Khamis, 16 Disember 2010

PENGARUH SUAMI ISTERI DAN SEBUAH RUMAHTANGGA (1)

Tajuk yang menarik pemikiran saya hari ini, ala-ala macam ahli kaunseling rasanya. Sesungguh bukanlah saya ahli kaunseling. Cuma sebagai ahli rumahtangga yang bergelar seorang isteri, emak dan tentunya seorang perempuan tidak terlepas dari memikirkannya. Datangnya dari dari satu hati dan jiwa yang masih mampu berbicara. Datangnya dari satu akal dan fikiran yang masih terdaya berkata-kata. Inilah yang dapat saya renung-renungkan. Semoga jika ada yang terbaca tersinggah juga akan manfaatnya.

Pertemuan dua insan diatas singgahsana pelamin yang indah membawa kepada terbinanya sebuah bahtera. Bahtera pasti berlayarnya di lautan. Lautan pula dikaitkan dengan seribu satu macam persoalan. Jadi sebuah bahtera belayar di lautan yang tersedia dengan seribu satu kemungkinan atau kejutan.

Saya suka merenung diri dan sekeliling dan selalu berfikir bila berhadapan dengan kejadian-kejadian yang dapat dijadikan bahan fikiran dan panduan dalam hidup saya yang serba sederhana dan kekurangan ini. Paling terdekat adalah merenung persekitaran keluarga yang berkaitan dengan adik-beradik, ipar-duai, saudara mara dan sahabat-handai. Melihat kepada persekitaran saya sekarang membuatkan saya sedar bahawa betapa saya sendiri sudah jauh berubah dari saya yang dahulu (transformasi). Hampir memasuki alam 40-an (dua tahun lagi) membawa saya lebih memikir dengan gaya yang bukan lagi seperti 20 tahun sebelumnya. Ya! waktu itu dikatakan waktu muda, berdarah remaja, berfikir yang mudah-mudah saja, yang seronok-seronok saja dan selalu lalai dari mengambil iktibar.

Perubahan ataupun transformasi yang berlaku ini akan melanda sesiapa sahaja yang 'normal' perjalanan hidupnya. Maksud saya, mereka yang telah berumahtangga. Memiliki pasangan dan apa yang selayaknya ada dalam sebuah rumahtangga. Oh! mungkin tersilap bila saya katakan memiliki. Kita manusia ini tidak mampu memiliki apa-apa sebenarnya. Hanya Allah yang memiliki setiap sesuatu. Kita hanya meminjam dan dipinjamkan oleh Allah akan pasangan kita itu dan apa yang selayaknya ada dalam sebuah rumahtangga (teringat pada pemergian Mak Cik dan kematian-kematian sebelumnya). Pernikahan adalah sunnah Nabi dan sesiapa yang menidakkannya, faham-fahamlah!. Pernikahan itu suci kerana ia menghalalkan apa juga yang haram sebelumnya antara seorang lelaki dan seorang wanita. Maha Suci Allah juga yang Maha Mengetahui.

Berbalik kepada persoalan 'transformasi' diri bagi yang telah berumahtangga. Ia sebenarnya berkadar terus dengan usia sesebuah perkahwinan tersebut. Lebih lama lebih meriah. Perubahan ke atas seorang suami itu dipengaruhi oleh si isteri dan begitu juga sebaliknya. Siapa lebih kuat pengaruhi siapa, itu persoalan yang lain pula. Bercakap tentang perubahan sudah pasti atas dasar lemahnya manusia terdapat perubahan yang baik mahu pun yang tidak baik. Namun yang baik itu datangnya dari Allah dan yang tidak baik itulah dari kelemahan dan kelelahan diri kita ini. Andai kita menyedarinya dan mahu memperbaiki, itulah yang sewajarnya.

Saya meninjau-ninjau perubahan yang telah berlaku ke atas mereka yang rapat dengan saya. Sedarah daging. Bergilir kongsi satu rahim dan membesar di bawah satu bumbung. Bumbung yang ditukang dan dibina dari rasa kasih dan cinta emak saya dan Allahyarham bapa. Kini lima dari enam antara kami sudah pun berumahtangga dan meminjam apa-apa yang selayaknya telah dipinjamkan kepada kami. Kami semua telah menjadi ibu dan bapa dan cuba menggalas apa yang termampu oleh kami. Masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri. Namun kami juga cuba supaya tidak melupakan antara satu sama lain. Pengikat kami yang utuh kini adalah si emak yang sedang berdepan ujian kesihatan. Beberapa tahun menderita penyakit kencing manis yang bersatu dengan masalah paru-paru. Kasihan saya mengenangkannya. Tubuh mengurus dan tulang belulang yang tertimbul, muka yang cekung. Jalan agak terbongkok-bongkok. Tua sudah emak.

Dua hari lalu, melawat emak dihospital menambahkan lagi keinsafan saya tentang erti sebuah kehidupan. Hospital kini menjadi umpama 'rumah rehat' pada emak. Apabila berada dalam keadaan yang tak terkawal akan masalah pernafasan dan paras gula tinggi, emak mesti ke sana. Tak sempat mengira ini kali ke berapa emak ke sana. Oh! emak. Sekilas pandangan saya, apakah dia semakin ke penghujung usianya? Allah!! hanya kau Maha Tahu. Persoalan hidup, mati, jodoh pertemuan mahu pun perpisahan adalah di tanganMu jua. Namun hati yang 'berbisik sebegini,' sedikit sebanyak meruntun jiwa dan diri saya yang sememang bersifat lemah ini. Saya dilanda ketakutan.

Bersyukur dan berterimakasih saya pada Allah kerana satu-satunya kakak saya sedaya mampu menjaga ibu setiap kali di hospital. Ibu masih boleh berjalan. Namun oleh kerana paru-paru yang telah lemah adalah baik berkerusi roda hatta ke tandas sekali pun. Supaya pernafasan tidak mencungap. Kakak memahami bahawa saya yang diselirati tugasan di rumah dengan anak kecil yang masih menyusu dengan susuan badan tidak tergalas tugas yang dibuatnya itu. Sementelah yang lain masih mampu sekali-sekala menggiliri tugasan menjaga emak itu. Bermalam di hospital bukan sesuatu yang menyeronokkan selain meletihkan. Bagi pesakit telah disediakan katil dan kelengkapan lainnya. Bagi sipenjaga - pandai-pandailah mahu hidup. Aku hormati kakak atas pengorbanannya. Menghadirkan diri pada malam hari setelah pulang dari bekerja dan berangkat sesudah subuh mengejar tugasan kerja. Sekali-sekali dia pula dihidapai sakit kepala dan selesema. Semoga Allah membalas yang setimpal dengan pengorbanan kakak. Itu semua terjadi kerana memikirkan, entah berapa lama lagi masa yang ada untuk kami bersama-sama emak.

'Transformasi' kakak pada dirinya sekarang sudah pasti dipengaruhi oleh sang suami. Jika tiada izin takkan terlaksana tugasnya sebagai anak sulung yang sedang digalasnya itu. Kakak saya ini kecil molek je orangnya. Beranak tiga. Sesekali tu ada juga yang menyangka dia masih dara. Itu kelebihan bertubuh kecil agaknya. Suaminya pula seorang penjawat awam. Abang polis ye! Tapi saya tak takut langsung. Dia bukan bersenjatakan pistol mahu pun senapang. Hanya mikrofon dan seksofon (Sarjan polis pancaragam je). Mereka ni sama padan dan saling melengkapi. Sememang itu tujuan berpasangan. Saling melengkapi. Apa yang terkurang pada siisteri, tanggungjawab suami menutupinya dan sebaliknya. Jadi tak perlu nak terlalu berbangga dengan kesamaan bersama pasangan jika wujudnya perbezaan itu mampu menjadikan ia lebih baik.

Jadi saya simpulkan dahulu, apabila Allah menemukan dua jiwa yang berbeza dalam sebuah bahtera rumahtangga, Allah juga yang Maha Kaya rahsianya. Itu jodoh namanya. Siapa yang dapat menentang qada' dan qadar dari Allah. Jika dah sampai terlaksana i'jab dan qabul dan halal sudah yang haram. Itu ketentuan namanya. Maka hiduplah dua manusia dalam sebuah bahtera melayari alamnya berumahtangga. Maka adalah tidak wajar jika seandainya kita bila berdepan dengan kesusahan dan permasalahan, menyesali takdir terhadap jodoh kita. Meletakkan kesalahan pada satu sama lain atau apa sahaja akan hanya mengeruhkan keadaan. Pasti syaitan suka begitu. Digoyahnya keyakinan manusia dan dilunturkan kepercayaan kita demi menggegar tiang A'rasy (nauzubillah). Itu janji kesyaitanannya atas cemburu dan egonya pada Nabi Adam dan keturunannya. Mudah-mudahan kita tidak termasuk dikalangan mereka yang terpedaya dengan tipudaya syaitan. Insyaallah......

171210@11.35am.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan