Isnin, 20 Disember 2010

BERPASANGAN DENGAN SI SAKIT


Sambil minum pagi saya berbual dengan suami dan sempat membelek akhbar. Suami membaca mengenai satu pernikahan yang berlaku di mana si lelaki itu sedang mendapatkan rawatan sakit tulang belakang. Pernikahan berlangsung di atas katil di hospital. Sepintas lalu memang terharu dan kagum dengan semangat pasangan mempelai tersebut.

Tiba-tiba suami saya bersuara sambil sedikit mengeleng. Dia katakan bahawa bagaimanalah boleh menyanggup dengan pernikahan seperti itu. Saya agak tersentak dan mengatakan itu sudah jodoh mereka. Nampak riak yang tidak begitu menyenangkan pada wajahnya. Saya agak kurang mengerti (walau dah 15 tahun berkahwin, masih ada yang perlu difahami).

Suami mengatakan bahawa pernikahan sebegitu sukar bertahan. Saya terus teringatkan kisah Erema dan Sribayu. Suami ada 'point' di situ. Membaca kisah Erema dan Sribayu sememangnya 'complicated'. Sensasi hingga ke Melodi. Kedua-dua pihak sengsara. Lantas timbul pula kata-mengata, salah menyalah dan seolah-olah ada penyesalan. Bagaimana pun saya sebelumnya cuba menyelami perasaan kedua-duanya. Tak terselam. Namun saya faham. Rasa cemburu si suami, rasa tiada upaya, rasa membebankan, rasa ego dan... Pihak isteri pula dengan rasa terhimpit, serba salah, terdesak, menyesak, diasak dan......' Complicated'. Allah Maha Tahu. Saya manusia hanya membaca-baca dan meneka-neka. Mungkin banyak tersilap dari benar dengan hanya bersangka-sangka.

Saya mengungkit kisah Erema dan Sribayu pada suami. Sengaja ingin melihat reaksinya. Beliau katakan seperti itulah yang dimaksudkan. Dikatakan bahawa perkara-perkara tersebut boleh dielakkan. Katanya manusia ada pilihan. Beliau katakan sememang atas sebab itu ada proses pertunangan sebelum pernikahan. Dalam masa itu bolehlah kenal-mengenal dan ambil tahu lebih tentang perihal pasangan. Tambahnya jika pasangan itu diketahui berpenyakit pada "awalnya" pernikahan" itu harus dielakkan. Itu pandangan suami. Saya agak 'surprised' namun cuba memahami.

Suami menambah bahawa perkara sedemikian penting diambilkira. Melihat tahap kesihatan seseorang sebelum menikahinya. Itu benar pada saya. Namun saya katakan juga, dalam keadaan biasa, sekiranya diberikan perasaan kasih dan cinta tak sempat rasanya nak bertanya tentang kesihatan. Manusia biasa melihat dari luaran. Tak sempat dengan soalan "You ada darah tinggi", "You ada kencing manis, "You ada sakit jantung" atau "You ada sakit buah pinggang". Bila cinta sudah berputik dan segar berkembang, hanya harum yang dihidu. Mata sudah kelabu. Lidah jadi kelu. Harapan menggunung tinggi. Anganan yang dipasang. Laut bergelora sanggup direnang dan gunung tinggi sanggup didaki.

Suami menambah dengan kata-kata bahawa anak-anak kami yang perempuan nanti mesti diambilkira persoalan sebegitu. Amboi! jauh fikirnya. Dia katakan memilih berkahwin dengan orang sakit, walau sudah tahu pada awalnya mengenai penyakit pasangan itu hanya mengundang masalah. Dikhuatiri si perempuan akan menderita (batin dan zahir). Saya katakan jika dugaan Tuhan sebegitu, tiada siapa dapat menghalang. Suami berkeras mengatakan manusia masih boleh mengelak. Saya diamkan sahaja. Itu pandangan peribadinya. Anggapan saya, mungkin ramai lagi yang berpandangan demikian.

Saya katakan pada suami, mudah dia berkata demikian kerana sekarang dia dalam kesihatan yang baik (jika ada sakit yang tidak diketahui - entahlah). Dia terus mengatakan bukan itu alasan dasar pandangannya. Dia katakan bahawa seorang wanita yang meneruskan pernikahan dengan pasangan sakit seolah-olah memerangkap diri sendiri. Tambahan penyakit-penyakit yang boleh mengakibatkan si suami gagal menjalankan tanggungjawab sebagai lelaki. Faham-fahamlah. Si perempuan itu mungkin berkesudahan dengan bermain kayu tiga dan sebagainya. Dia mengatakan juga keadaan adalah berlainan jika yang sakit itu wanita. Lelaki mudah membuat keputusan. Oh! begitu pula. Saya membela wanita dengan mengatakan hati wanita tidak sama seperti lelaki. Anggapan saya -Wanita sekali mencintai, biasanya mencuba sedayanya untuk setia. Itulah tidak hairan atas keputusan yang diambil mereka menikahi lelaki walau diketahui sakit. Mereka ingin mencuba. Tak sampai hati meninggalkan pasangan. Berkemungkinan ada yang sudah termakan budi dari segi kewangan dan sebagainya. Lebih dari itu wanita ini makhluk pencinta dan penyayang.

Saya katakan juga tidak salah mencuba dengan pernikahan (masa depan tiada siapa dapat meramal). Bahagia atau tidak, kuasa Allah. Andai ditakdirkan perpisahan, berpisahlah secara baik jika tidak mampu bertahan. Kata suami pula lelaki biasanya sukar nak lepaskan isterinya dalam keadaan "sedemikian". Ada yang sanggup membiarkan isteri bermain kayu tiga semata-mata malu dan mempertahankan maruah mereka. Saya menegaskan bahawa jika wanita itu sudah mencuba sedaya upaya dan akhirnya tidak berdaya, patutnya berterus-terang. Si lelaki patut menerima dengan hati terbuka. Sedarilah pengorbanan yang telah dilalui wanita itu, berterimakasih dan jangan menyiksa wanita hanya kerana ego. Apa yang telah mereka pilih untuk lalui itu adalah atas persetujuan bersama dan telah berlalu. Mengapa pula dalam keadaan sihat lelaki dengan mudah melukakan wanita dengan keinginan bernikah lain. Ada juga dengan mudah menceraikan seorang isteri hanya untuk memenuhi hasrat bernikah lain. Bila dalam keadaan sakit "sedemikian" tidak dapat berfikiran waras, atau hanya mementingkan diri untuk memelihara maruah peribadi. Selain itu ramai juga saya lihat lelaki yang meninggalkan isteri yang sakit dan memilih teman hidup yang baru. Jarang yang sanggup berkongsi penderitaan isteri yang diduga dengan kesakitan.

Oh! itu dan begitu rupa-rupanya. Jelaslah pada saya. Saya lupa bahawa saya sedang bercakap dengan seorang lelaki. Lelaki yang dijadikan Allah dengan satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang satu itu jika tak terkawal bakal merosakkan kesembilan akal tersebut. Persepsi saya dan suami terhadap sesuatu perkara biasanya tidak sama. Namun saya fahami dan hormati pandangan peribadinya. Saya belajar untuk memahami. Memang bukan mudah. Suami bercakap dan berpandangan selayaknya sebagai seorang lelaki dan saya sebagai wanita. Pertembungan pemikiran memang wujud. Bukan mencari pemenang. Itu hakikat kehidupan. Hidup serba berkemungkinan. Tidak boleh kita mengata kita terlalu benar, atau menanggap kita selalu salah.

Perbualan minum pagi kami itu serius dalam santai. Saya mengingatkan diri saya bahawa terlalu banyak yang kita telah dan akan hadapi selagi hayat dikandung badan. Melihat sekeliling sambil membuka minda adalah terbaik. Sistem nilai individu tidak sama. Apa pun yang terjadi adalah pemberian Allah. Jika baik- itu nikmat dan bersyukurlah. Jika buruk-itu dugaan dan munajatlah. Dalam kedua-dua keadaan Allah masih menyayangi kita. Manusia dikurniakan akal untuk memandu kita berfikir. Selain itu petunjuk hanya datang dari Allah. Kekuatan juga dariNya. Bermohonlah. Jika rasa dan tahu tidak mampu mengharung dugaan sedari awal, boleh mengelak. Jika mahu mencuba, capai persetujuan. Jangan berjanji tapi mungkir. Itu memilukan.

Pernikahan yang suci itu, dasarilah dengan hati yang bersih dan tunjang kasih sayang. Jangan berselindung demi matalamat peribadi. Seperti berkahwin kerana harta dan sebagainya. Jika dah menyanggup, pasrah dan tawakkal pada Allah. Penafian kemudian, hanya mengundang permasalahan. Ia melibatkan seluruh institusi kekeluargaan. Keluarga, saudara-mara dan sahabat handai. Itulah cebisan dua pemikiran antara saya dan suami dalam hidup dan kehidupan......

(Sambil-sambil tu dok terbayang, kalau aku sakit nanti-apa jadi kat anak-anak aku, kat diri aku. Kalau suami aku pulak sakit-kuat ke aku, mampu ke aku teruskan hidup.... Oh jauh pulak fikirnya. Tuuut. Swith off.)

10.55am@21/12/10






Tiada ulasan:

Catat Ulasan