Walau 'mood' agak kurang memberangsangkan untuk menulis, namun saya memaksa diri untuknya. Inilah saya, manusia biasa yang ada naik turun dalam setiap perkara. Justeru itu mengukuhkan lagi persepsi saya yang beristiqamah dalam sesuatu perkara (fokus yang baik) adalah lebih sulit dari memulakannya. Itu juga perlu belajar bermujahadah. Banyak lagi perlu belajar dan mendidik diri. Selagi bernafas dan nadi berdenyut itulah cubaan dan dugaan yang perlu dilalui.
Memandangkan tidak lama lagi cuti sekolah penggal pertama akan bermula, itulah yang saya akan perkatakan. Sebagai seorang ibu yang tiga dari empat anak sedang bersekolah, memanglah cuti sekolah membawa pelbagai cerita. Biasanya akan timbul soalan-soalan seperti, "Mak, abah kita tak pergi mana-mana ke, cuti sekolah ni?". Tiga mulut itu pasti bantu membantu atas soalan tersebut. Boleh didengar juga, "Boringlah, kalau asyik duduk dekat rumah aje". Padahal hampir setiap minggu pasti keluar, paling tidak ke pasaraya. Ya! pasaraya sekarang seolah-olah dah jadi rumah kunjungan hujung minggu. Maklumlah atas dasar cara hidup manusia kini, untuk menziarah pasaraya lebih mudah dari mengunjungi saudara-mara. Tidak perlu 'appointment'. Saya lihat diri sendiri saja. Jika orang nak bertandang, mesti menelefon dahulu. Buat temujanji. Bukan apa untuk mudah buat persiapan. Biar pasti semua ahli keluarga ada di rumah dan sebagainya.
Terfikir-fikir juga tentang cuti sekolah. Apa yang pasti, masa akan berlalu dengan pantas. Pejam celik dah buka sekolah semula. Apa yang penting pada saya adalah apa yang terjadi sebelum cuti sekolah itu. Maksud saya tentang ujian pertama yang diduduki oleh anak-anak itu. Ujian bulan March ini adalah penilaian pertama untuk tahun ini. Sebagai ibu bapa kita janganlah ketinggalan dari mengambil tahu perihal pembelajaran anak-anak kita. Bukan perlu 'pantau' sampai mereka dan kita sendiri tak boleh bernafas, cuma tunjukkan rasa ambil berat. Setidak-tidaknya mereka sedar yang ibu bapa ada memikirkan dan prihatin. Mereka pasti rasa disayangi.
Saya sendiri kurang berkesempatan untuk terlalu melatih anak-anak. Terlalu sibuk dengan si kecil. Cuma selalu pesan, "Jangan lupa belajar, nanti mudah menjawab peperiksaan." Selain itu waktu musim periksa tu, psaikologi sikit. Bila mereka nak pergi sekolah tu, pastikan mereka tidak tinggal bersalaman dan minta mereka jangan lupa membaca Bismillah dan berdoa sebelum memulakan menjawab soalan. Jawab soalan hati-hati. Jangan biar soalan tak berjawab. Apa sahaja untuk tunjuk kita ambil peduli. Persoalan mereka pandai atau tidak, itu nombor dua. Jika anak kurang berkebolehan, itu perlu kepada proses pemulihan yang berterusan. Perhatian kita perlu tanpa ada syaratnya. Mudah-mudahan anak terangsang berubah dengan perhatian yang diberikan. Lebih dari itu doa dari ibu bapa amat, amat perlu. Dari Allah kita dijadikan dan hanya dia yang mampu mengubah keadaan setiap sesuatu itu. Kepadanya juga semua akan dikembalikan.
Setiap anak-anak itu berbeza dari satu perwatakan ke satu yang lain. Lagi ramai, lagi meriah kata orang. Benar, seronok pun dengan mereka, marah pun dengan mereka. Namun ibu bapa mana yang tidak sayang pada anak-anak. Selalu marah-marah, sayang. Marah-marah, simpati dan tak sampai hati. Untuk mereka sentiasa diusahakan yang terbaik. Cuba memenuhi keinginan dan harapan mereka. Namun elakkan pula menurut 'membabi buta' terhadap permintaan yang tidak dalam lingkungan keupayaan kita. Itu juga yang dipelajari dari ibu bapa kita sendiri. Bukan mengharap apa imbalan. Itulah tanggungjawab dan lebihnya amanah. Amanah yang bakal dipersoalkan.
Putaran hidup yang dilalui sehingga menjadi seorang yang bergelar ibu dan ayah, pasti tidak sama dari individu ke individu yang lain. Namun tanggungjawab asas itu tetap sama. Perlu mendahulukan yang 'priority'. Kadangkala akan terjadi pertembungan, disitu kebijaksanaan teruji. Namun insan yang pintar pasti mudah menanganinya. Jika tidak cukup bijak, dapatkan bantuan dari pakar-pakar yang boleh memberi nasihat dan tunjuk ajar. Pokok pangkalnya, hidup berkeluarga menuntut banyak pengorbanan. Pengorbanan ini akan dinilai oleh Pemilik Alam ini dan bakal mendapat gred masing-masing, sepertimana juga peperiksaan yang dilalui anak-anak di alam persekolahan.......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan