari 2013

MOTIVASI TERBAIK UNTUK SETIAP JIWA - KALAMULLAH, AL-QURAN, AL-FURQAN, KITABULLAH.


Bismillahirrahmanirrahim.
Al-Quran, Al-Furqan, Al-Kitab....Itulah Kalamullah. Membaca dengan mematuhi syarat rohani dan jasmani mampu menjadikan Allah seolah-olah berbicara kepada sipembacanya.

Entah di mana mahu rasa mula berbicara. Perasaan inilah yang sering menerjah diri bila mahu menambah entri. Blog ni nyata sekali bukan blog perniagaan atau seangkatan dengannya. Bila mahu, ditulis. Bila tidak. Begitulah. Tidak perlu saya mengikat diri. Semua yang dihitamputihkan di sini adalah asasnya dengan kerelaan. Tiada pula mengikat diri mesti begitu begini. Namun tak dinafikan, tiap perkara kecil, lebih lagi besar mesti juga dibuat dengan proses berfikir. Mahu menulis sesuatu entri juga begitu. Perkara pertama mesti berfikir tentang apa manfaat yang mahu diselitkan didalamnya. Begitu, baru ada kepuasannya kerana telah berusaha menepati ciri-ciri perkongsian yang baik.
Tak pasti entahkan berapa lama sahaja blog ini dapat bertahan. Seorang seperti saya yang tidak begitu tahu selok belok IT mahu pun berblog, memang berblog semata-mata untuk menulis dan jika ada yang sudi membaca dan dapat pula mencari manfaatnya dalam serba kelemahan tulisan tersebut, itu saja sudah tetap berhasil untuk insan kerdil di hadapan Allah ini. Apa sekali pun setiap yang dicatitkan tetap ada nilai sentimentalnya secara peribadi. Begitulah, seorang  manusia menjalani hari-hari yang disempurnakan Allah dengan segala kekurangan yang sentiasa melingkarinya. Hanya Allah yang Maha Sempurna.

Semuanya yang  terakam blog adalah semata-mata untuk sebuah perkongsian kehidupan yang serba biasa. Masih terlalu amat jauh dari sebuah kesempurnaan. Boleh dan dapatkah kita sebagai manusia merasa puas dan merasa lengkap atau ringkasnya merasa sudah sempurna?. Dengan segala kemahuan dan kehendak yang tak berkesudahan serasa tidak memungkinkan. Selepas mencapai sesuatu, pasti muncul kehendak yang baru. Setelah habis melaksanakan sesuatu yang dangkat sebagai satu tanggungjawab, akan tiba pula tanggungjawab yang baru. Ini selaras pula dengan petikan ayat dalam Al-Insyirah ayat 7 dan 8 bermaksud:

"Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain). Dan kepada TuhanMu sahaja hendaknya engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).

Ringan mahu pun berat tanggungjawab, cubaan atau pun dugaan ataupun kesenangan(juga antara cubaan) tersebut telah diatur oleh yang Maha Pengatur, Maha Teliti lagi Maha Halus. Dapat kita fahami melalui sebahagian potongan ayat dari surah Al-Baqarah ayat 286 bermaksud;

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. ........

Proses kehidupan manusiawi tersebut berterusan. Dari satu fasa ke satu yang lain. Bermula dari kelahiran. Menyentuh tiap titik, menurut aturan Maha Kuasa. Serupa waktu kanak-kanak....Melukis gambar sesuatu objek menurut sambungan lakran titik-titik bernombor yang disediakan. Bermula dari satu hingga lengkap gambaran objek yang disediakan. Kita juga seperti itu. Itu gambaran kehidupan. Lebih dari sekadar melukis seperti seorang kanak-kanak, kehidupan itu ada arusnya. Tak terkecuali ada gelombangnya mahu pun badainya. Semoga kapal-kapal kita cukup kukuh untuk melayari arus yang ada kalanya mengganas tanpa sebarang amaran. Selain cukup pula bekalan untuk menjamin kelangsungan hidup. Andai berpeluang singgah di hentian-hentian tertentu, mengutip dan mengumpul 'bekalan tambahan'. Mesti berlatih pula menjadi jurumudi yang peka dengan sebarang perubahan cuaca yang melanda. Serba sedikit menguasai ilmu menafsir hala tuju kehidupan. Lagi awal sesuatu persiapan dibuat, memberi peluang keselamatan yang lebih. Memberi peluang yang cerah bagi satu perlabuhan yang menyelamatkan diri dan seisi kapal.

Hatta, satu-satunya kesempurnaan yang dimahukan dalam sebuah kehidupan, itulah kesempurnaan di saat seorang hamba menghadap khaliqnya. Meninggalkan kesementaraan menuju keberkekalan. Sebuah pemergian yang entahkan sempat meninggalkan pesanan. Diberi ia nama kematian, yang ada sesetengahnya memaling dari memikirkan. Mengapa? Sedangkan ia adalah suatu kemestian. Kemestian yang seringkali pula meragut kelazatan dan kesedapan nikmat kehidupan dengan secara tiba-tiba. Tanpa sebarang isyarat jauh lagi amaran. Kejamkah kematian? Bukankah sebaliknya manusia yang seringkali berlaku kejam terhadap diri sendiri kerana lalai dari mengingatinya? Lantas melucutkan sendiri peluang mempersiapkan diri? Oh!... La ila hailla anta subha naka inni kuntu minadzalimin.
Manusia wajarnya bergerak kepada pencarian sebuah kesempurnaan dalam kemampuan meredhakan 'saat tersebut' dan utamanya mendapat redha dariNya. Itu kemuncak kesempurnaan sebuah kehidupan yang sementara. Teringat saya pesan Ustazah Norhafizah Musa yang gemar  mengingatkan bahawa seringlah mengingatkan diri dengan kata-kata, "Wahai diri sesungguhnya, dunia ini bukan kampung mu. Kamu akan pulang ke tempat kekalmu, iaitu kampung akhirat." Ustazah sering menuturkannya dengan nada yang memagut rasa hati saya. Saya suka. Ia suatu penyerahan yang beralasan kepada kebenaran lagi haq.  Untuk lebih jelas, motivasi terbaik itu datang dari Pemilik Seisi Alam untuk insan memikir keutamaan dan keperluan bagi meraih kesudahan yang baik tersebut dapat kita bersama hayati dari potongan-potongan ayat al-Quran: Surah Al-Fajr, bermaksud:

27. (Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal solih akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang dan tetap dengan bawaan baiknya!--

28. "Kembalilah  kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati @redha(dengan segala nikmat yang diberikan), ladi diredhai (di sisi Tuhanmu)!--

29. "Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia--

30 "Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!"

(Tersenyum seorang). Asalnya mahu menulis perihal lain, lainlah pula yang terzahir. Itulah..... saya seringkalinya, ternyata menurut gerak hati dan cetusan spontan darinya. Kemudian sahaja untuk entri yang dirancang sebelumnya. Sekadar itu buat masa ini dari seorang yang tidak memiliki tetapi dimilikiNya. Tidak punyai tapi dipunyaiNya. Hanya berdaya dengan Laa haula wala quwwata illa billah. Dari satu jiwa kerdil yang tak terkecuali gemar meluah pandangan peribadi terhadap sesuatu perkara yang menarik minat dan rasa hati.  Wassalam.............

Tiada ulasan:

Catat Ulasan