Isnin, 20 Disember 2010

PENGARUH SUAMI ISTERI DAN SEBUAH RUMAHTANGGA (2)

Di dalam penulisan yang lalu, telah disebutkan tentang 'transformasi' dilalui dalam kehidupan mereka yang berumahtangga. Ia sesuatu yang pasti berlaku. Cuma ke arah mana, bagaimana ia berlaku dan atas sebab apa berlakunya adalah berbeza-beza dari satu ke lain individu. Ia semua berkaitan dengan personaliti dan karektor seseorang dan kemudiannya dipengaruhi kuat oleh pasangan mereka. Ada juga saya sebutkan bahawa perubahan yang berlaku boleh jadi yang positif atau sebaliknya. Begitulah kuatnya peranan dan pengaruh dijadikan hidup berpasangan.

Seperkara lagi yang mustahak, bernikah dengan pasangan bermakna juga penerimaan kita terhadap keluarga si pasangan. Dari ibu, ayah, adik beradik, pak cik dan makcik...... . Hakikatnya ramai yang terlepas pandang perkara yang satu ini. Maklumlah bila hati sudah suka, pengelihatan biasanya hanya bertumpu pada permukaan sahaja. Hanya pada yang disukai sahaja. Saat itu semuanya indah. Di antara pasangan pula, masing-masing sedaya upaya memperlihatkan yang terbaik dan seboleh mungkin juga menutup segala kelemahan yang ada. Yalah! takut-takut tak diterima keluarga bakal mertua pula.

Memperkatakan lagi tentang perubahan diri, secara sedar atau tidak pengaruh pasangan amat kuat pada diri seseorang itu. Sesungguhnya suami sebagai pemimpin dalam sesebuah keluarga menggalas tanggungjawab yang besar bukan sahaja pada memberi nafkah (zahir&batin), tetapi juga 'mendidik' isteri. Kaum Hawa yang dikatakan terjadi dari rusuk yang bengkok itu sesungguhnya memerlukan pimpinan dan bimbingan secara santun. Jika dikasari pasti patahlah ia.

Selalu saya perasan bahawa apabila sudah dinamakan pasangan, macam ada 'trademark' antara satu sama lain. Terutama bila sudah lama berumahtangga. Contohnya, bila melihat wajah pelakon Zulkifli Zain, saya terbayangkan isteri beliau, Normala Omar. Wajah mereka seolah sudah diadun dan sebati. Pelik tapi ada benarnya pada saya. Pernah saya mendengar orang berkata lebih serupa wajah satu-satu pasangan lebih lama jodohnya. Atas dasar apa dikatakan sebegitu, tak pasti saya. Cuma pernah mendengarnya. Cuba semak lagi.

Selain itu bila sudah berkahwin ni, secara langsung atau tidak satu pasangan juga pengaruh mempengaruhi antara satu sama lain dari segi pembawaan. Bagaimana? Begini, jika si suami 'high taste' @bercitarasa tinggi dalam pemakaian, lambat laun si isteri juga akan terpengaruh, walau asalnya tak berapa nak kisah atau berala-kadar sahaja. Ini boleh jadi juga dari isteri kepada suami. Belum lagi jika citarasa tinggi itu melibatkan perkara besar-besar dan menelan belanja yang besar-besar. Misalnya, keretanya mahu besar, tak cukup satu-mahunya dua. Rumahnya mahu besar supaya tak kalah pada yang lain. Perabotnya mahu mahal dan elegan untuk disuaipadan dengan rumah besar. Pendek kata biar jangan diperlekehkan oleh yang lain. Mahu nampak 'top' saja. Tidak pula saya katakan ia salah. Namun jika nak menempah baju, ukurnya mestilah dibadan sendiri, jangan dibadan orang lain. Payah gitu. Jika sungguh-sungguh mampu-bermewahlah!. Tiada salah dan bersyukurlah kerana ia akan menambah lagi nikmat yang ada. Namun tiada guna dibelit hutang semata-mata atas nama mahu nampak 'ngetop'. Tiada guna gali lubang dan kambus lubang semata-mata mahu bergaya. Bak kata orang Perak, "bio pape ase begayo". Harap tak salah loghat.

Pengaruh terhadap cara pemikiran juga tak dapat dielakkan. Maklumlah dua jasad dan jiwa berasal dari dua latarbelakang yang berbeza. Pendidikan tak formal yang diperolehi dari keluarga yang berlainan sesungguhnya mewujudkan dua arus pemikiran yang jarang ada persamaan. Hatta cara melipat kain antara isteri dan suami mungkin berlaian. Pemikiran lelaki dan wanita mengikut fitrah masing-masing. Itu belum dicampur dengan emosi dan logik. Wanita mungkin lebih beremosi dan lelaki suka dengan logik. Wanita suka menggunakan naluri berlainan lelaki lebih pada akal (9 akal tuu...patutlah!). Namun kedua-duanya berfungsi saling melengkapi. Wanita dengan 1 akal dan 9 nafsu (mahu 'shopping', mahu cantik, mahu berhias....) dicipta Allah untuk melengkapkan dan memeriahkan lelaki yang dicipta dengan 9 akal dan 1 nafsu (walau 1-tapi waspada besar yeh -BESAR PUNYE!). Jadi lengkaplah 10 akal dan 10 nafsu dalam sebuah rumahtangga. Jadi kedua pasangan bertanggungjawab mengemudi nisbah tersebut.

Oleh itu jika mengkaji sejauh transformasi diri itu baik. Adakah kita banyak terpengaruh secara baik atau sebaliknya. Oh! bukan untuk mencari salah mahu pun salah menyalah. Secara tak langsung bolehlah tegur menegur dan ingat mengingat. Kita pasangan yang saling memerlukan antara satu sama lain. Apalagi jika ada anak-anak yang menjadi pengikat ibu-ayah. Alam rumahtangga penuh dengan tugasan-tugasan didasari tanggungjawab. Suami pengemudi. Isteri pemerhati selaku penasihat. Kedua-dua perlu 'hidayah' dari Allah. 'Hidayah' perlu dicari bukan dinanti. Hanya dengannya tugas mengemudi boleh ditepati. Wallahua'lam.....

5.45pm@22/12/10


Tiada ulasan:

Catat Ulasan