Selasa, 10 Mei 2011

PERGINYA SEORANG IBU DAN ISTERI.....MAK LONG

Walau pagi telah menjelma dan mata ingin tidur, hati menghalang diri. Mahu mencoret dahulu. Meluah rasa berdasar peristiwa yang masih baru dan ada bara.

Sebelum maghrib tadi menjelma, aku mendapat panggilan dari adik lelaki memberitahu perginya seorang yang berpangkat makcik pada kami. Beliau juga seperti mak saudara. Namun oleh kerana hanya kakak angkat kepada Allahyarham bapa, bukan ada pertalian darah sebenar, kami masih  tetap memanggilnya Mak Long . Pemergian yang mengejutkan kerana tidak pernah kedengaran sakit teruk sebelum ini. Setakat sakit sengal-sengal lutut itu adalah. Perginya meninggalkan seorang suami yang hampir buta, akibat kemalangan teruk pada tahun lepas. Aku kenangkan kembali, parah sungguh keadaan suaminya sewaktu kemalangan dulu. Langgar lari oleh sebuah teksi. Terlantar lama. Namun atas kehendak Allah. Lain yang parah, terlantar dan kesakitan, lain pula yang terpanggil menghadap Ilahi. Itulah ajal namanya. Tamat perjanjian. Pulanglah insan. Menghadap Tuhan Sekalian Alam. Selagi belum sampai ajal. Berpantang maut sebelum ajal. Kata orang Melayu. Terbukti sekali lagi hari ini. Ini wajar aku insafi.

Pemergian yang juga meninggalkan seorang anak lelaki tunggal. Namun tidak kami lihat sewaktu menziarahinya tadi. Anak lelaki tunggal yang ditatang bagai minyak yang penuh. Sewaktu kecil dan membesar, sepenglihatan aku, mendapat banyak yang diingini. Namun kenapa dalam keadaan telah terpisah nyawa dari jasad ibu dan ayah yang hampir buta, tiada kelibat sang anak? Walau dikatakan siangnya ada. Ini permasalahan manusia. Tidak molek mengandai-andai. Namun apa lagi mampu naluri manusia berbuat. Bukankah ayah yang kesedihan perlu teman mendamaikan jiwa. Di saat tatkala kehilangan isteri peneman dan penjaga dikala diri gembira, duka, luka mahupun sengsara. Tambahan sebagai anak lelaki. Bukankah diibaratkan syurga kekal ditelapak kaki ibunya. Tidak seperti anak gadis yang beralih pusat taatnya kepada suami tatkala berumahtangga. Memang mudah aku berkata-kata. Aku bukan ditempatnya. "Hei! Manusia cuba berbaik fikir sahaja". Mungkin dia terbelit permasalahan diri dan keluarganya.

Sewaktu merenung riak rupa yang tidak tahu dia diperhatikan, hati tersentuh. Berdetik, "Ke manakah dia selepas ini?" Tiada sudah sang isteri, peneman diri. Ditambah mata, hampir buta. Namun yang dahulu, didahulukan. Esok jenazah akan tiba. Semoga semua berjalan lancar untuk pengkebumiannya. Pak Long itu asalnya sahabat kepada Allahyarham abahku. Menaruh hati pada Mak Long Midah. Walau telah diperincikan bahawa Mak Long Midah itu tiada apa-apa 'kepandaian', tetap menerima seadanya mahu memperisterikannya.  Itu jodoh namanya.

Mak Long Midah memang tidak pernah bersekolah. Mak Long Midah tidak pandai membaca dan menulis. Namun beliau masih mampu menguruskan kewangan rumahtangganya. Masih pandai berbelanja. Macam wanita lainnya. Gemar ke pasar malam dan membeli apa yang rasanya suka. Ke kedai perkara biasa. Membayar bil-bil dan segala perihalnya, beliau yang lakukan. Terutama setelah suaminya kemalangan dan tidak mampu melaksanakan tgas-tugas selayaknya. Kisahnya Mak Long Midah ini menjadi anak angkat opahku bermula kerana dia hampir dibuang oleh ibunya sendiri. Menurut cerita opahku, semasa dalam kandungan, ibunya telah melakukan pelbagai cara untuk mengagalkan kehamilan terhadap Mak Long Midah. 

Namun bila Allah kehendaki sesuatu, tiada yang lain dapat menghalang. Mak Long Midah tetap lahir. Dikatakan ibunya berniat membuangnya di landasan keretapi, jika tiada siapa mahu mengambilnya. Ini ingin dibuat kerana desakan, kesempitan dan permasalahan hidup yang dihadapi siibu. Itu menurut cerita Allahyarhamah Opahku. Lantas opah aku menyanggup mengambilnya. Atas alasan tiada anak perempuan. ditambah simpati. Beliau membesar dalam kejadian yang mungkin disebut 'bodoh-bodoh alang'. Tak pasti sesuai atau tidak akan itu. Ingin mengungkap dua contoh. Pernah kami tanya, "Kenapa tak angkat telefon bila kita orang telefon?". Jawabnya,"Takut meletup, nanti terbakar telinga aku, macam dalam cerita kartun tu". "Kenapa tak naik lif. Tak penat ke naik tangga sampai tingkat 14?" Jawabnya, "Takut tersangkut lif tu, nanti lemas dalam lif". Namun kemudian kami tahu dia akan naik lif jika ada berteman. Namun kerana kami tahu asal cerita ibunya yang pernah menelan itu dan ini, hanya kerana mahu menyingkirkan kandungan, kami menjadi faham. Itu mungkin sebahagian kesannya. Selain tidak pernah mendapat sebarang pendidikan formal.

Cerita ini diungkap semata-mata ingin mengenang Mak Long Midah. Tidak berniat menyinggung  dan mengaibkan mana-mana pihak. Teringat ungkapan dari mulut si suami. "Doa aku sudah Tuhan makbul. Aku doa dia pergi dulu dari aku. Kalau aku pergi dulu, siapa nak jaga dia(Mak Long). Dia itu tak tahu apa-apa. Tak sekolah. Macam mana?" Kemudian Pak Long sedih dan menangis perlahan. Kasih suaminya, begitu pula terjemahannya. Lain orang, lain cara mengasihi. Namun niatnya Allah yang menilai....Suami juga mengungkapkan,"Tengok isteri aku pergi senang sangat (menurut mata kabur Pak Long - selepas makan, duduk berehat, tiba-tiba tertunduk-tunduk dan pengsan). Dia tidak susahkan aku. Walau dia 'bodoh' tapi aku tak akan jumpa orang sebaik dia......" Kami adik beradik mendengar, cuba menghayati.......Dalam Minggu Hari Ibu, kami sedekahkan Al Fatihah untuk Mak Long.....

2.08am@11/5/11


Tiada ulasan:

Catat Ulasan