Sabtu, 21 Mei 2011

TANAH RUNTUH RUMAH AL HIDAYAH MADRASAH AT TAKWA DI BATU 14 HULU LANGAT

Pulang sedari satu 'seminar' semalam terasa meletihkan. Bila duduk seharian di dewan yang 'air conditioning', boleh jadi begitu untuk sesetengah orang. Tak terkecuali aku. Maklumlah, rumah sendiri tidak pula ada penyaman udara. Keletihan membuatkan tiada tidak dalam 'mood' untuk menulis. Masih sempat menerjah blog yang selalu pergi dan tak terkecuali ada blog baru. Itu aku semalam.

Hari ini belum lagi membaca sebarang suratkhabar. Namun dapat meneka apa tajuk utama akhbar-akhbar utama. Besar kemungkinan itulah berita  Kejadian Tanah Runtuh di Batu 14, Hulu Langat yang setakat malam tadi melalui TV, dikhabarkan telah mengorbankan seramai 5 nyawa. 7 dikatakan telah dijumpai dan 12 lagi masih tertimbus. Dikatakan kesemuanya 24 orang. Sementara aku menulis, fakta ini mungkin sudah berubah. Namun bukan fakta itu yang aku utamakan. Ada yang lain. Kejadian ini amat mengejutkan. Negara luar sering gempar dengan gempa bumi dan kekhuatiran terjadinya tsunami. Sebaliknya di Malaysia pula selalu terdapat kejadian tanah mendap atau tanah runtuh. Namun kejadian kali ini sehingga mengorbankan nyawa. Ini mungkin juga disebabkan keadaan iklim dan cuaca yang ada di sini. Cuaca kini sering menjadi tidak menentu. Walau terdapat ramalan cuaca. Itu sekadar ramalan manusia. Kadangkala boleh diramal panas hingga ke petang, namun boleh saja hujan di tengahari. Hakikatnya manusia merancang, meramal mahu pun mengharap namun Allah juga merancang dan perancangan Allah itulah sebaik baik perancangan dan yang pasti akan terjadi. Kita hamba dan dia Tuan. Tertakluk kita di bawah ketentuan Ilahi.

Rasa sedih dengan kejadian yang menimpa. Tambahan lokasi rumah Al Hidayah dan Madrasah At Takwa yang terlibat menempatkan anak-anak yatim. Pilu sungguh mengenangkannya. Semoga Allah merahmati mereka yang telah terkorban dan menemukan para pencari kepada mereka yang masih belum ditemui. Pasti terdapat ahli keluarga mereka tak keruan menanti perkhabaran dan mengharap yang terbaik. Allah Huakbar. Segala kekuasaan hanya ditanganMu.

Kejadian sebegini tidak mampu dielakkan. Ia disebut sebagai bencana. Tiada siapa minta untuk bencana. Namun ia juga terjadi dengan izin dari Allah. Manusia sama ada mahu atau tidaknya dan walau sesedih mana harus redha menerima ketentuan yang telah terjadi. Saya akui mudah mulut saya melafazkan namun berat bagi yang memikul bebanan tersebut. Itu juga hakikat. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. 

Untuk saya masih ada pengajaran dapat diambil dari kejadian sebegitu. Kita tahu Allah menjadikan umumnya alam dan manusia. Manusia dan alam saling memerlukan. Alam pula ditundukkan untuk kemashhalatan manusia. Manusia bertanggungjawab ke atas alam. Selain faktor semulajadi seperti cuaca dan iklim. Jadi amat penting manusia untuk tidak mencemarkan alam sesuka hati. Penebangan pokok keterlaluan demi pembangunan itu perbuatan manusia. Jika dikatakan tanah runtuh kerana hujan, hujan itu tidak dalam kawalan kita. Hujan itu satu rahmat. Kehidupan perlu pada air. Namun tangan-tangan manusia itu masih dalam kemampuan mereka untuk dikawal dari rakus secara sedar atau tidak dari terus mencemarkan alam. Pembangunan yang dilakukan mesti terancang dan jangan keterlaluan, sehingga mengorbankan kestabilan alam. Bila pokok ditebang dan tanah diratakan untuk pembangunan, ada kesannya. Bila alam hilang kestabilan yang rugi adalah kita, manusia. Nyawa juga mampu terkorban. Bercakap tentang pencemaran alam, memang satu bab yang panjang. Kita' google' sahaja untuk tahu ceritanya. Pasti faham lebih.

Jika kita katakan setiap kebaikan itu dari Allah dan keburukan itu dari perbuatan diri kita sendiri. Melalui kejadian ini, apakah ia satu cara untuk kita diberi pengajaran dan dapat mengambil iktibar atas kecuaian dan kealpaan kita? Allah boleh saja mengajar manusia melalui alam dan isinya. Ini kerana manusia itulah khalifah. Manusia itu yang perlu tarbiah dan pendidikan. Binatang tidak begitu. Alam tidak begitu. Mereka semua hidup dengan fitrah. Tiada istilah dosa untuk mereka..............Marilah saya dan anda renung-renungkan......seterusnya Al Fatihah untuk mereka yang terkorban. Semoga mereka idtempatkan ditempat yang lebih baik...Amiiin.

8.12am@22/5/2011

2 ulasan: