Ahad, 27 Februari 2011

GANJARAN WANG BUAT GURU.



Selepas minum pagi bersarapankan nasi lemak tanpa lauk dan sedikit kuih dari kedai, saya terasa ingin menyampaikan. Hari ini saya memilih satu topik yang pada aku mustahak. Sebagai warganegara Malaysia yang masih ada rasa sayang dalam hati, saya cuba sampaikan perkara ini, walau mungkin sesetengah yang akan terbaca, bakal merasa kurang puas hati. Sebagai seorang yang pernah melalui alam persekolahan - rendah, menegah, institut dan universiti, rasa boleh kiranya saya bersuara. Walau ada sumbang. Ini cuma suara hati juga pandangan.

Semalam saya terbaca mengenai Wawancara Mingguan Malaysia dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Di bawah tajuk Iktiraf Kepimpinan Sekolah. Saya yang mempunyai tiga orang anak yang sedang bersekolah terdorong membacanya. Memperihalkan aspirasi Kerajaan dalam menentukan halatuju sistem pendidikan negara Wawasan 2020. Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan segala niat murni kerajaan dalam usaha memastikan rakyat negara ini dapat menikmati pendidikan yang berkualiti. Pelan-pelan dikatakan terangka mencakupi peringkat pra-sekolah hingga ke pengajian tinggi. Syabas dan tahniah atas semua itu. Saya akui sebagai rakyat Malaysia, sangat beruntung atas pendidikan formal yang telah saya ada ditahap ini. Diakui juga ada juga rasa ingin masuk kelas semula. Saya suka pada ilmu. Saya suka menghadap pensyarah. Saya suka berkelilingkan sahabat menuntut ilmu. Pendeknya saya suka belajar. Belajar menyedarkan bahawa kita bahawa sentiasa ada ruang mengetahui sesuatu yang baru.

Meneruskan pembacaan saya, saya dapati wawancara itu berintikan bagaimana kerajaan ingin menghargai guru-guru mereka (guru-guru anak-anak kita) dengan ganjaran kewangan berdasarkan prestasi. Dikatakan ia sesuatu yang baru yang pertama kali bakal dilaksanakan dalam perkhidmatan awam negara ini. Wow! seronoknya. Saya menumpang sekaki. Dinyatakan juga idea berani ini akan diusahakan secara telus lagi adil. Baguslah! Saya sokong tu.

Kemudian saya mengimbas-imbas alam persekolahan saya. Terbayang-bayang wajah guru-guru saya dahulu. Semoga Allah merahmati mereka (yang masih ada dan juga yang tiada). Terkenang saya akan perit-jerih mereka mendidik saya dan rakan-rakan sekelas. Di sekolah rendah, paling tidak boleh lupa pada Cikgu Khamsiah. Cikgu yang paling 'garang'. Saya cuma berterus terang. Ramai anak-anak murid yang' merasa' dengan beliau. 4 dari 6 adik beradik saya telah 'merasa' bergurukan beliau. Banyak kenangan yang boleh kami bualkan tentangnya. Saya teringat hukuman-hukuman yang diterima seandainya gagal menurut kata Cikgu. Perut saya selalu 'hilang' bila tiba masa Cikgu masuk kelas. Semoga Allah mencucuri rahmatnya ke atas roh beliau. Saya mengetahui beliau meninggal dunia kerana kanser. Itu imbasan sewaktu darjah 5.

Saya teringat pula pada Cikgu Zainuddin. Cikgu yang membuat saya suka pada Matematik. Saya tak segan katakan, saya sayang dengan Cikgu ni. Dia memang macam bapa pada anak muridnya. Dia rajin betul mengajar kita orang. Dari cara dia, memang komited betul. Maklumlah. Saya ini dari keluarga yang tak mampu pun nak pergi tuisyen. Kelas tambahan percuma beliau betul-betul saya hargai. Guru lain pun sama juga. Cikgu Zainuddin buat saya jatuh cinta dengan pengiraan. Bermain dengan angka sebenarnya satu cabaran dalam keseronokan. Dia mengajar supaya jangan kenal pun putus asa selagi tak dapat jawapan yang betul dengan jalankerja yang betul. Saya takkan lupa Cikgu yang seorang ni. Pada saya dia seorang yang terpancar IKHLAS dan tidak mengharapkan apa-apa dalam usaha mendidik anak bangsa. Saya menilai, dia bekerja - datang pagi dan pulang petang dan terlibat dengan aktiviti sekolah dengan niat ikhlas sebagai komitmen seorang insan. Insan yang ingin melihat anak bangsa celik ilmu. Menerangi kegelapan. Beliau dibayar gaji dalam usahanya. Imbuhan lain - saya tidak pasti!. Gaji yang diperolehi didoakan halal dan diberkati Allah. Ia bakal mendarah daging untuk dirinya dan keluarga. Beliau seorang pemimpin (dalam keluarga). Beliau seorang khalifah (di dunia). Tanpa perlu ganjaran kewangan (sebagai inisiatif 'extravaganza') beliau telah berjaya mendidik saya dan rakan-rakan sehingga tamat PMR. Saya cuma dapat 6A sahaja. Tak cukup bagus pun.

Saya teringat guru-guru saya dulu, ramai mereka serba sederhana. Melihat kepada pemakaian mereka sahaja, saya tahu. Lihat juga kenderaan mereka. Walau saya remaja yang masih 'bodoh-bodoh alang', saya belajar menilai. Berbanding dengan guru-guru sekarang. Jauh berbeza guru-guru sekarang. Saya puji kerajaan dalam usaha memartabatkan karier perguruan ini. Guru-guru kini lebih berprestij lagi glamor. Nah! cuba lihat dan nilailah. Tidak salah untuk melihat dan berfikir. Oklah kita boleh katakan sekarang ni dah tahun millinieum. Nampaknya guru-guru sekarang bergerak seiring dengan matalamat millinieum itulah! Sampai nak mendidik anak bangsa pun perlu ada habuan dalam RM?!!. Itu cuma satu soalan. Wajar kiranya kerajaan tidak perlu mencanang 'habuan' ini sebelum melihat hasilnya. Itu akan mewujudkan budaya 'kerja dahulu, imbalan kemudian - surprised'. Bagi mereka yang diganjari, bukan kerana ganjaran itu matalamat mereka, tapi keikhlasan mendidik dan dan komitmen ingin memajukan bangsa - ITULAH YANG PERLU DIHARGAI!. Jika begitu kerajaan terlihat ikhlas dan begitu juga guru-guru yang bakal mendapat ganjaran.

Saya terpanggil menulis tentang ini kerana terasa hati saya pada pagi ini. Saya marah pada berita online yang saya baca tentang GURU RABA MURID, di Metro pagi ini. Saya juga kurang senang pada cerita menantu kepada bekas penjaga anak saya semalam. Saya terjumpa dengannya di sebuah pasaraya semalam. Berbual-bual tentang anak-anak dan dia bercerita mengenai sekolah anaknya (menengah) di mana guru-gurunya tidak suka mengajar. Anda pelik?! Begitu juga saya. Seolah sukar nak dipercayai. Namun ini hakikat. Dia katakan anaknya malas hendak ke sekolah kerana guru tidak mengajar. Anaknya hanya berharap kepada pusat tuisyen dari segi pembelajaran. Sungguh terkejut saya!. Saya tanyakan tentang keputusan peperiksaan anaknya. Mendapat 4A dan 4B dalam PMR. Not bad! rasa saya. Tapi ibu itu berkata. "Nasib baik pergi tuisyen, kalau tak, entahlah!. Diceritakan juga, sehingga Kementerian buat 'serbuan' setelah mendapat komplen dari ibubapa. Nah! apa ini?

Saya ringkaskan bahawa, cadangan memberi insentif pada guru-guru sebagai menghargai jasa, itu adalah baik. Tapi mungkinkah ada kesan lain? Manusia ini ada dua unsur. Roh dan jasad. Kita biarkan roh keikhlasan itu mendorong guru-guru bekerja dengan niat Lillahitaa'la. Jasad mereka akan menerima ganjarannya. Mereka pasti bahagia jika mendahulukan keikhlasan dan bukan bekerja demi mengejar wang semata-mata. Saya akui kini, dan dahulu - Guru-guru berbeza. Saya faham zaman telah berganjak ke hadapan. Atas dasar itu, inspirasi dan aspirasi guru jangan sehingga keciciran kebelakang. Ikhlaslah dalam kerjaya murni itu. Tanpa guru, murid-murid bukan sesiapa. Guru kini terlalu banyak cabarannya. Dunia pendidikan kini juga perlahan-lahan diperdagangkan. Tapi jangan sampai 'KEIKHLASAN' itu hilang dibawa arus material. Guru menjadi rujukan setiap sudut. Sahsiah guru juga menjadi renungan anak-anak murid. Mendidik tugas murni yang mesti 'dipelihara'. Semoga Malaysia dan rakyatnya akan terus maju dan seimbang halatujunya menerusi dunia pendidikan demi mengejar dunia dan tidak melepaskan alam kekal di sana.

10.15am@28/02/11


Tiada ulasan:

Catat Ulasan