Khamis, 31 Mac 2011

ANTARA YANG DISUKAI - NAMAKAN YANG PERTAMA

Sebagai manusia biasa, pasti kesukaan kita berbeza-beza. Dari satu individu ke individu lain. Dalam hidup  setiap perkara yang kita lakukan 'biasanya' beralasan. Makan untuk hilangkan lapar, minum penghilang dahaga. Tidur sebagai merehatkan minda dan fizikal. Teratas dari semua itu, ia berkait rapat dengan fitrah asal usul kejadian setiap sesuatu itu." Tidak Allah jadikan jin dan kita(manusia) kecuali untuk 'beribadat' kepadaNya". Itu pula alasan kukuh merujuk kejadian manusia. Hampir pasti ayat tersebut pernah kita muslimin dan muslimat dengari. Ibadat itu luas konteksnya. Selain sembahyang, puasa..... Setiap segala pekerjaan baik yang bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia itu bila diniatkan kerana Allah, Insyaallah mendatangkan pahala beribadat. Itu yang selalu saya dengar dari mereka yang alim. Saya harap dapat terus belajar....

Untuk kelainan, buat pertama kalinya saya mengungkit nostalgia 'antara yang saya sukai - teman pertama saya'. Dalam 'memberi masa' kepada diri. Ianya seperti di bawah:


SINGER....Menawan masa senggang bahagia.......
Inilah mesin jahit pertama yang saya miliki. Berusia muda setahun dari anak sulung, iaitu kurang lebihnya ialah 14 tahun. Apa kaitannya pula dengan buku merah itu. Oh! Itulah skop kerjatangan pertama yang saya pelajari. Itulah perkara paling awal yang menarik minat saya untuk menggerakkan jejari ini berusaha menghasilkan sesuatu, sebagai kesukaan. Ringkasnya hobi. Saya pasti anda semua juga ada sesuatu yang menarik untuk dilakukan di masa senggang. Jika dapat - fikirkan apakah yang pertama sekali anda gemari. Tentu yang pertama itu sesuatu yang sukar untuk tidak diingati. Sama seperti dating pertama, cinta pertama, kerja pertama, kelahiran pertama, rumah pertama, kereta pertama..... Sesuatu yang pertama itu terlalu banyak nostalgianya. Banyak juga kenangannya. Itu pun jika kita masih mamnpu mengingatinya. Insyaallah mampu!

'Crochet' itu saya Melayukan sebagai mengait sahaja. Namun Bahasa Inggeris pula mengatakan mengait itu sebagai 'Knitting'. Sememang ada beberapa perbezaan yang dilihat. Apa yang dapat saya perhatikan 'Crochet' itu menggunakan sebatang jarum. Sebaliknya 'Knitting' itu menggunakan dua batang jarum. Kedua-duanya semestinya menggunakan benang. Terdapat pelbagai jenis benang. Ada kod-kod atau nombor-nombor tertentu demi mengenalpasti jenis-jenis benang. Ada benang- yang kasar dan halus. Penggunaan bergantung kepada apa yang mahu dihasilkan. Benang dalam pelbagai warna dan tonanya. Itu perlu kepada mengenalpasti nombornya supaya tidak tersilap memilih dan membeli. Apa pun kedua-duanya dapat menghasilkan kerjatangan yang indah dan menarik. Itu pula jika kena dengan ketelitian dan kesempurnaan dalam mengerjakannya.

Semua itu dibuat berdasarkan corak@pattern yang dipilih menurut kesukaan. Pelbagai corak menjurus kepada penghasilan pelbagai produk akhir sehingga ada yang menghasilkan pakaian dewasa mahupun kanak-kanak. Namun untuk saya, lebih suka kepada yang digunakan untuk menutup-nutup. Sebelum ini pernah menghasilkan penutup meja, TV dan beberapa alas itu dan alas ini. Namun kini, sudah lama tidak memegang batang jarum tersebut. Saya akui menghasilkan sesuatu dari aktiviti mengait mengambil masa yang agak lama. Tambahan untuk motif yang bersambung-sambung.

Minat terhadap mengait pada saya terhasil kerana Allahyarhamah Opah (ibu kepada abah). Selalu benar melihat beliau mengait saya naik berminat. Salalu duduk disebelahnya memerhati dan merasa pelik juga bagaimana dengan sebatang jarum dan untaian dari sebuku benang dapat menghasilkan sesuatu yang bercorak-corak dan berbunga-bunga. Oh! cantik sungguh getus hati kecil waktu itu. Apa yang ada ialah kehairanan. Waktu itu hanya memandang dan merenung. Sehingga ke suatu detik terpacul menyoal yang selama ini terbuku di hati. Tak disangka bahawa itulah detik mula jejari bakal belajar menari. Menari dalam rentak tarian suatu seni. Itu rupanya seni mengait.

Asas mengait itu ialah membuat TALIAIR. Itulah perkataan pertama saya diajar. "Kalau nak belajar buatlah taliair dulu". Inggerisnya ialah 'loop'. Awalnya selama beberapa lama asyik membuat taliair. Sehingga nak muntah pula dibuatnya. Tak sabar-sabar nak melompat ke stage seterusnya. Namun itu juga disuruh ulangbuat. Opah ni ape ke hal. Tak mahu mengajar ke? Akhirnya Opah pun mahu meneruskan ke peringkat selanjutnya. Tapi sungguh lah payah untuk opah. Cucunya yang kidal ni, agak menyukarkan proses pembelajaran. Sudahnya opah mengambil beberapa buah buku asas mengait. Buku itu mengandungi cara-cara asas memintal benang dengan jarum sehingga membentuk asas-asas mata jahitan yang pelbagai. Buku itulah yang menjadi guru saya seterusnya. Waktu itu mana ada internet yang ada youtube, boleh tonton video. Namun itulah keseronokkannya timbul. Agak mencabar. Kerana ada minat. Sendirian saya teruskan. Alhamdulillah dapat faham dan meneruskan hobi baru saya waktu itu. Ahli keluarga lainnya naik hairan. Kenapalah minah seorang ni. Macam dah tiada kerja lain. Maklumlah waktu itu dalam sekolah menengah. Namun saya menjadikan itu sebagai pelepas tekanan. Selain dari pelajaran. Itu rasanya ok.

Di sini ingin saya jelaskan setelah beberapa lama, saya sedar bahawa membuat taliair itu adalah asas untuk melembutkan jejari. Jari yang tidak pernah memegang jarum dan yang sudah biasa adalah berbeza. Jari yang telah biasa itu sudah hilang kekoknya. Putaran demi putaran dalam mengait menjadi mudah dan tidak tersangkut-sangkut. Dari situ keyakinan akan bertambah dan minat semakin tinggi. Lebih dari itu ternanti-nanti untuk menyudahkan sesuatu yang dimulakan. Kini saya hanya bersyukur dan berterimakasih pada Allahyarhamah Opah. Namun sedikit kesal kerana buku pemberian opah sudah tiada. Saya beri pinjam. Saya lupa minta semula. Buku merah itu saya belinya kemudian. Melihat buku, benang dan jarum kait itu menghalakan ingatan pada Opah....

Beralih pada teman pertama saya itu . Saya sedikit sedih. Ia bakal saya hantarkan ke klinik. Ia perlu diservis. ia sebuah mesin yang baik untuk saya. Telah banyak berjasa. Jahitannya baik dan cantik. Namun namanya pun mesin. Jahitannya sudah sedikit meragam. Membesar dan mengecil dengan sendiri. Kerosakan pada butang penetap jarak jahitan. Sayang sungguh. Saya berdoa semoga ia dapat dibaiki. Ada 'spare part'nya. Jika tidak, dibimbangi hanya menjadi perhiasan sahaja.

Menghasilkan sesuatu dengan penat lelah sendiri dan menggunakan dua tangan sesungguhnya memberi kepuasan. Sebenarnya kini, baik pakaian mahu apa pun yang terlintas boleh kita perolehi di pasaran. Terlalu banyak pilihan dan harga juga dalam kemampuan. Harga menurut kualiti. Kita hanya perlu memilih dan membayar. Namun memakai sesuatu yang anda hasilkan sendiri rasa berlainan. Begitu juga melihat orang lain memakai sesuatu yang anda hasilkan. Ada perasaannya. Jadi untuk para wanita, hobi menjahit ini ada kelebihannya. Setidak-tidaknya, jika ada sebuah mesin jahit, dapat juga menjahit apa-apa yang terkoyak sana mahu pun sini. Kain batik boleh dijahit sendiri (yang siap jahit biasanya kurang memuaskan jahitannya). Jadi jika ada keinginan untuk menjahit jangan berlengah, mesin sekarang murah dah!..........

11.45PM@21/03/11

Tiada ulasan:

Catat Ulasan